fb fb fb fb fb

Radio dan lagu raya, tidak hormat kemuncak Ramadan?

(Foto hiasan)

SAUDARA PENGARANG

Lagu raya dan radio berpisah tiada. Terutamanya ketika Ramadan hampir melabuhkan tirainya. Berkumandangnya lagu raya menambah seri dan meriahnya menyambut kehadiran Syawal.

Namun, tidak dinafikan, ia turut mengundang perasaan yang berbeza dalam kalangan pendengar. Sebak, syahdu dan sedih kerana Ramadan berada pada penghujungnya.

Menjelang minggu akhir Ramadan, adalah fasa penting meningkatkan amal ibadah dengan keyakinan tinggi adanya Lailatul Qadar. Sudah pasti ia memerlukan fokus, tenaga dan ketahanan emosi dan fizikal yang teguh.

Melalui fasa endemik COVID-19, menjadi kesyukuran yang tinggi bagi umat Islam seluruh dunia kerana Ramadan dapat disambut dan dipenuhi dengan amal ibadah tanpa batas pergerakan. Masjid-masjid dan surau kembali meriah dengan kunjungan kebanyakan keluarga untuk berjemaah solat fardhu dan tarawih.

Iftar di masjid-masjid dan surau juga menjadi medan pengumpul pahala bersedekah dan berinfak. Turut menggembirakan adalah aktiviti pengisian rohani, ceramah dan bertadarus Quran secara bersemuka dan berterusan sepanjang Ramadan. Impak emosi berbeza bila dapat berkomunikasi secara bersemuka.

Namun, benarkah siaran lagu raya seolah-olah tidak menghormati kemuncak Ramadan?


(Berbuka bersama keluarga mengeratkan hubungan kekeluargaan)

Radio sebagai penghibur

Sebagai sebuah medium yang mempunyai khalayak yang tinggi, radio berperanan sebagai medium menghibur para pendengar.

Laporan terkini oleh  GfK Radio Audience Measurement Survey  Radio (RAM) yang diterbitkan pada November 2022 menunjukkan bahawa aras tertinggi untuk pendengar radio Malaysia mencapai seramai 97.2% individu di Semenanjung Malaysia bagi tahun 2022.

Ia bersamaan dengan 21.6 juta pendengar secara mingguan. Jumlah ini menunjukkan terdapat peningkatan yang luar biasa iaitu sebanyak 300,000 orang pendengar berbanding kajian tinjauan sama pada tahun sebelumnya.

Kini lagu-lagu raya mulai kedengaran di semua stesen radio tempatan. Sebenarnya muzik atau lagu adalah sebahagian kandungan utama radio kerajaan mahupun swasta.

Bersempena dengan menjelangnya Syawal, sudah pasti lagu-lagu raya antara yang menarik perhatian pendengar setia, terutama pada waktu puncak segmentasi pagi (morning show) dan ketika pemanduan pulang dari tempat kerja dalam segmentasi petang (drive show).

Bagi para penerbit dan penyampai radio, pastinya siaran lagu-lagu raya yang dimainkan lebih bersifat membangkitkan kemeriahan dan motivasi untuk mewujudkan 'mood' positif kepada pendengar.

Lagu-lagu lama atau lagenda seperti ‘Dendang Perantau’, ‘Kepulangan Yang Dinanti’, ‘Dari Jauh ku Mohon Maaf’ masih dimainkan dan diseimbangkan dengan pilihan lagu-lagu baharu untuk memenuhi minat dan halwa telinga pelbagai kelompok pendengar. Menyantuni pendengar usia tua hinggalah meraikan anak muda remaja.


(Syawal dirai dengan penuh kesyukuran)

Kebanyakan stesen radio telah matang dalam tanggungjawabnya. Mereka menghargai peminat dengan pemilihan lagu yang boleh membuatkan pendengar menyanyi bersama apabila lagu ke udara.

Turut tersenyum manis dan riang ceria bersama ahli keluarga atau meredakan tekanan ketika pemanduan yang kini mulai sesak dengan kebanyakan orang yang sibuk membeli belah atau ketika pergi atau pulang dari kerja.

Sudah pasti sentimen dan situasi negara yang dalam fasa pemulihan kesedihan COVID-19, fasa ekonomi yang sedang bangkit menjadikan pemilihan lagu-lagu yang dijadualkan turut memberikan suasana yang ceria dan menaikkan semangat pendengar. Itu adalah tanggungjawab sosial radio sebagai saluran media.

Kandungan dan peranan radio

Tidak menumpukan kepada lagu raya semata-mata, sebenarnya peranan radio dalam menyubur semarak Ramadan telah bermula awal lagi.

Stesen radio kerajaan dan swasta tetap menyiarkan kandungan yang mengajak kepada perkongsian ilmu melalui program-program bual bicara bersama tetamu pakar dan para asatizah.

Pelbagai saranan dan nasihat melalui kapsul tazkirah, ingatan keagamaan dan kekeluargaan melalui kempen dan pesanan khidmat masyarakat juga sangat kerap
kedengaran.

Berita semasa dalam dan luar negara terus diberi tumpuan. Analisis ekonomi, sosial, pendidikan dan kewangan tetap menjadi agenda utama radio secara santai untuk difahami oleh keseluruhan pendengar.

Pelbagai organisasi korporat terus menyumbang kepada kemeriahan Ramadan melalui iklan-iklan tanggungjawab sosialnya yang mengingatkan kepada keselamatan rumah
dan semasa di jalan raya, pesanan bersifat kekeluargaan, kasih sayang dan menghormati jiran tetangga dan kaum dan bangsa yang lain.

Seiring tema diketengahkan Berkat Ramadan, RTM menerusi saluran utama TV1, TV2, Okey, Berita RTM, Sukan RTM dan 34 stesen radio menghayati Ramadan ini dengan
pelbagai program.

Lebih 130 program diterbitkan di 34 stesen radio RTM. Pengisian program khas ini menyokong ke arah Masyarakat Madani yang bertamadun serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

77 tahun RTM dan kandungan radio

Sebagai tonggak media negara dan yang paling berperanan besar, RTM bersempena ulang tahun ke-77 turut mengatur Program Jelajah Ramadan 2023 bagi melaksanakan misi mengimarahkan bulan penuh keberkatan sebagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang telah masuk tahun ke-11 penganjurannya.

Kesemua 34 jenama radio RTM meneruskan tradisinya dengan penganjuran Jelajah Ramadan 2023 yang diadakan di 77 buah lokasi / 26 stesen bermula 17 Mac lalu hingga 15 April 2023.

Pemilihan 77 buah masjid dan surau simbolik kepada meraikan Ulang Tahun 77 tahun RTM.

Pelancaran program yang telah dilaksanakan di RTM Sabah pada 17 Mac lalu oleh Ketua Menteri Sabah dan Majlis Penutupan Jelajah Ramadan 2023 disempurnakan oleh DYTM Tuanku Syed Faizudin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Kuala Perlis, Perlis.

Kesemua 34 stesen radio RTM menawarkan kandungan rancangan yang padat sepanjang bulan Ramadan ini. Antara keunikannya ialah penerbitan yang menggunakan dialek masyarakat tempatan agar dapat meraih perhatian dan lebih selesa didengar oleh penduduk tempatan.

NASIONALfm misalnya telah menyiarkan program “Akak Cakap Ramadan”, setiap hari, jam 7.50 pagi, 6.50 petang dan 8.50 malam. 

TRAXXfm pula tampil dengan program  “Light of Ramadan” pada 27 Mac lalu dan KLfm menyiarkan program “Borak Tengah Lapar” mulai 23 Mac hingga 21 April 2023, jam 4.30 petang.

Menyedari semangat dan harapan sihat sepanjang Ramadan, “Tips Sihat Ramadan” pula disiarkan sepanjang Ramadan di SELANGORfm.

Program “Dari Bazar ke Bazar”, setiap Sabtu dan Ahad, jam 6.00 petang di NEGERIfm, sebagai menyokong para peniaga kecil dan sederhana untuk mempromosikan produk
mereka.

“Pelenggaq Pak Teh Mat”, setiap Sabtu sepanjang Ramadan terbitan KEDAHfm.

Sementara “Labun Mak Dara”, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 12.45 tengah hari dan 6.45 petang di PERAKfm adalah antara tarikan informasi dan hiburan secara santai
untuk masyarakat tempatan.

“Ragam Aqeel dan Ustaz Asimo” pula diudarakan setiap Isnin, Rabu dan Jumaat melalui LABUANfm dan rancangan “Loya Meno Kito” sepanjang Ramadan, setiap Rabu, jam 10.30 pagi menerusi SRI AMANfm.

Lagu raya sebagai tanda kesyukuran

Oleh yang demikian, tersiarnya lagu raya bukanlah sebagai satu kandungan yang seolahnya tidak menghormati Ramadan yang masih berbaki. Ia hanyalah sebahagian kandungan radio yang diselang selikan dengan pelbagai maklumat dan imarah Ramadan yang berterusan. Tadarus al-Quran juga masih berkumandang.

Lagu raya ini malah memberi keinsafan kepada kita. Bermuhasabah diri apakah amal dan aktiviti hari-hari terdahulu kita sepanjang menjalani Ramadan. Sekuat mana kita menahan agar Ramadan ‘jangan pergi’ tetapi bulan dan hari bersilih ganti mengikut aturan dari Ilahi.

Syawal, bulan anugerah yang Allah berikan kepada semua hamba-Nya untuk bergembira, meraikan kemenangan Ramadan yang telah dimanfaatkan sepenuhnya dengan baik.

Lagu raya hanyalah penyeri, menyambut Syawal dengan penuh kesyukuran seperti yang telah disunnahkan, sebagaimana telah diteladani oleh Baginda Rasulullah SAW. Hiba, sebak, gembira adalah emosi manusia. Nikmati dan syukurilah anugerah Allah bersama keluarga tersayang.

PENULIS RAHMAHTUNNISAH SAILIN ialah Pensyarah Program Komunikasi (Penyiaran), Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, UIS.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu