fb fb fb fb fb

Rasional penyasaran subsidi diesel kepada ekonomi negara

Foto hiasan/Bernama

SAUDARA PENGARANG

Pelbagai reaksi diterima daripada pelbagai pihak mengenai keputusan kerajaan dalam menukar pelan subsidi diesel kepada sasaran pengguna yang layak. Ada pihak mengatakan perkara ini boleh menyebabkan kenaikan harga barang keperluan seperti komoditi pada masa hadapan.

Ada juga yang memberikan reaksi positif dengan memberi jangkaan pertambahan kemasukan pelaburan asing, kerana penyasaran subsidi ini membuktikan komitmen negara dalam usaha membaik pulih keadaan ekonomi Malaysia.

Namun perkara ini masih baru dan kesan kepada ekonomi negara masih lagi tidak dapat dilihat secara tepat. Pandangan dari sudut kitaran kewangan ekonomi sesebuah negara, faktor kenaikan ekonomi terhasil dari rantaian perbelanjaan dan pendapatan pengguna.

Peningkatan transaksi perbelanjaan dan pendapatan ini pula bergantung kepada faktor persekitaran ekonomi termasuk kadar cukai, faedah simpanan, keadaan permintaan dan kesediaan pasaran, dan ketersediaan pakej rangsangan perbelanjaan.

Secara am, kadar perbelanjaan penduduk dalam negara bergantung kepada ketersediaan pendapatan boleh guna (disposable income) iaitu baki pendapatan setelah ditolak segala pembayaran hutang, simpanan, dan pelaburan.

Terdapat beberapa kesan penting perlu diperhatikan dengan tindakan subsidi diesel bersasar. Antaranya bagaimana perubahan kitaran rantaian bekalan perniagaan berkaitan dapat menjamin kos pembuatan serta perkhidmatan dikekalkan atau boleh dikurangkan.

Jika penyasaran subsidi tersebut adalah tepat pada keperluan rantaian bekalan ini, maka sudah tentu pengurangan kos boleh terjana. Bagaimanapun, jika penyasaran subsidi tersebut lemah dari segi sasaran kepada keperluan tertentu, kadar kos dalam rantaian pemasaran boleh menyebabkan kenaikan harga yang perlu ditanggung oleh pengguna.

Sekiranya terdapat kenaikan kos di mana-mana rantaian bekalan perniagaan, harga barang atau perkhidmatan akan terkesan kepada rantaian akhir iaitu pada harga jualan kepada pengguna.

Terbaharu, Persatuan Pelancongan dalam Malaysia (MITA) mengumumkan bahawa kadar sewa kenderaan pelancongan akan dinaikkan kepada 20% bermula 17 Jun 2024 akibat kenaikan harga diesel sekali gus membebankan kewangan sektor tersebut.

Peningkatan harga diesel sebanyak 56% kepada RM3.35 per liter dilihat sebagai satu perubahan besar terutama kepada sektor-sektor industri yang melibatkan penggunaan bahan bakar tersebut.

Secara logik, proses penjualan bahan komoditi dan keperluan harian juga pasti menggunakan kenderaan seperti lori dan van yang menggunakan diesel. Keadaan ini dikhuatiri akan menyebabkan penjual menggunakan alasan kenaikan kos pengangkutan barang sebagai justifikasi kenaikan harga kepada pengguna pada masa akan datang.

Merujuk kembali kepada kitaran ekonomi dan faktor perbelanjaan pengguna, kenaikan harga akan menyebabkan pengurangan kuasa membeli dan secara langsung menurunkan kadar kitaran perbelanjaan dalam ekonomi negara.

Walaupun kenaikan harga secara keseluruhan masih belum dapat dilihat, pengguna kenderaan peribadi yang menggunakan diesel sudah pasti akan terkesan. Sesetengah pengguna kenderaan diesel ini tidak ada pilihan lain kerana kenderaan tersebut mungkin digunakan sebagai kemudahan mereka untuk menjana pendapatan.

Sebagai contoh, pengguna kereta jenis trak, van, atau pacuan empat roda yang membuat kerja sampingan penghantaran barang seperti lalamove, ShopeeExpress, membuat jualan hasil tanaman kebun, dan banyak lagi. Jika sasaran subsidi diesel tidak diberikan kepada golongan ini, sudah tentu proses penjanaan pendapatan mereka akan terjejas.

Dalam rantaian bekalan perniagaan, terutama proses yang menggunakan diesel seperti pengangkutan dan penjanaan tenaga, dikhuatiri terkesan dengan kenaikan kos pembuatan atau perkhidmatan mereka.

Mampukan subsidi bersasar ini dapat menyampaikan maksud sebenar iaitu memulihkan keadaan ekonomi negara dengan memberi subsidi hanya kepada golongan memerlukan.  

Walaupun masih awal untuk diberikan kesimpulan kesan sebenar, jangkaan ini masih perlu diperhatikan secara lebih terperinci supaya sasaran subsidi diesel ini mampu mengelakkan kenaikan sebarang kos perniagaan dan tidak memberi implikasi kepada kemampuan pengguna dalam berbelanja serta menampung kehidupan seharian mereka.

PENULIS DR. SAFIAH OMAR, Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI