fb fb fb fb fb

Raikan Syawal dengan penuh keberkatan

Foto Hiasan

SAUDARA PENGARANG

Syawal merupakan bulan bagi umat Islam meraikan kemenangan mereka setelah mengharungi sebulan berpuasa di bulan Ramadan.

Akan tetapi, meraih kemenangan bagi umat Islam bukanlah dengan kembali menurut desakan hawa nafsu atau dengan meninggalkan segala amal ibadat yang telah dilakukan secara intensif dan ekstensif dalam bulan Ramadan.

Hakikat yang sebenar, meraih kemenangan atau menyambut kegembiraan adalah sentiasa istiqamah dengan amal ibadat yang telah dilakukan semasa di bulan Ramadan, di samping meningkatkan rasa syukur akan nikmat Allah yang tidak terhingga.

Allah SWT menetapkan satu hari iaitu pada 1 Syawal kepada umat Islam untuk menyambut kegembiraan dangan tidak dibenarkan untuk berpuasa pada hari tersebut.

Sepertimana yang telah disebut dalam hadis Nabi Muhmammad SAW: Rasulullah SAW melarang berpuasa pada dua hari iaitu Aidilfitri dan Aidiladha. (HR Muslim).

Secara umumnya, umat Islam meraikan kedatangan Aidilfitri dengan pelbagai tradisi. Cara menyambut raya di setiap negara berbeza antara satu sama.Bagi masyarakat Islam di sebelah Timur Tengah, mereka hanya menyambut satu hari sahaja sebagai tanda kemenangan mereka melawan hawa nafsu dan kelaparan. Berbeza dengan masyarakat Islam di rantau Alam Melayu, Aidilfitri disambut di Malaysia, Indonesia, Thailand dengan tradisi yang berbeza.

Di Malaysia, masyarakat Islam lazimnya meraikan Aidilfitri selama sebulan. Mereka menyambut raya Aidilfitri dengan amalan yang diwarisi dari generasi awal seperti tradisi kunjung mengunjungi, bermaafan, menjamu pelbagai juadah makanan dan kemudiannya dipopularkan dengan tradisi rumah terbuka.

Bulan Syawal menjadi peluang kepada masyarakat Islam untuk mengeratkan hubungan dengan ahli keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga.

Tradisi meraikan Aidilfitri sebulan menjadi perdebatan dalam kalangan pihak tertentu dengan mengganggap ia menyalahi sunnah Nabi SAW yang merayakannya hanya sehari.

Sedangkan di satu pihak melihat, keraian ini tiada isu berbangkit kerana ia tidak melibatkan penambahan terhadap perkara yang dilarang syarak. Ia sekadar jemputan untuk menikmati juadah makanan dan tiada pengulangan selama sebulan terhadap ibadat solat sunat hari raya, mandi sunat hari raya atau takbir raya.

Momentum sambutan raya berterusan dengan tradisi rumah terbuka hanya kerana sempena bulan Syawal. Sementelah dalam bulan lain, masyarakat Islam juga mempunyai tradisi yang melibatkan jamuan makanan dengan pelbagai tujuan seperti jamuan kesyukuran, jamuan kenduri kahwin, kenduri akikah, kenduri berkhitan, kenduri naik rumah, naik haji dan umrah, jamuan doa selamat dan pelbagai jamuan lain.

Jika dilihat sambutan Aidilfitri di Malaysia, bermula 1 Syawal sehinggalah penghujung bulan Syawal akan terdapat pelbagai jemputan rumah terbuka di pelbagai peringkat sama ada orang persendirian, tokoh politik, ahli perniagaan, komuniti atau badan-badan kerajaan dan swasta.

Banyak pihak berlumba-lumba menganjurkan rumah terbuka. Tujuannya adalah tidak lain, hanyalah untuk menunjukkan rasa syukur dengan menjamu aneka juadah makanan di samping untuk mengeratkan tali silaturrahim dan persaudaraan sesama insan.

Amalan ini bertepatan dengan petunjuk Nabi SAW yang menjanjikan syurga kepada orang yang menjamu orang lain makan.

Sabda Nabi SAW: “Sembahlah al-Rahman, berilah makan yang lain, sebarkanlah (salam) keselamatan, nescaya kamu akan masuk syurga dalam keadaan aman (salam).” (HR Tirmizi).

Dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa mukmin yang memberi makan seorang mukmin yang kelaparan, maka Allah memberinya makan dari buah-buahan syurga
pada hari kiamat.” (HR al-Tirmizi).

Kedua-dua hadis ini menunjukkan betapa besarnya pahala bagi orang yang menjamu orang lain makanan. Begitu juga dengan penyediaan air minum, Nabi SAW menganggapnya sebagai sedekah yang terbaik. Dalam hal ini, Nabi SAW bersabda: “Sebaik-baik sedekah adalah mengalirkan (menyediakan) air.” (HR Ibnu Majah).

Selain itu, dalam tradisi rumah terbuka ini juga, amalan ziarah menziarahi dihidupkan bagi menguatkan hubungan silaturrahim. Kesibukan rutin harian kadangkala menjarakkan hubungan di antara saudara mara, jiran tetangga dan rakan taulan.

Jadi, dengan tradisi rumah terbuka, ia menjadi peluang untuk saling bertanya khabar dan perkembangan antara satu sama lain.

Dengan menghubungkan silaturrahim, ia menjadi sebab kepada dipanjangkan umur dan diluaskan rezeki seperti mana hadis Nabi SAW: “Barang siapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan diluaskan rezekinya, hendaklah ia menyambungkan silaturahim.” (HR al-Bukhari dan Muslim).

Selari dengan itu juga, dalam tradisi sambutan rumah terbuka, amalan saling memohon maaf dilakukan antara tuan rumah dengan tetamu yang datang dan juga sesama tetamu.

Ungkapan yang sering diucapkan: mohon maaf zahir dan batin, maaf, kosong-kosong dan minta maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki. Amalan ini selari dengan hadis Nabi SAW yang menganjurkan memohon dan memberikan kemaafan.

0105 KOLUMNIS SYAWAL KEBERKATAN 2

(Foto penulis, Dr Mohd Anuar (kiri) dan Muhammad Syafiq Mohd Fuad (kanan))

Sabda Nabi SAW: “Dan Allah tidak menambah dengan sebab kemaafan yang diberikan (kepada orang lain), melainkan kemuliaan.” (HR Muslim). Dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda: “Tidaklah ada dua orang Muslim itu apabila bertemu, lalu bersalaman, melainkan akan diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah.” (HR Ahmad).

Terdapat juga amalan memberikan duit raya kepada kanak-kanak, golongan fakir miskin dan warga emas ketika sambutan rumah terbuka. Walaupun ada pihak yang melihat ia sebagai amalan yang tidak wajar kerana mengajar perilaku seolah-olah ‘rasuah’ dengan menyogok duit raya.

Salah faham ini perlu dimurnikan agar masyarakat tidak keliru. Sedangkan pemberian duit raya adalah lanjutan daripada amalan bersedekah di bulan Ramadan.

Ini kerana amalan tersebut wajar diamalkan sepanjang tahun, bukan sekadar dalam bulan Ramadan sahaja. Amalan ini dapat menjadi senjata dalam penghapusan dosa. Ia selari dengan hadis Nabi SAW: “Sedekah itu dapat memadamkan dosa sebagaimana air dapat memadamkan api.” (HR al-Tirmizi).

Jelaslah, bahawa tradisi beraya selama sebulan di bulan Syawal itu tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Beberapa amalan yang terdapat di dalamnya seperti ziarah menziarahi, menjamu makanan dan minuman, saling bermaafan, menghubungkan silaturrahim dan bersedekah adalah sangat dituntut dalam Islam. Ia merupakan tradisi sahih yang diwarisi sejak zaman silam kerana salah satu manifestasi nilai budi Melayu adalah menjaga silaturrahim.

Amalan ini dapat menjadi wadah dalam perpaduan umat Islam dan juga masyarakat majmuk yang lain. Ia juga dapat menangani rasa prejudis dan buruk sangka antara satu sama lain. Walaupun begitu, tradisi rumah terbuka ini bukanlah tiket untuk melakukan pemborosan dan pembaziran.

Bagi tuan rumah, hindarilah perkara yang dilarang syarak, tidak melampau dan membazir dalam penyediaan makanan. Bagi tetamu, hormati tuan rumah dan jangan makan secara berlebihan kerana ia akan mengundang pelbagai penyakit pasca berakhirnya bulan Syawal.

Dalam hal ini, Nabi SAW bersabda: “Tidaklah manusia memenuhi wadah yang lebih buruk dari perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat menegakkan tulang punggungnya. Jika memang harus melebihi itu, maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga untuk nafasnya.” (HR Ibn Majah)

Justeru, raikanlah kemuliaan Syawal dalam batasan yang dibenarkan syarak agar Syawal yang diraikan mendatangkan keberkatan dengan menambah kesihatan dan dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki, mendapat keampunan, serta dimasukkan dalam syurga Allah SWT.

PENULIS DR MOHD ANUAR merupakan Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan boleh dihubungi di Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. manakala MUHAMMAD SYAFIQ MOHD FUAD merupakan mahasiswa Universiti al-Azhar, Mesir.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM