SAUDARA PENGARANG
Berkongsi rezeki dalam pelbagai cara. Tanpa mengira kecil atau besar jumlahnya. Yang pasti, besar maknanya kepada penerima, besar juga ganjarannya buat penyumbang. Apatah lagi jika ia disalurkan dalam bentuk sumbangan kewangan untuk dimanfaatkan kepada mahasiswa yang sedang menuntut ilmu.
Memahami situasi peningkatan kos sara hidup dan duit saku yang perlu dibahagi-bahagikan untuk pelbagai tujuan sepanjang pengajian, seperti kos pembelian buku dan alat tulis, mencetak bahan pembelajaran, tugasan; Masjid Al-Azhar, Universiti Islam Selangor mengambil langkah proaktif menganjurkan program agihan makanan percuma atau free food secara berjadual buat Mahasiswa Universiti Islam Selangor (UIS).
Bukan sekadar keperihatinan UIS kepada kebajikan mahasiswanya, namun usaha ini juga adalah bagi menyantuni amanah komuniti dan masyarakat yang berterusan menyalurkan sumbangan melalui tabung masjid atau sumbangan khusus bagi program makanan percuma sepanjang tahun.
Menerusi dana sumbangan yang konsistan, Masjid Al-Azhar UIS menyusun jadual penyediaan makanan percuma ini sebanyak lapan (8) kali sebulan atau dua hari seminggu sepanjang tahun dengan menyediakan 200 pek sarapan pagi atau makan tengah hari ;melibatkan dana sebanyak lebih RM56 ribu setahun.
Sehingga Oktober 2024, sebanyak 81 kali agihan sarapan atau makan tengah hari percuma telah dilaksanakan.
Manfaat ini bukan sekadar difokuskan kepada kelompok pelajar asnaf, namun turut terbuka buat semua pelajar yang memerlukan.
Mensyukuri rezeki dan nikmat menuntut ilmu
Bagi kebanyakan mahasiswa, program edaran makanan percuma seumpama ini, bukan sekadar rezeki atau ‘langkah kanan’ ketika mereka melalui kawasan masjid, namun lebih daripada itu, mereka menyedari betapa besarnya nikmat sebagai penuntut ilmu yang wajar disyukuri.
Program seumpama ini sangat membantu mengukuhkan keyakinan pelajar selain memudahkan urusan para pelajar menerusi rezeki yang diterima; sekali gus mempercayai bahawa Allah sentiasa menjamin rezeki setiap orang yang menyibukkan dirinya dengan menuntut ilmu.
Ini selaras dengan hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Haritsah, Rasulullah S.A.W bersabda: مَنْ طَلَبَ الْعِلْمَ تَكَفَّلَ اللَّهُ بِرِزْقِهِ “Sesungguhnya Allah S.W.T menjamin penuntut ilmu akan rezekinya.”
Menariknya, program edaran makanan percuma ini bukan sahaja di Masjid al-Azhar UIS, malah ia menjadi rutin amalan yang turut dianjurkan semua fakulti di UIS, termasuklah Fakulti Sains Sosial, Fakulti Pengajian dan Peradaban Islam, Fakulti Multimedia dan Komputeran, Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan dan Yayasan UIS.
Justeru, boleh dikatakan hampir setiap hari mahasiswa menerima manfaat daripada sumbangan orang ramai melalui edaran makanan percuma ini dengan menu berbeza.
Keterlibatkan semua pihak ini membolehkan biah solehah (persekitaran kondusif) di universiti terus berkembang subur dan harmoni. Gotong royong, saling membantu, cakna dan perihatin menjadi teras bagi merialisasikan pembentukan peribadi para da’i, pempimpin dan ahli masyarakat yang bertunjang adab dan ilmu yang berjiwa besar.
Teras ini juga sebagai usaha memupuk dan selari dengan hasrat kerajaan MADANI yang mahukan masyarakat Malaysia bersikap belas Ihsan dan menzahirkan maknanya melalui pengembelingan usaha pemerdayaan kemanusiaan yang bakal membawa kepada masyarakat Malaysia yang sejahtera.
Sinergi masjid dan komuniti
Masjid bukan sekadar menjadi pusat ibadah, namun kini peranannya lebih menyerlah sebagai pusat pengembangan ilmu dan menjadi medan utama daripada aspek kebajikan dan aktiviti sosial yang bersepadu dalam kalangan komuniti.
Sinergi antara masjid dan komuniti memperkasakan perananya dalam usaha pengimarahan dan pembangunan masjid yang lebih tersusun dan menjadi tarikan pelbagai peringkat masyarakat untuk lebih hampir dan ‘mesra’ dengan masjid.
Salah satu perkara penting dalam pembangunan masjid masa kini yang turut perlu diberi perhatian ialah pengurusan dana atau ‘tabung masjid’ yang semakin meningkat.
Ini ekoran pertambahan kesedaran sangat tinggi masyarakat tentang kelebihan bersedekah dan berinfaq sebagai salah satu cara meyakini rezeki yang perlu dikongsi bersama dan manfaatnya tidak putus sehingga meninggal dunia.
Daripada Abu Hurairah memberitahu bahawa RAsulullah S.A.W pernah berkata:-
“ Kalau seseorang itu meninggal dunia, maka amalnya akan terputus kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya.” (Hadis riwayat Muslim)
Maka sudah tentulah jawatankuasa masjid juga perlu terus meningkatkan keilmuan dan meneliti keperluan yang bersesuaian seiring dengan amanah orang ramai demi kemaslahatan masyarakat, agama dan negara.
Oleh,
Rahmahtunnisah Sailin
Pensyarah Komunikasi dan Penyiaran
Fakulti Sains Sosial, Universiti Islam Selangor
emel:
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.