KUCHING, 28 Jun - “Bapak!” Itu jeritan terakhir seorang lelaki sebelum dia hilang dibaham buaya ketika memancing di tebing sungai berhampiran Kampung Paroh, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa, Jacob Tuan, 32, dikatakan sedang memancing bersama bapa mentuanya sebelum reptilia ganas itu tiba-tiba muncul dan menerkam ke arahnya.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya, Latif Iring berkata, Jacob dipercayai disambar buaya lalu diheret ke dalam sungai di hadapan mata bapa mentuanya.
“Cubaan bapa mentuanya menarik mangsa ke tebing sungai tidak berjaya sebelum mangsa dibawa masuk ke dasar sungai oleh buaya,” katanya mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi RTM pagi ini.
Susulan kejadian itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan sejurus menerima laporan daripada pihak polis sekitar tengah malam.
Bagaimanapun, operasi tidak dapat diteruskan malam tadi kerana penglihatan yang terhad dan hanya disambung pagi ini menggunakan aset air.
Latif turut memaklumkan, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) telah dimaklumkan dan dihantar ke lokasi bagi membantu mengesan buaya terbabit yang dianggarkan sepanjang lebih enam kaki.