SAUDARA PENGARANG
Kenyataan dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini bahawa kabinet bersetuju penjawat awam lantikan baharu berstatus tetap selepas ini tidak lagi ditawarkan skim berpencen; menerima pelbagai reaksi sama ada bersetuju atau sebaliknya.
Pengumuman itu merupakan satu tamparan besar kepada sektor pekerjaan dalam perkhidmatan awam. Walaupun ia bukanlah satu perkara baharu kita dengar, namun keputusan itu boleh memberi impak kepada sektor pekerjaan paling besar di negara ini, iaitu perkhidmatan awam.
Pada tahun 2020, kerajaan telah menjalankan dasar memberhentikan elaun kritikal yang sebelum itu diberikan kepada kakitangan kerajaan dalam sektor penting seperti perubatan dan perundangan.
Akan tetapi, keputusan itu membebankan lantikan baharu sektor-sektor tersebut kerana tanpa kelebihan daripada segi manfaat seperti elaun kritikal dan sebagainya, sektor swasta dilihat lebih menarik kerana bayaran dan elaun mereka kebiasaannya lebih tinggi.
Ini menyebabkan ramai pegawai perubatan serta peguam dalam sektor awam memilih untuk bertukar kerjaya ke sektor swasta dan ada juga yang membuka syarikat firma atau klinik sendiri.
Justeru, keputusan kerajaan untuk tidak menawarkan lagi skim berpencen kepada seluruh kakitangan awam lantikan baharu, pastinya diterima dengan pelbagai reaksi selain ada yang menyifatkan sebagai amat membimbangkan.
Kebimbangan itu berdasarkan beberapa faktor seperti tawaran gaji dalam sektor perkhidmatan awam lebih rendah berbanding sektor swasta, kurang insentif dan jaminan kehidupan pada masa akan datang.
Ada pendapat mengatakan bahawa wang caruman yang terkumpul dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya boleh menampung kehidupan sehingga umur persaraan, iaitu sekitar 56 tahun hingga 60 tahun.
Namun, dalam keadaan ekonomi yang dihadapi sekarang; mengambil contoh jumlah caruman pekerja sektor swasta, berlaku masalah kekurangan wang saraan; iaitu akaun KWSP mereka tidak mencapai jumlah minimum diperlukan iaitu sekitar RM240,000.
Selain itu berlaku juga masalah pesara kurang pengetahuan dalam menguruskan wang KWSP, menyebabkan wang diterima habis dibelanjakan hanya dalam jangka masa dua hingga tiga tahun.
Sebenarnya dengan penawaran skim berpencen, jawatan-jawatan dalam sektor kerajaan dilihat lebih terjamin dan banyak keistimewaan. Oleh sebab itu, ramai memilih untuk bekerja dalam sektor kerajaan walaupun mereka tahu gaji ditawarkan lebih rendah berbanding sektor swasta.
Mereka sedia maklum, bahawa bekerja dalam sektor kerajaan boleh memberikan manfaat atau jaminan pada usia tua atau setelah mereka mencapai umur persaraan. Jelas, manfaat pencen sebenarnya dapat memberikan motivasi dan semangat untuk bekerja dengan baik dan ada juga yang sanggup bekerja lebih masa walaupun tidak diberikan bayaran untuk kerja lebih masa.
Tumpuan juga harus diberikan dalam sektor pekerjaan awam kritikal seperti tentera, polis, bomba, dan seumpamanya. Tawaran gaji yang boleh dinilai sebagai rendah, tidak memberi keselesaan kepada mereka untuk membuat caruman KWSP bagi menampung keperluan pada usia persaraan.
Tentera misalnya, ada anggota yang perlu bersara secara wajib pada usia muda sekitar 40-an dan mereka masih mempunyai tanggungan iaitu kos kehidupan anak-anak termasuk aspek pembelajaran. Tanpa skim pencen, bagaimana mereka boleh menampung kehidupan sedangkan ketika ini ramai pesara muda tentera terpaksa bekerja sebagai pemandu lori, pemandu teksi dan kerja-kerja lain bagi menampung kelangsungan kehidupan mereka.
Justeru, perubahan dasar skim berpencen dilihat perlu dikaji semula atau dibincangkan bersama badan-badan tertentu termasuk Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS). Selain itu, sesi libat urus bersama kakitangan awam secara terbuka juga perlu diadakan supaya dapatan daripada perbincangan tersebut boleh memberikan solusi atau penyelesaian lebih baik.
Tentu sekali skim pencen boleh dihentikan, namun waktunya dilihat masih belum sesuai dengan keadaan ekonomi sekarang, serta kekurangan kemahiran pekerja dalam menguruskan wang KWSP secara berhemah.
PENULIS DR. SAFIAH OMAR merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi melalui emel
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.