SAUDARA PENGARANG
Hampir setahun penguatkuasaan Klasifikasi Filem 2023 diperkenalkan di Malaysia. Klasifikasi filem yang ditambah baik dengan mengambil kira kepentingan kebebasan penontonan golongan dewasa iaitu dengan klasifikasi “18”.
Ini juga melindungi penonton dalam kalangan remaja dan kanak-kanak daripada terdedah kepada elemen yang tidak sesuai dengan mereka.
Bagi klasifikasi seperti “P12” untuk tontonan semua peringkat umur dengan keperluan bimbingan ibu bapa bagi penonton di bawah usia 12 tahun.
Selain itu, klasifikasi “13” untuk penonton berusia 13 tahun ke atas dan “16” hanya untuk penonton berusia 16 tahun ke atas. Bagi filem yang boleh ditonton oleh segenap lapisan umur, klasifikasi “U” diberikan kepada filem berkenaan.
Usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah Lembaga Penapis Filem (LPF) dilihat baik dalam mengawal selia kepenontonan filem di Malaysia di pawagam mahupun di televisyen. Hal ini terutama dengan kepelbagaian klasifikasi mengikut usia dan tanpa menidakkan hak kepenontonan penonton dewasa.
Jika dibandingkan dengan klasifikasi sebelumnya, klasifikasi berkenaan lebih khusus kepada umur tertentu. Klasifikasi terdahulu lebih terbuka dan tiada pemisahan usia yang nyata antara klasifikasi “U” dan “18”.
Namun begitu, dalam tempoh setahun ini, klasifikasi filem hampir tidak diperkatakan orang ramai. Malah, pandangan peribadi penulis beranggapan ibu bapa masih belum cakna berkenaan kepentingan klasifikasi filem dalam pemilihan filem tontonan di pawagam.
Ada juga ibu bapa yang masih membawa anak-anak menonton filem berklasifikasi “16” di pawagam dengan pemaparan ganas yang tidak bersesuaian dengan umur yang jauh lebih muda. Seharusnya, hal begini tidaklah patut terjadi setelah klasifikasi yang jelas telahpun dikuatkuasakan.
Selaras dengan pelancaran Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF) dan Klasifikasi Filem Baharu pada 20 Mei 2024 oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, seharusnya usaha mempromosikan klasifikasi filem perlu ditambah giat.
Meskipun klasifikasi filem bukanlah peraturan yang semestinya dipatuhi dan dikenakan denda sekiranya gagal, kesedaran terutama dalam kalangan ibu bapa adalah penting dalam membentuk generasi yang bermoral dan beretika.
Tanda pagar #tontondenganbijak sangat menarik dan molek. Tetapi, ketika penulis melayari media sosial dengan tanda pagar itu mendapati penggunaannya masih terlalu kecil dan tidak signifikan.
Sudah tiba masanya pelbagai pihak berwajib terhadap kawal selia kandungan filem tempatan berusaha untuk mempergiatkan kempen kesedaran di media sosial terutamanya. Selain golongan ibu bapa, kesedaran yang sama juga diharap dapat diterapkan dalam kalangan remaja.
Tanpa menafikan kepentingan media massa lainnya, kepentingan promosi dan kempen kesedaran perlulah meliputi semua jenis media. Namun, media sosial lebih mudah, cepat dan menyasarkan golongan yang tepat dalam menggunakan klasifikasi filem berkenaan.
Pada saat ini, klasifikasi filem hanya tinggal pada garis panduan penapisan tanpa disedari oleh golongan sasarannya. Barangkali pihak pembuat filem dan mereka yang terlibat dengan permohonan penapisan filem sahaja sedar akan kewujudan klasifikasi filem. Adalah menjadi sebuah kerugian jika hal ini terus berlanjutan.
PENULIS, DR. HANI SALWAH YAAKUP, Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM. Beliau boleh dihubungi melalui e-mel
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.