fb fb fb fb fb

Solusi lambakan rumah gagal dijual perlu dicari bersama

Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

Setiap tahun begitu banyak unit perumahan yang telah dibina oleh syarikat pemaju perumahan di Malaysia sama ada di kawasan bandar dan juga luar bandar. Beratus-ratus syarikat yang terlibat dalam aktiviti peniagaan dan pembangunan harta tanah yang telah berdaftar dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Malaysia berdasarkan data yang telah dikemaskini pada 2 Disember 2023.

Berdasarkan Laporan Pasaran Harta Tanah bagi separuh penggal ketiga 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) mendedahkan bahawa terdapat 31,092 unit kediaman yang telah siap dibina tetapi tidak terjual bagi tempoh masa itu dengan jumlah nilai keseluruhan adalah RM18.96 bilion.

Situasi ini menimbulkan tanda tanya apabila masih ada pemaju perumahan yang tetap membangunkan harta tanah kediaman sedangkan masih terdapat banyak bilangan unit rumah yang belum terjual.

Apakah faktor yang mendorong kepada kegagalan penjualan rumah? Apakah strategi yang dilaksanakan bagi mengatasi masalah pemilikan rumah di kalangan masyarakat Malaysia?

Terdapat beberapa perkara yang telah dikenalpasti sebagai faktor-faktor yang mendorong kepada kegagalan penjualan rumah di Malaysia iaitu harga rumah yang terlampau tinggi, terdapat lambakan pembekal di pasaran serta syarat kelulusan pinjaman perumahan yang ketat. Dapat dilihat, kadar nilai inflasi terkini adalah pada nilai 1.5 peratus semenjak disember 2023.

Tambahan pula, keadaan nilai inflasi yang semakin meningkat juga telah mendorong berlakunya peningkatan nilai sesebuah hartanah perumahan yang disebabkan oleh peningkatan kos pembelian bahan-bahan binaan yang diperlukan.

Memang tidak dinafikan bahawa harga hartanah kini semakin meningkat dengan pesatnya. Jika seseorang individu lambat untuk membeli hartanah perumahan tersebut, maka sudah pastinya akan ketinggalan jauh di belakang. Namun, berdasarkan reality pada masa kini kenaikan gaji sedia ada apabial dibandingkan dengan kenaikan pantas nilai harga sesebuah unit perumahan telah mengakibatkan masih ramai lagi individu yang berfikir beberapa kali hanya untuk membuat
keputusan untuk membeli sebuah rumah.

Selain itu, jumlah bilangan pemaju perumahan yang sentiasa bertambah dari semasa ke semasa juga menjadi salah satu faktor yang mendorong kepada kegagalan penjualan hartanah kediaman di Malaysia. Jika dilihat, terdapat banyak pemaju-pemaju besar yang sedang giat membangunkan kawasan-kawasan baru dengan pembinaan pelbagai jenis kediaman dari tahun ke tahun sama ada bagi ketegori kediaman mewah, sederhana, rendah dan juga projek perumahan rakyat.

Namun, akibat daripada persaingan hebat di kalangan pemaju-pemaju ini, harga rumah telah meningkat naik dengan hebatnya. Keadaan ini telah mewujudkan satu situasi di mana bilangan pembekal adalah ramai, sedangkan sedangkan bilangan pembeli adalah lebih rendah. Denga kata lain "high supply, low demand". Masalah ini juga turut dipandang serius oleh pihak pemaju bagi mengelakkan mereka menghadapi kerugian yang besar selari dengan tempoh masa yang panjang.

Situasi permintaan perumahan yang rendah dengan keadaan bekalan yang tinggi telah menyebabkan pelbagai program diwujudkan sama ada oleh pihak pemaju perumahan atau pihak kerajaan untuk memastikan ramai individu yang mampu untuk mendapatkan kediaman yang selesa, selamat dan berdaya huni untuk didiami bagi membentuk unit keluarga yang harmoni.

Bagaimanapun, sehingga kini masih ramai lagi individu yang gagal mendapatkan kelulusan pinjaman rumah daripada pihak bank. Hal ini kerana pihak bank kini adalah lebih berhati-hati dalam meluluskan sesebuah pinjaman rumah denga syarat pinjaman yang lebih ketat. Ini adalah disebabkan oleh faktor keadaan ekonomi semasa yang tidak begitu stabil sama ada berpunca dari faktor luaran mahupun dalaman.

Terdapat banyak perkara yang perlu diambil kira oleh pihak bank sebelum meluluskan pinjaman kepada peminjam yang berpotensi bagi mengelakkan berlakunya masalah ketidakmampuan pembayaran semula jumlah pinjaman tersebut. Oleh yang demikian, terdapat banyak rungutan demi rungutan disampaikan oleh pihak pembeli yang berpotensi akibat daripada penolakan permohonan pinjaman daripada pihak bank.

Oleh itu, bagi mengatasi masalah lambakan unit perumahan yang gagal dijual di dalam negara, maka setiap pihak dari pelbagai peringkat, sama ada dari peringkat kerajaan, pemaju perumahan serta entiti seperti Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), UDA Holdings Berhad, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) perlu memainkan peranan yang penting dalam memastikan setiap individu atau unit keluarga mampu untuk mendiami rumah yang selesa dan berdaya huni bagi menwujudkan keluarga yang harmoni dan bahagia.

SelangorKini pada 8 Oktober 2018 melaporkan bahawa pembangunan kelima-lima entiti tersebut adalah dengan suatu tujuan iaitu membolehkan pendekatan bersepadu selain mengelakkan pertindihan projek perumahan mampu milik. Selain itu, ia juga akan memastikan pendekatan yang bersesuaian untuk pemaju swasta menerusi garis panduan dan penglibatan yang tepat berhubung perumahan mampu milik.

PENULIS DR. NURUL ASHIKIN ALIAS merupakan Felo Penyelidik di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI