fb fb fb fb fb

RTM buka peluang sama rata untuk pemain industri tawar karya kreatif

Wakil saluran TV RTM dan wakil syarikat produksi yang hadir pada Taklimat Perolehan Program TV RTM Januari lalu/Foto RTM

SAUDARA PENGARANG

Saban tahun, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) melalui Unit Kandungan dan Kreatif (UKK), Bahagian Pembangunan Strategik akan mengadakan sesi pitching dan sesi screening. Sesi pitching adalah apabila syarikat produksi tempatan dipanggil untuk membentangkan idea dan kertas cadangan (proposal) sebelum idea itu dipersetujui untuk dijadikan program TV dan disiarkan di RTM. Sesi screening pula adalah apabila program- program dari luar negara disaring dan dipilih untuk disiarkan di stesen televisyen RTM.

Sesi pitching dan screening adalah prosedur biasa dan turut diadakan oleh mana-mana stesen televisyen bertujuan mencari kandungan program TV untuk disiarkan di saluran masing- masing.

Pada 15 Januari lalu, berlangsungnya Taklimat Perolehan Program TV RTM 2024 bertempat di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media. Sebanyak 584 syarikat produksi tempatan hadir ke majlis tersebut yang dianjurkan oleh Unit Kandungan dan Kreatif (UKK), Bahagian Pembangunan Strategik, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM). Majlis turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman dan barisan ahli Direktorat RTM.

Pada sesi taklimat tahun ini, Datuk Suhaimi sendiri membuat pembentangan, menjawab soalan pihak pembekal, memberikan penjelasan dan contoh dengan terperinci akan kehendak RTM pada sesi pitching dan screening yang akan datang.

Di samping itu, beliau menekankan aspek-aspek seperti tema pemerkasaan wanita, ekonomi digital, pendidikan vokasional dan teknikal (TVET), peralihan tenaga (energy transition) dan perpaduan kaum yang akan mewarnai program TV RTM. Kali ini, sebanyak 120 kategori dibuka untuk menggalakkan lebih banyak syarikat pembekal menyertai sesi pitching dan screening.

Sehubungan itu, syarikat-syarikat produksi tempatan perlu menggalas tanggungjawab agar ke semua tema dinyatakan dapat diterjemahkan melalui karya kreatif mereka yang akan disiarkan di semua platform TV RTM iaitu TV1, TV2, TV Okey, Saluran Berita RTM dan Saluran Sukan RTM.

Mungkin tidak ramai yang mengetahui program-program yang bersiaran di semua saluran TV RTM adalah disumbangkan oleh bahagian Berita TV, Bahagian Penerbitan TV, Program Agama terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan program Swasta (Perolehan Tempatan dan Luar Negara) yang diperoleh secara sumber luar (outsource) melalui UKK, RTM.

2201 PEROLEHAN RTM1
Proses penggambaran (Shooting) perlu dijalankan sebelum sesuatu program TV disiarkan/Foto RTM

Perolehan kandungan program swasta tempatan dan luar negara ini melibatkan lebih 40% daripada keseluruhan kandungan siaran saluran TV RTM.  Tahun 2019 merekodkan industri kreatif dan budaya menyumbang sekitar 1.9 peratus atau RM28.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding negara jiran seperti Indonesia dan Thailand yang secara purata menyumbang 5 hingga 7 peratus KDNK.

Dari sudut global pula, Laporan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan PBB (UNCTAD) menyatakan nilai industri kreatif global kini kira-kira bernilai RM6.7 trilion (AS$1.6 trilion). Malah ia turut mewujudkan 29.5 juta peluang pekerjaan atau satu peratus daripada populasi aktif di dunia.

Di manakah kita dalam kerancakan dan pertumbuhan drastik industri kreatif global hari ini? Kita tidak boleh berterusan menjadi pelanggan atau pengimport kandungan kreatif daripada luar. Sebaliknya, kita haruslah bergerak sebagai pengeksport dalam pasaran global.

Adalah suatu yang memalukan apabila kita membeli kandungan dari negara luar yang kemudiannya program itu perlu melalui lembaga tapisan filem yang ketat sehingga terlalu banyak babak terpaksa dipotong. Akibatnya, mutu dan jalan cerita program berkenaan terjejas. 

Oleh itu, syarikat pembekal haruslah menyahut seruan Ketua Pengarah Penyiaran untuk menghasilkan program TV yang kreatif dan inovatif berdasarkan tema-tema yang beliau bangkitkan semasa sesi taklimat tempoh hari.

Program televisyen RTM sepatutnya sudah ke depan dengan sumber alam budaya yang sangat kaya di negara ini. RTM melakukan tanggungjawabnya kepada pemain industri kreatif dengan memberikan peluang sama rata kepada semua syarikat produksi tempatan.

Namun, kebimbangan adalah persiapan daripada segi pemikiran dan tanggungjawab sosial pemain atau karyawan industri kreatif.

Teknologi boleh dibeli, daya kreatif boleh dilatih tetapi tanggungjawab penerbit syarikat sebagai pencari wang semata-mata wajar diubah agar RTM memperoleh karya yang bermutu dan syarikat mendapat manfaat daripada perolehan yang ditawarkan pihak kerajaan.

Dalam konteks tempatan, industri kreatif bukan sahaja untuk menjana ekonomi tetapi sama penting sebagai platform mengangkat sosiobudaya ke peringkat dunia. Teknologi dan karya kreatif hanya alat. Namun, manusia berakal yang menjadi penentunya.

Oleh
Mohd Aliff Mohd Nor
Penolong Pengarah (Perolehan Swasta)
Unit Kandungan dan Kreatif, RTM

MAT YUNUS BIN SABRI