SAUDARA PENGARANG
Alam percintaan dan dunia digital didapati memberi kesan ketara kepada kesihatan mental pasangan Generasi Z atau Gen Z yang bercinta dan kemudian menghadapi konflik yang gagal diselesaikan. Rumusan itu berdasarkan kajian bertajuk “Couple Talks in a Romantic Relationship” mendapati, Gen Z yang bercinta telah membentuk komunikasi pasangan unik disebabkan kebergantungan yang amat tinggi kepada aplikasi komunikasi seperti WhatsApp ketika proses membina dan memutuskan hubungan.
Kajian tersebut memberi tumpuan kepada pasangan anak muda Generasi Z berusia 20 hingga 25 tahun yang sedang berada dalam dunia percintaan untuk melihat pola percintaan mereka yang bergantung kepada komunikasi dalam talian seperti mesej tulisan, nota suara dan panggilan telefon. Seperti diketahui umum, kemajuan teknologi ini telah mengubah kaedah komunikasi bagi pasangan bercinta terutama Gen Z berbanding generasi terdahulu.
Generasi Z dan komunikasi cinta dalam talian
Ketika dilamun cinta, kelompok ini memperuntukkan masa tanpa batas dan komunikasi secara dalam talian didapati lebih rancak pada sebelah malam hingga awal pagi. Situasi itu disebabkan majoriti mereka yang bercinta tidak dapat bertemu pasangan secara bersemuka dengan kerap dan bergantung sepenuhnya kepada teknologi digital untuk berhubung.
Dapatan kajian itu selari dengan statistik oleh Melwater pada 2024 yang menunjukkan 90.7 peratus rakyat Malaysia menggunakan aplikasi Whatsapp berbanding media sosial lain untuk komunikasi. Masa yang diperuntukkan untuk aplikasi tersebut secara purata adalah 16 jam 4 minit sebulan untuk pelbagai tujuan komunikasi termasuk percintaan pasangan Gen Z.
Sebanyak 57.6 peratus menyatakan penggunaan aplikasi berkenaan bertujuan mengekalkan hubungan dengan rakan dan keluarga. Penulis memetik statistik ini bagi memberi gambaran tentang pola dan saluran komunikasi utama penduduk Malaysia yang sekaligus mempunyai kaitan dengan kebergantungan Gen Z kepada teknologi digital dalam hubungan percintaan mereka.
Menerusi kajian penulis lagi, topik komunikasi percintaan pasangan Gen Z banyak berkisar tentang pembinaan hubungan erat seperti masa depan, hubungan seks, mengimbau kenangan, momen-momen romantik dan usaha memperbaiki hubungan cinta. Pasangan Gen Z jarang berkomunikasi hal-hal di luar hubungan cinta mereka seperti isu sukan, politik atau hal-hal umum yang lain. Ketika proses komunikasi percintaan ini, mereka didapati tidak terikat dengan batas-batas agama atau budaya sebaliknya bebas berkomunikasi tentang dunia cinta mereka sahaja.
Kemesraan dan keintiman dalam komunikasi percintaan Gen Z ini sebenarnya membimbangkan apabila berlaku konflik dalam percintaan mereka. Konflik ini mungkin boleh berlaku ketika fasa mereka cuba mengukuhkan lagi hubungan cinta namun, timbul perbezaan menyebabkan kedua-duanya tidak boleh lagi bertolak ansur atau menyelesaikan konflik menerusi perbincangan yang harmoni. Bagi Gen Z, proses komunikasi dalam mengendalikan konflik juga melalui saluran teknologi digital berbanding komunikasi bersemuka.
Ketika ini, impak konflik tersebut kepada kesihatan mental pasangan Generasi Z boleh dikesan menggunakan Model Peringkat Pembinaan Hubungan Knapp. Ketika hubungan berada di Peringkat Ikatan menurut model itu, konflik dihadapi oleh pasangan bercinta ini akan menyebabkan masalah kesihatan mental apabila proses komunikasi terjejas dan berlakunya tahap mendiamkan diri, pembinaan tembok hubungan dan pasangan yang menghilangkan diri.
Kemesraan atau konflik yang wujud dalam kalangan pasangan Gen Z yang bercinta itu, memberi kesan kepada tiga aspek diri pasangan iaitu kognitif, emosi dan tingkah laku mereka. Apabila wujud perbezaan, maka Gen Z akan berada dalam satu fasa iaitu sering menilai perbezaan dengan mula meluahkan mesej-mesej negatif seperti menyatakan ketidakpuasan hati, mengkritik, ketidaksefahaman dan tidak lagi boleh berkompromi.
Emosi yang terjejas kemudian menyebabkan mereka lebih kerap berada dalam kesedihan, takut kehilangan, ragu-ragu terhadap diri sendiri dan pasangan serta mula merasa disakiti atau mempunyai perasaan mahu menyakitkan perasaan pasangan mereka.
Kesan-kesan ini jika tidak ditangani akan membawa kepada gangguan kesihatan mental mereka. Semakin kerap mereka berada dalam situasi pergaduhan akan membuat mereka bersikap negatif sehingga menjejaskan hubungan dengan orang sekeliling dan kehidupan seharian mereka sendiri.
Konflik yang berlanjutan dan tidak diurus dengan baik mengakibatkan emosi pasangan Gen Z ini menjadi lebih rumit. Menurut kajian, tindakan yang biasa diambil adalah mengelak untuk berkomunikasi dan mula mendiamkan diri jika konflik pasangan tidak diselesaikan. Jika sebelum ini, mereka berkomunikasi tanpa ada batas waktu, tindakan berdiam diri menyebabkan pasangan mula merasa tidak berdaya untuk meneruskan hidup atau merasakan kehilangan yang besar.
Situasi menjadi lebih rumit untuk pasangan jika tembok hubungan menjadi semakin tinggi sehingga memisahkan mereka. Seterusnya, jika salah satu pasangan bertindak menghilangkan diri melebihi 3 hari atau lebih, akan memburukkan lagi keadaan kesihatan mental mereka apabila mengalami situasi dikenali sebagai derita emosi.
Jika sebelum ini, mereka saling berkomunikasi secara dalam talian sama ada mesej bertulis, panggilan video atau nota suara dan tiba-tiba rutin tersebut berubah, menyebabkan pasangan merasakan satu kehilangan.
Menurut kajian penulis, kebanyakan pasangan Gen Z yang dilanda masalah percintaan sebegini akan merasakan kekecewaan yang begitu besar sehingga menganggap mereka “mati jiwa”. Walaupun, kebanyakan mereka tidak bertemu secara kerap dan bergantung sepenuhnya kepada teknologi digital untuk saling berhubung dan bercinta, kehilangan pasangan boleh menyebabkan mereka hilang kawalan diri.
Peranan ibu bapa dan keluarga membantu pasangan Gen Z
Hubungan cinta pasangan Gen Z ini sukar untuk ditafsirkan oleh generasi terdahulu disebabkan mereka membesar dengan latar belakang kemajuan teknologi digital dan perkembangan pesat dunia teknologi komunikasi maklumat. Bagi generasi sebelum ini, alam percintaan mereka begitu terbatas dari segi komunikasi.
Biasanya, generasi terdahulu banyak bergantung kepada komunikasi bertulis seperti surat atau menggunakan telefon untuk berhubung dengan pasangan masing-masing. Namun, Gen Z telah biasa menggunakan teknologi digital apabila mereka mempunyai akses kepada telefon pintar misalnya, pada usia yang sangat muda menyebabkan kebergantungan mereka kepada komunikasi dalam talian untuk perhubungan dan percintaan.
Oleh itu, ibu bapa dan keluarga mempunyai peranan bagi membantu pasangan Gen Z ini mengharungi dunia percintaan supaya ia tidak menjejaskan kesihatan mental mereka. Antaranya, mereka boleh memerhatikan sama ada anak-anak terlibat dalam masalah cinta ini mengalami perubahan tingkah laku atau tidak. Campur tangan ibu bapa dan ahli keluarga dapat mengelak anak-anak daripada mengalami derita emosi, kemurungan, kekecewaan dan sebagainya.
Selain itu juga, ibu bapa dan keluarga boleh menjadi pendengar kepada apa juga masalah yang dihadapi oleh anak-anak. Mereka boleh menawarkan sokongan emosi untuk membantu anak-anak daripada golongan Gen Z ini keluar daripada kesedihan atau kekecewaan yang dihadapi disebabkan masalah percintaan. Sokongan ini dapat memulihkan semangat mereka dan membolehkan mereka memahami tentang pelbagai cabaran dalam hubungan cinta serta kehidupan yang lebih luas.
Sokongan lain yang boleh dihulurkan kepada Gen Z yang menghadapi masalah percintaan termasuk menggalakkan mereka menyertai pelbagai aktiviti sihat bersama rakan-rakan atau keluarga. Dengan cara itu, diharapkan mereka dapat pulih daripada kekecewaan percintaan dan keluar dari zon kesedihan yang boleh mengancam kesihatan mental mereka. Mereka perlu memahami bahawa kekecewaan dalam percintaan adalah sebahagian daripada realiti kehidupan yang boleh mematangkan.
Ini adalah sebahagian langkah campur tangan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa, ahli keluarga dan rakan-rakan untuk membantu pasangan Gen Z sembuh daripada luka percintaan. Kita perlu menerima bahawa setiap generasi adalah berbeza dan unik. Oleh itu, ia menuntut kita untuk memahami dan seterusnya mencari langkah membantu mereka menjalani kehidupan dengan positif.
Nuredayu Omar
Pensyarah Kanan Program Komunikasi
Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC)
Universiti Utara Malaysia (UUM)
E-mel:
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.