fb fb fb fb fb

Melawan ‘Scam’: Trend 2024 dan harapan keselamatan dalam talian 2025

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Sepanjang tahun 2024, penipuan dalam talian atau ‘scam’ telah menjadi wabak yang semakin meruncing di Malaysia. Laporan terkini menunjukkan kerugian dialami rakyat Malaysia akibat penipuan ini mencecah angka membimbangkan, iaitu kira-kira RM54 bilion setahun, bersamaan tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Angka ini bukan sahaja mengejutkan, malah menggambarkan betapa seriusnya ancaman ini terhadap kesejahteraan ekonomi dan sosial negara.

Perkembangan teknologi, terutamanya kecerdasan buatan (AI), telah mendorong evolusi teknik penipuan, menjadikannya lebih canggih dan sukar dikesan. Menurut laporan State of Scam 2024 dari Global Anti-Scam Alliance (GASA), 25 peratus rakyat Malaysia tidak pasti sama ada teknologi AI terlibat dalam penipuan dalam talian yang mereka hadapi.

Keadaan ini menunjukkan jurang kesedaran membimbangkan, menjadikan masyarakat lebih terdedah kepada penipuan yang mengeksploitasi teknologi AI seperti deepfake bagi memperdaya mangsa. Lebih membimbangkan, 70 peratus mangsa penipuan tidak melaporkan kes mereka kepada pihak berkuasa.

Ini menunjukkan kurangnya kesedaran dan keyakinan terhadap keberkesanan proses pelaporan, satu trend yang perlu ditangani dengan segera bagi memastikan tindakan yang lebih berkesan dalam membanteras isu ini.

Inisiatif kerajaan

Namun begitu, terdapat pelbagai inisiatif positif telah diambil oleh pihak kerajaan dan industri bagi menangani isu ini. Dalam ucapan Belanjawan 2025, Perdana Menteri YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim memberi penekanan khusus terhadap isu keselamatan siber, terutamanya berkaitan dengan penipuan dalam talian. Beliau mengakui bahawa ancaman siber semakin menggugat tata hidup bermasyarakat dan menjadi lebih membimbangkan.

Antara inisiatif diumumkan kerajaan adalah tambahan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk memperhebat Pusat Respons Penipuan Kebangsaan dan melancarkan Portal Fraud Kebangsaan bagi memudahkan pengesanan transaksi mencurigakan secara automatik. Portal ini dijangka akan mengintegrasi data transaksi kewangan dari pelbagai sumber untuk mengesan transaksi mencurigakan, sekali gus mempercepat tindak balas terhadap aktiviti penipuan.

Selain itu, Kementerian Digital juga telah mengumumkan rancangan untuk merangka dasar teknologi kuantum bagi mengukuhkan perlindungan data peribadi. Inisiatif ini, bersama-sama dengan pindaan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi, menunjukkan komitmen kerajaan dalam membendung penipuan dalam talian seterusnya melindungi platform digital di Malaysia.

Bagaimanapun, penyelesaian teknologi sahaja tidak mencukupi namun pendidikan dan kesedaran awam memainkan peranan sama pentingnya. Sepanjang tahun ini, CyberSecurity Malaysia telah giat menjalankan program-program kesedaran keselamatan dalam talian melalui program CyberSAFE dan Jelajah Anti-Scam Kebangsaan. Kempen dan program sebegini adalah selari dengan kempen dan program pendidikan yang dijalankan di negara maju seperti United Kingdom (UK) dan Jepun.

Kempen dan program pendidikan anti-scam di UK dan Jepun

UK sebagai contoh telah melancarkan kempen "Stop! Think Fraud" yang bertujuan untuk mendidik orang ramai tentang cara melindungi diri daripada penipuan. Kempen ini melibatkan pelancaran hab dalam talian yang menyediakan nasihat mudah tentang cara melindungi diri daripada penipuan dalam talian, serta iklan yang dipaparkan secara meluas di papan iklan, media massa, dan media sosial.

Dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan termasuk institusi kewangan dan agensi penguatkuasaan undang-undang, program ini berusaha menyelaraskan mesej anti-scam dan menjadi sebahagian daripada Strategi Fraud UK yang lebih meluas dengan matlamat mengurangkan jenayah penipuan dalam talian sebanyak 10% menjelang Disember 2024.

Manakala mengambil contoh negara Jepun, pendekatan diambil dalam pendidikan keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) adalah komprehensif, terutamanya di peringkat sekolah rendah dan menengah. Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun (MEXT) telah memasukkan pendidikan keselamatan maklumat ke dalam kurikulum sekolah yang ditetapkan.

Kurikulum ini merangkumi pelbagai aspek keselamatan ICT, termasuk etika maklumat, undang-undang, keselamatan, dan pembinaan masyarakat bertanggungjawab di dalam talian. Pendidikan keselamatan maklumat bermula dari sekolah rendah, di mana pelajar diajar asas-asas seperti kepentingan kata laluan dan perlindungan maklumat peribadi. Di peringkat sekolah menengah rendah dan atas, pelajar diberikan pengetahuan yang lebih mendalam berkenaan aspek keselamatan siber.

Prinsip 4S bagi membendung penipuan dalam talian

Walaupun pelbagai inisiatif bagi membendung penipuan dalam talian telah diambil oleh pihak berwajib, benteng pertahanan pertama daripada wabak penipuan dalam talian adalah kesedaran di peringkat individu itu sendiri. Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, setiap individu perlu memainkan peranan aktif dalam membendung wabak ini. Beberapa langkah harus diambil yang boleh diringkaskan dengan prinsip 4S (Sentiasa Waspada, Sah, Segera Lapor dan Sedar).

Prinsip pertama, sentiasa waspada dan berhati-hati dengan sebarang tawaran atau permintaan yang mencurigakan. Jangan mudah terperdaya dengan janji-janji yang terlalu menggiurkan.

Kedua, sahkan dan pastikan kesahihan setiap maklumat atau permintaan yang diterima. Gunakan teknologi keselamatan seperti pengesahan dua faktor pada aplikasi telefon pintar dan akaun media sosial untuk melindungi akaun dalam talian.

Ketiga, segera lapor jika mengesyaki atau mengalami cubaan penipuan. Laporkan dengan segera kepada pihak berkuasa seperti membuat panggilan kepada Pusat Respons Penipuan Kebangsaan di talian 997. Tindakan pantas boleh membantu mencegah lebih ramai mangsa.

Keempat, sedar tentang bahaya ancaman penipuan dalam talian dan tingkatkan kesedaran orang sekeliling. Berkongsi maklumat, pengalaman dan peringatan dengan ahli keluarga dan rakan-rakan agar mampu meningkatkan kewaspadaan mereka terhadap penipuan dalam talian.

Natijahnya, usaha pembinaan kapasiti berkenaan kesedaran dan pengetahuan keselamatan siber dalam kalangan masyarakat perlu dipertingkat. Satu kerangka menyeluruh bagi pembinaan kapasiti perlu dibangunkan oleh pihak berwajib dengan memfokuskan setiap lapisan umur, merangkumi kanak-kanak sekolah rendah, pelajar menengah, mahasiswa, golongan dewasa, hinggalah kepada warga emas.

Kerangka ini perlu berdasarkan objektif khusus bagi setiap kumpulan sasaran, seterusnya mampu memastikan setiap lapisan masyarakat dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran menghadapi ancaman siber. Melalui pendekatan holistik ini, Malaysia akan berada dalam kedudukan lebih kukuh untuk menghadapi ancaman penipuan dalam talian seterusnya mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat dan berdaya tahan.

Dengan mengamalkan prinsip 4S dan pelaksanaan inisiatif-inisiatif yang telah digariskan oleh kerajaan seperti dalam Belanjawan 2025, diharap agar penularan wabak penipuan dalam talian dalam kalangan masyarakat dapat dikekang dan masa depan ruang digital yang lebih selamat untuk rakyat Malaysia akan terus terjamin.

WAN NURHIDAYAT WAN MUHAMAD
Wan Nurhidayat bin Wan Muhamad
Calon Ijazah Sarjana Pertahanan Siber dan Jaminan Maklumat
Cranfield University, United Kingdom
Emel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

PROF MADYA TS DR. NOOR AFIZA M RAZALI
Prof. Madya. Ts. Dr. Noor Afiza binti Mat Razali,
Pensyarah Kanan di Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Emel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI