fb fb fb fb fb

Satu pasukan, satu impian: Kuasa sinergi

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Sinergi pasukan merujuk kepada kerjasama harmoni dan efektif antara setiap ahli sesebuah organisasi atau pasukan untuk mencapai matlamat bersama. Sinergi pasukan merangkumi elemen seperti komunikasi berkesan, iaitu semua ahli saling memahami dan berkongsi idea dengan jelas, serta kepercayaan dan hormat antara ahli; menghargai peranan masing-masing dan mempercayai kebolehan satu sama lain.

Kepelbagaian kemahiran turut memainkan peranan penting dengan menggabungkan kekuatan dan kepakaran berbeza untuk mencapai hasil yang lebih baik. Di samping itu, fokus terhadap matlamat bersama memastikan semua ahli bekerjasama dengan visi dan objektif yang selaras, manakala sokongan emosi antara ahli membantu memberikan motivasi, galakan, dan semangat untuk mencapai kejayaan bersama.

Kepentingan sinergi pasukan terletak pada keupayaan untuk meningkatkan produktiviti dan menghasilkan keputusan yang lebih baik. Apabila pasukan bekerjasama secara harmoni, tugas dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan cekap kerana setiap ahli menyumbang mengikut kepakaran masing-masing.

Sinergi ini juga membolehkan penggabungan idea, perspektif, dan pelbagai kemahiran, menghasilkan penyelesaian lebih kreatif dan inovatif. Selain itu, melalui komunikasi, kepercayaan, dan sokongan emosi, ahli pasukan dapat membina hubungan kerja yang positif, meningkatkan moral dan motivasi kerja secara keseluruhan.

Di samping itu, sinergi pasukan menggalakkan pembelajaran dan perkembangan, di mana ahli saling belajar daripada satu sama lain untuk memperbaiki kemahiran dan meningkatkan pengalaman kerja. Ia juga memastikan pencapaian matlamat organisasi kerana pasukan dapat bergerak seiring untuk mencapai visi dan misi bersama.

Dengan kerjasama baik, konflik dapat dikurangkan, mewujudkan persekitaran kerja yang lebih harmoni. Tambahan pula, pasukan dengan sinergi yang kuat lebih mudah menghadapi cabaran dan tekanan kerana adanya sokongan moral antara ahli, menjadikan mereka lebih berdaya tahan dalam apa jua situasi.

Pelbagai langkah boleh dan perlu dilaksanakan dalam membina sinergi pasukan sesebuah organisasi. Antaranya seperti penetapan matlamat lebih jelas, peranan dan tanggungjawab spesifik, saluran komunikasi berkesan, membina kepercayaan dan hormat, Latihan dan pembangunan serta aktiviti pembentukan pasukan (team building).

Sebagai contoh pembinaan sinergi pasukan akademik di Universiti Islam Selangor. Satu aktiviti pembentukan pasukan telah dijalankan oleh Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan (FEPP), di Hulu Langat bagi membina sinergi pasukan dalam kalangan ahli fakulti termasuk kakitangan sokongan dan akademik.

Menerusi program itu, pelbagai aktiviti dianjurkan dengan tujuan untuk membentuk sinergi pasukan dalam kalangan warga FEPP, sekali gus memupuk semangat kerja berpasukan dan kerjasama dalam menyokong serta membangunkan hala tuju fakulti.

Aktiviti-aktiviti ini juga bertujuan menyemarakkan semangat saling bekerjasama, hormat-menghormati serta menerapkan nilai-nilai murni,. Selain itu, aktiviti juga dapat memperkukuhkan hubungan silaturrahim dalam kalangan warga FEPP untuk membina ikatan lebih erat.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

AHMAD YANI ISMAIL
Ahmad Yani Ismail
Pensyarah, Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor

MAT YUNUS BIN SABRI