fb fb fb fb fb

Pilih pekerjaan sesuai personaliti untuk kekal cemerlang

Foto hiasan/Bernama

SAUDARA PENGARANG

Pengangguran merupakan isu besar bagi golongan graduan, tidak kira graduan dari mana-mana institusi pendidikan. Kebanyakan ibu bapa pula menaruh harapan besar selepas menghantar anak mereka ke menara gading; sekurang-kurangnya untuk masa depan anak dan tidak kurang juga yang menaruh harapan besar mengubah keadaan keluarga ke arah lebih baik. Menurut Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran di Malaysia adalah sekitar 3.5 peratus.

Justeru perlu difahami bahawa personaliti, sikap dan kemahiran merupakan kunci kepada alam pekerjaan. Ini kerana majikan akan memilih pekerja berdasarkan kepada personaliti mereka yang terserlah dan sikap yang baik serta memiliki kemahiran di samping keputusan pengajian memberangsangkan.

Hakikatnya, ramai tersilap antara sikap dan personaliti. Bagi mereka itu adalah dua perkara sama. Mengikut model personaliti kesepadanan pekerjaan Holland, personaliti seseorang perlu memadan sesuatu pekerjaan. Barulah seseorang pekerja boleh bertahan dalam pekerjaannya. Justeru, seseorang perlu memilih pekerjaan yang sesuai dengan personalitinya.

Menurut model ini, terdapat enam jenis personaliti iaitu realistik, investigatif, artistik, sosial, keusahawanan dan konvensional. Seseorang yang realistik adalah seorang yang menyukai aktiviti fizikal yang memerlukan kekuatan, koordinasi dan kemahiran. Personaliti realistik sesuai dengan jawatan arkitek, petani dan jurutera.

Manakala personaliti penyelidik adalah seorang yang suka bekerja dengan teori dan maklumat dan kefahaman. Contoh profesion yang sesuai dengan personaliti ini ialah seperti peguam, profesor dan pakar matematik.

Personaliti artistik adalah seorang yang kreatif, imaginatif dan idealistik. Contoh pekerjaan yang sesuai dengan personaliti ini ialah artis, pemain muzik dan penulis.

Seseorang yang memiliki personaliti sosial pula suka membantu orang lain dari segi menyembuh dan membangun mereka. Contoh profesion yang sesuai dengan personaliti ini ialah kaunselor, doktor dan guru.

Seseorang yang memiliki personaliti keusahawanan adalah seorang yang gemar kepada persekitaran yang kompetitif, pandai mempengaruhi orang lain, energetik dan yakin kepada diri sendiri. Contoh pekerjaan yang sesuai dengan personaliti ini ialah pengurusan, pemasaran dan jurujual.

 Jenis personaliti terakhir adalah personaliti konvensional. Individu yang memiliki personaliti itu gemar kepada membuat keputusan berlandaskan kepada peraturan dan merupakan seorang yang afisien dan praktikal. Contoh jawatan yang sesuai dengan personaliti ini ialah akauntan, kerani dan editor.

Sikap pula terbahagi kepada dua jenis iaitu positif dan negatif. Sikap positif yang dikehendaki oleh majikan adalah seperti keinginan untuk belajar, rajin, bertanggungjawab, berdisplin, inovatif dan kreatif serta telus.

Manakala kemahiran yang diperlukan dalam alam pekerjaan adalah seperti pengurusan masa, kerja pasukan, penyelesaian masalah, kemahiran komunikasi, pembuatan keputusan dan kemahiran organisasi.

Menurut tiga organisasi yang ditemu bual, sebuah organisasi otomobil terbesar di negara ini memilih keupayaan untuk melakukan pekerjaan sebagai kemahiran pekerjaan graduan yang paling dituntut oleh organisasi mereka. Menurut mereka, kemahiran ini penting bagi memastikan kereta keluaran mereka laris dijual kepada orang ramai.

Manakala sebuah organisasi monopoli di negara ini mengatakan ekstravasi sebagai personaliti yang digemari oleh mereka. Ekstravasi merupakan kemahiran komunikasi. Organisasi ini juga turut bersetuju dengan ketrampilan sebagai salah satu daripada faktor pengambilan pekerjaan.

Begitu juga dengan sebuah organisasi perindustrian kecil sederhana, PKS; juga turut bersetuju dengan ketrampilan sebagai kemahiran pekerjaan yang paling diutamakan. Menurut mereka, ramai graduan yang tidak pandai memilih pakaian sesuai untuk ke sesi temu duga. Namun begitu, bagi mereka, tidak perlu untuk graduan ‘overdress’, cukup sekadar berpakaian formal dan sopan untuk ditemu bual.

Pemakaian yang baik mempunyai kaitan dengan displin. Ia juga mengambarkan personaliti seseorang graduan. Justeru, graduan perlu teliti dalam membuat perancangan untuk ke sesi temu duga. Buat perancangan untuk berjaya dan bukan untuk gagal.

Seterusnya, ketiga-tiga organisasi ini juga bersetuju dengan kemahiran interpersonal. Kemahiran interpersonal juga merupakan kemahiran komunikasi perorangan yang penting dalam menjalin hubungan baik sesama pekerja. Kemahiran ini mempunyai kaitan dengan kerja pasukan; merupakan kemahiran pekerjaan yang paling mustahak.

Sehubungan itu, institusi pengajian tinggi harus menerapkan personaliti positif dan sikap yang baik serta kemahiran pekerjaan dalam silibus pengajaran mereka sejajar objektif untuk memastikan graduan mendapat pekerjaan sebaik sahaja mereka bergraduasi.

PENULIS PROF. MADYA DR. ILHAAMIE ABDUL GHANI AZMI, Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI