fb fb fb fb fb

Trend pemikiran childfree, menjerumus negara ke arah pembentukan masyarakat tua

Foto hiasan/Bernama

SAUDARA PENGARANG

Matlamat bagi setiap individu yang telah mengikat tali pernikahan sudah pastinya adalah bagi membentuk sebuah keluarga bahagia. Secara dasarnya sebuah unit keluarga asas adalah terdiri daripada ibu, bapa dan anak.

Namun, kini seiring dengan perkembangan semasa dan pengaruh pemikiran dan budaya yang merentasi sempadan, konsep pemikiran dalam pembentukan keluarga bagi pasangan yang baru berkahwin telah mula cenderung kepada perkahwinan bebas anak atau dengan kata lain disebut sebagai ‘childfree marriage’.

Pemikiran ini sudah pastinya mempunyai pengaruh dan tanggapan daripada pelbagai perspektif. Jika dilihat pada sejarah asal usul terbentuknya prinsip pemikiran ini adalah dari pemikiran masyarakat yang tinggal di negara-negara barat kerana majoriti mereka adalah berpegang kepada prinsip kebebasan dalam kehidupan mereka.

Dalam erti kata lain apabila mereka telah mencapai umur tertentu golongan ini bebas menentukan apa sahaja yang ingin mereka lakukan terhadap diri dan juga kehidupan mereka di mana individu lain tidak berhak melakukan intervensi dalam keputusan tersebut.

Terma childfree ini kebiasaanya adalah merujuk kepada individu dewasa yang telah merancang atau tidak mempunyai keinginan untuk memiliki anak. Dengan kata lain, mereka adalah individu dewasa yang memilih untuk tidak memiliki anak walaupun mereka mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan kesihatan.

Tanpa kita sedar konsep pemikiran childfree marriage ini telah mula menular terutamanya bagi pasangan muda yang baru berkahwin disebabkan oleh beberapa faktor seperti kestabilan kewangan, pemerkasaan kendiri dan persekitaran dan psikologi.

Golongan ini memilih untuk menjalani kehidupan perkahwinan secara childfree sentiasa beranggapan dengan kehadiran anak akan menyebabkan beban kewangan mereka meningkat.

Perkara ini didorong oleh faktor peningkatan kos sara hidup pada masa kini yang semakin meningkat dari semasa ke semasa disebabkan oleh peningkatan kadar inflasi yang berlaku saban tahun.

Selain, itu pasangan muda ini juga sering beranggapan kehadiran zuriat dalam sesebuah perkahwinan akan menghalang mereka untuk terus membangunkan kapasiti diri ke peringkat lebih tinggi disebabkan keperluan untuk membahagikan masa dan wang di antara urusan peribadi dan keluarga.

Tambahan pula, mereka juga beranggapan bahawa dengan mempunyai anak akan menyebabkan mereka perlu menanggung beban kewangan yang tinggi serta tidak akan dapat menikmati gaya kehidupan diingini.

Di samping itu, golongan ini juga sering berpendapat bahawa kehadiran anak akan menyebabkan mereka tidak mampu memberikan keutamaan kepada pasangan masing-masing sama ada suami atau isteri.

Faktor-faktor yang mempengaruhi trend perkahwinan bebas anak ini boleh berpunca dari perspektif luaran mahupun dalaman. Mereka juga berpendapat bahawa keputusan tersebut adalah hak kebebasan mereka dalam erti kata lain mereka berpegang kepada konsep ‘tubuh mereka, adalah hak mereka’. Perkembangan trend pemikiran ini sekiranya tidak dikawal di peringkat awal lagi sudah pastinya akan mendatangkan lebih banyak mudarat berbanding kebaikan.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan oleh Datuk Dr. Maziah binti Che Yusoff, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan bahawa penurunan Kadar Kesuburan Jumlah (KKJ) bagi wanita di Malaysia akan mempercepatkan proses penuaan penduduk di Malaysia, di mana dijangka seramai 15 peratus penduduk di Malaysia adalah berusia 60 tahun dan keatas pada tahun 2030.

Keadaan dapat diunjurkan apabila berlakunya penurunan bilangan anak yang pesat bagi seorang wanita dari 6.7 anak pada tahun 1957 kepada 4.0 anak pada 1980, 3 anak (2000), 2.1 anak (2010) dan 1.7 anak (2021), situasi ini secara tidak lansung akan mempengaruhi pertumbuhan negara pada masa akan datang.

Pengurangan kadar kelahiran yang berlaku secara pesat di Malaysia ini akan menjerumuskan populasi negara kepada pembentukan masyarakat tua yang secara tidak lansung akan menjejaskan pembangunan negara pada masa akan datang.

Walaupun masalah ini tidak berlaku dalam tempoh masa singkat, namun dalam tempoh masa 10, 20 atau 30 tahun akan datang sudah pasti peratus golongan warga emas akan lebih tinggi berbanding populasi individu yang seharusnya tergolong dalam kumpulan produktif dalam pasaran pekerjaan bagi memastikan kelansungan ekonomi sesebuah negara.

Sekiranya krisis pertumbuhan populasi sesebuah negara mula menuju kearah pembentukan masyarakat tua, situasi yang terjadi akan menurunkan kadar potensi produktiviti tenaga kerja dan pendapatan kasar negara.

Pada masa sama akan meningkatkan berlakunya masalah sosial seperti ‘lonely death’ yang banyak berlaku di Jepun. Keadaan ini terjadi apabila golongan warga emas yang tinggal bersendirian tanpa ahli keluarga meningal dunia tanpa disedari oleh masyarakat sekeliling.

Kesimpulannya, pembentukan unit keluarga dasar yang kukuh perlu dilaksanakan bagi memastikan masyarakat yang lebih harmoni dan membangun pada masa akan datang.

Oleh itu, corak pemikiran childfree marriage ini seharusnya dibendung bermula dari peringkat awal lagi bagi mengelakkan dari berlakunya masalah sosial ‘lonely death’ dalam kalangan warga emas.

Sekali gus memastikan kesihatan mental yang optimum di kalangan masyarakat serta mengurangkan risiko masalah ketidak seimbangan populasi penduduk yang lebih serius pada masa akan datang.

Tidak salah untuk pasangan mengawal kadar kelahiran anak-anak dalam sesebuah keluarga dengan tujuan bagi memastikan kebajikan, pendidikan, kesihatan, kewangan dan kasih sayang dapat diberikan secara optimum kepada anak-anak.

Namun, adalah tidak wajar untuk pasangan yang telah berkahwin memilih untuk childfree marriage atas melainkan disebabkan oleh faktor kesihatan kerana ianya bertentangan dengan fitrah manusia.

PENULIS NURUL ASHIKIN ALIAS, Felo Penyelidik di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidaksemestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI