fb fb fb fb fb

Puasa Syawal: Gabung atau berasingan?

Foto BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

Setelah berakhirnya bulan Ramadan dengan ketibaan Aidilfitri maka umat Islam seluruh dunia akan beralih kepada puasa enam di bulan Syawal.

Ini kerana puasa ini mempunyai kelebihan yang amat banyak sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud “Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun," (Hadis riwayat Muslim).

Bagaimanapun bukan setiap insan mempunyai waktu dan kelapangan mencukupi untuk melaksanakan puasa sunat enam Syawal.

Ada yang masih belum qada puasa Ramadan yang ditinggalkan sama ada disebabkan halangan haid, kesihatan, pekerjaan berat mahupun kesulitan tertentu.

Persoalannya adakah mereka yang masih berhutang puasa Ramadan boleh melaksanakan puasa sunat Syawal sebelum melaksanakan qada puasa Ramadan ataupun wajib melaksanakan qada puasa Ramadan terlebih dahulu kemudian baru melaksanakan puasa sunat Syawal.

Begitu juga sah atau tidak niat menggabungkan puasa sunat Syawal dengan qada Ramadan kerana dibimbangi tidak mampu melaksanakan qada puasa Ramadan selepas melaksanakan puasa sunat Syawal.

Persoalan ini sering kali timbul ketika berakhirnya Aidilfitri. Melaksanakan puasa sunat Syawal tetapi masih berhutang puasa Ramadan.

Berkaitan dengan gabungan niat puasa qada dengan puasa enam Syawal memang terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama.

Bagaimanapun sebelum dijelaskan hal ini perlu dinyatakan terlebih dahulu bahawa para ulama juga berbeza pendapat sama ada boleh atau tidak mereka yang masih berhutang puasa Ramadan, melaksanakan puasa sunat Syawal.

Secara ringkas golongan pertama membolehkannya berdasarkan dalil bahawa Sayyidatina Aisyah r.a pernah melewatkan qada puasa Ramadan pada bulan Syaaban.

Aisyah r.a berkata "Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadan. Aku tidak mampu mengqadakan sehinggalah masuk bulan Syaaban barulah aku menqadakannya," (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan kelebihan puasa sunat enam Syawal maka tidak mungkin Aisyah r.a tidak melaksanakannya semata-mata kerana beliau masih tidak mengqadakan puasa Ramadan.

Tindakan Sayyidatina Aisyah r.a mengqadakan puasa Ramadan pada bulan Syaaban membuktikan bahawa puasa enam Syawal boleh dilakukan walaupun masih memiliki hutang puasa wajib Ramadan.

Golongan kedua pula berpendapat tidak boleh melakukannya.

Hal ini berdasarkan hadis yang dinyatakan sebelum ini, iaitu Nabi SAW menganjurkan puasa sunat Syawal setelah melaksanakan puasa Ramadan.

Ini bermakna jika masih belum qada puasa Ramadan maka langsaikan hutang tersebut terlebih dahulu baharu dilaksanakan puasa sunat Syawal.

Meskipun ramai para ulama terkemuka memilih pandangan ini namun perlu juga dilihat kepada sesetengah wanita yang haidnya agak panjang.

Jika terpaksa mengganti puasa Ramadan terlebih dahulu baharu boleh dilaksanakan puasa sunat Syawal maka kemungkinan tidak berpeluang melaksanakan puasa tersebut disebabkan kesuntukan waktu yang ada pada bulan Syawal.

Begitu juga bagi mereka yang berkelapangan untuk melaksanakan puasa qada terlebih dahulu, namun kesihatan dan tugas serta tanggungjawab yang mendasari kehidupan masing-masing, tidak menjamin mereka mampu melaksanakan puasa sunat Syawal selepas itu.

Maka timbullah persoalan boleh atau tidak jika digabungkan niat puasa qada Ramadan dengan puasa sunat Syawal, sekali gus dengan harapan di samping berjaya melangsaikan hutang puasa Ramadan, pahala puasa Syawal juga berjaya diperolehi bersama.

Pandangan para ulama terhadap hukum gabung puasa dalam menelusuri isu ini terdapat pelbagai pandangan ulama yang boleh disimpulkan sebagaimana berikut:

Pertama: Tidak boleh digabungkan niat bersama di antara keduanya. Jika niat menghimpunkan puasa sunat Syawal dengan puasa Ramadan, hanya salah satu sahaja yang sah.

Sebahagian ulama Hanafi seperti Abu Yusuf menyatakan hanya puasa Ramadan sahaja yang sah, manakala sebahagian ulama Hanafi lain menyatakan hanya puasa sunat Syawal sahaja sah.

Kedua: Jika digabungkan niat keduanya maka sah puasa Ramadan namun tindakan tersebut adalah makruh kerana akibatnya meluputkan puasa sunat Syawal.

Ini adalah pandangan-pandangan Imam Ahmad dalam salah satu riwayat.

Ketiga: Tidak boleh digabungkan keduanya bahkan tidak sah kedua-duanya jika digabungkan di antara ibadah sunat dan ibadah fardu sebagaimana ditegaskan Ibn Hazm.

Pandangan ini juga merupakan pandangan Imam Ahmad dalam salah satu riwayat begitu juga pandangan sebahagian ulama Syafii termasuk al-Nawawi, al-Isnawi dan lain-lain.

Keempat: Boleh digabungkan bahkan mendapat pahala keduanya.

Ini adalah pandangan golongan Maliki. Mereka mengqiyaskan dengan hukum sahnya niat mandi junub berserta niat mandi sunat Jumaat.

Kelima: Boleh digabungkan tetapi tidak mendapat ganjaran pahala sepenuhnya sebagaimana berpuasa secara berasingan.

Pandangan ini didukungi oleh para ulama Syafii seperti al-Barizi, al-Ashfuni, al-Nasyiri, Syihabuddin al-Ramli serta anaknya Syamsuddin al-Ramli, Ibn Hajar al-Haytami, al-Khathib al-Syarbini dan lain-lain.

Pendetilan mazhab Syafii sebagaimana yang dinyatakan bahawa terdapat dua pandangan dalam mazhab Syafii iaitu pandangan membolehkan dan tidak membolehkan.

Pandangan pertama menyatakan tidak boleh digabungkan di antara puasa qada dan sunat. Ini kerana setiap keduanya iaitu puasa sunat Syawal dan puasa Ramadan mempunyai matlamat khusus yang tidak boleh disatukan dalam satu niat. Justeru wajib dilaksanakan secara berasingan.

Dalam hal ini, seseorang yang masih berhutang puasa Ramadan tidak boleh melaksanakan secara serentak sekali gus kedua-dua puasa tersebut. Ini kerana ibadah fardu tidak boleh bercampur dengan ibadah sunat apabila objektifnya berbeza.

Boleh dilaksanakan qada puasa Ramadan terlebih dahulu ataupun laksanakan puasa sunat Syawal terlebih dahulu asalkan berasingan.

Pandangan kedua menyatakan boleh digabungkan walaupun afdalnya (mendapat pahala sepenuhnya) diasingkan fardu daripada sunat.

Niat puasa qada Ramadan boleh disertai dengan niat puasa sunat Syawal kerana puasa wajib boleh menampung puasa sunat sedangkan motif keduanya masih tidak bertentangan di antara satu sama lain.

Berbeza dengan niat solat fardu bercampur dengan niat solat sunat Rawatib, kedua-duanya tidak sah kerana motif keduanya berbeza iaitu solat Rawatib dikerjakan sebagai solat mengiringi solat fardu sama ada selepas atau sebelum.

Jika tidak diniatkan sekalipun iaitu niat mengqadakan puasa Ramadan sahaja, masih mendapat pahala puasa sunat Syawal jika dikerjakan selama enam hari namun pahalanya sedikit berbanding yang meniatkannya.

Mereka mengqiyaskannya dengan solat fardu yang dikerjakan di masjid masih mendapat pahala tahiyat masjid.

Begitu juga sunat boleh menampung sunat apabila tidak bertentangan motif keduanya justeru boleh digabungkan niat puasa Syawal dengan puasa sunat Isnin sekali gus.

Di samping itu pula, kedua-dua puasa iaitu puasa qada Ramadan dan puasa sunat Syawal dilaksana berasaskan menyibukkan diri dengan amalan puasa pada bulan Syawal sama ada ibadat berbentuk sunat mahupun fardu.

Kedua-duanya tidak bertentangan di antara satu sama lain daripada sudut pengamalan ibadah puasa pada bulan Syawal.

Hal ini samalah dengan mereka yang niat melaksanakan qada puasa Ramadan berserta puasa sunat Arafah, kedua-duanya sah dan diganjari pahala.

Mereka juga mengqiyaskannya dengan hukum sah gabungan niat solat Jumaat dengan niat mandi junub.

Penyelesaian isu sebenarnya para ulama mengemukakan pendapat mereka berdasarkan ijtihad masing-masing.

Tiada petunjuk yang jelas dari nas-nas syarak untuk menyatakan bahawa mana-mana pendapat betul atau salah.

Dalam hal ini bagi wanita yang mengalami masalah haid yang panjang sehingga sukar mengasingkan qada puasa wajib dengan puasa sunat Syawal maka boleh mengambil pendapat yang mengharuskan gabungan niat tersebut.

Namun bagi mereka yang tidak mengalami kesukaran tersebut maka lebih baik (awla) mengerjakan puasa qada Ramadan secara berasingan kemudian baharulah dikerjakan puasa sunat Syawal.

Bagi mereka yang berkeyakinan mempunyai waktu yang luas untuk mengqadakan puasa Ramadan maka tidak mengapa mengerjakan puasa sunat Syawal asalkan ia telah berazam untuk melaksanakan hutang tersebut selepas bulan Syawal.

Hal ini samalah dengan bersedekah, walaupun seseorang itu masih berhutang dengan mana-mana pihak yang dianggap sebagai satu kewajipan namun tidaklah menyebabkan ia tidak boleh bersedekah langsung kepada fakir miskin terutama di bulan Ramadan yang pahalanya berlipat ganda asalkan dia memang telah menjadualkan pembayaran hutangnya dengan baik.

Bagaimanapun saya berpandangan bagi mereka yang ingin menggabungkan niat puasa qada dengan puasa enam Syawal, demi meraikan khilaf yang berlaku boleh meniatkan puasa qada Ramadan sahaja di malam hari manakala di awal pagi pula boleh diniatkan puasa sunat Syawal sebagai gabungan dengan puasa qada Ramadan.

Ini kerana puasa sunat tidak wajib diniatkan di waktu malam bahkan boleh diniatkan ketika awal siang hari. Demikian juga motif di antara kedua-dua puasa dari sudut perkiraan pahala tidak bertentangan di antara satu sama lain.

Ini kerana ganjaran pahala puasa sunat enam Syawal menyamai dua bulan untuk mencukupkan ganjaran puasa Ramadan yang kekurangan dua bulan dari setahun (360 hari) iaitu puasa Ramadan hanya menyamai sepuluh bulan sahaja (300 hari).

Hal ini jelas sebagaimana hadis Nabi SAW iaitu “Barangsiapa yang berpuasa enam hari selepas Aidilfitri (di bulan Syawal) maka ia telah menyempurnakan puasa setahun iaitu berdasarkan setiap perbuatan kebaikan digandakan sepuluh kali ganjaran."

Seterusnya pelaksanaan puasa enam Syawal pula boleh dikerjakan secara tidak berturutan berdasarkan kemampuan masing-masing walaupun afdalnya dikerjakan selama enam hari berturut-turut.

Manakala tarikh permulaan puasa sunat Syawal pula bagi mereka yang berkelapangan boleh terus melaksanakannya bermula pada hari kedua Syawal. Ia amat digalakkan sebagaimana pandangan imam Syafii, Ibn Mubarak dan lain-lain.

Hal ini berdasarkan hadis puasa sunat Syawal sebelum ini dan konsep bersegera melakukan ibadah sunat berbanding melambatkannya.

Bagi mereka yang tidak berkelapangan boleh mengerjakannya pada mana-mana hari yang sesuai bertepatan dengan pandangan Imam Ahmad yang menyatakan berpuasa di mana-mana hari dalam bulan Syawal telah memadai untuk mendapat kelebihan puasa tersebut berdasarkan puasa sunat Syawal hanya untuk melengkapkan puasa setahun iaitu 360 hari.

Kesimpulan sesungguhnya Mazhab Syafii merupakan mazhab yang mengutamakan sunnah justeru mana-mana amalan yang menepati sunnah qawliyyah (sunah berbentuk perkataan), sunnah fi’liyyah (sunah berbentuk perbuatan) dan sunnah taqririyyah (sunnah berbentuk pengakuan secara diam) maka ia lebih tepat disandarkan kepada mazhab tersebut, berbeza dengan sesetengah mazhab terpencil tertentu yang hanya mengiktiraf sunnah fi’liyyah dalam amalan ibadah.

Hukum yang bersifat ijtihad boleh mengalami perubahan berdasarkan kepentingan kemaslahatan individu dan umat Islam sejagat.

PENULIS DR RIDZWAN AHMAD merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh Dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM