SAUDARA PENGARANG
Dalam keterujaan mempersiapkan diri untuk mengerjakan ibadat umrah, amat penting bagi bakal tetamu Allah menyedari bahawa penyakit berjangkit merupakan satu ancaman yang berterusan kepada semua jemaah, tidak kira berapa pun usia mereka.
Pada masa lalu, wabak penyakit meningokokal invasif dikaitkan dengan perhimpunan keagamaan secara besar-besaran seperti umrah, terutamanya pada 1987 dan ia melanda sekali lagi pada sekitar tahun 2000. Letusan wabak ini menunjukkan kepentingan kaedah pencegahan melalui vaksinasi wajib.
Mengapa kita harus bimbang
Penyakit meningokokus, yang disebabkan oleh bakteria neisseria meningitidis (N. meningitidis) merebak melalui titisan cecair pernafasan dan air liur, menjangkiti lapisan otak dan saraf tunjang (menyebabkan meningitis), atau aliran darah (septisemia), yang mengakibatkan pendarahan pada pelbagai organ.
Gejala awal penyakit ini mungkin sukar untuk dibezakan daripada jangkitan virus biasa yang lain. Apabila merebak ke dalam darah, ia boleh menyebabkan demam, menggigil, kelesuan, cirit-birit, mual, sesak nafas dan sakit badan.
Meningitis adalah penyakit yang memerlukan rawatan kecemasan kerana ia boleh membawa maut dalam masa 24 jam, dengan gejala seperti demam, leher tegang, sakit kepala, sensitif terhadap cahaya, kebingungan, dan koma.
Gejala-gejala ini boleh berkembang dengan pantas, dan apabila berjuta-juta jemaah dari pelbagai negara berkumpul dalam keadaan yang sesak seperti ketika menunaikan umrah, jangkitan ini boleh membawa maut.
Walaupun mendapat rawatan, sehingga 15% individu yang dijangkiti akan meninggal dunia dan sehingga 20% daripada pesakit yang berjaya diselamatkan mengalami kesan jangka panjang seperti kecederaan otak, pekak, kerosakan buah pinggang dan kehilangan anggota badan.
Keadaan ini boleh dicegah dengan vaksin meningokokus yang memainkan peranan utama dalam melindungi jemaah dan populasi yang lebih besar.
Di peringkat global pula, penyakit meningokokus dianggarkan menjadi penyebab kepada hampir 300,000 kematian setiap tahun. Walaupun kadar kelaziman penyakit ini di Malaysia masih tidak dapat dipastikan, namun data menunjukkan bahawa ramai jemaah pulang ke tanah air sebagai pembawa.
Ini melonjakkan kadar jangkitan dalam kalangan ahli keluarga mereka yang tidak divaksin. Ia memberi implikasi besar kepada kesihatan awam, yang diburukkan lagi oleh kerintangan bakteria terhadap penisilin.
Secara ringkasnya, penyakit meningokokus mudah merebak dan cepat berkembang; boleh menjadi penyakit yang sukar dirawat; dan walaupun dengan rawatan, ia boleh membawa akibat yang buruk, malah menyebabkan kematian.
Vaksinasi jalannya, dipersetujui pihak berkuasa kesihatan dan agama
Objektif Syari’ah (Maqasid Syari’ah) mengutamakan usaha melindungi nyawa dan akal serta mencegah kemudaratan. Justeru, vaksin meningokokus untuk jemaah umrah bukanlah sekadar keperluan teknikal.
Sebaliknya, ia adalah kewajipan agama dan tanggungjawab sosial yang perlu dipandang serius oleh semua jemaah, bukan untuk diri mereka sahaja bahkan orang di sekeliling mereka, dengan membantu mencegah ledakan wabak dalam kalangan jemaah semasa umrah dan juga mengelakkan penularan penyakit apabila kembali ke tanah air.
Dengan mengambil kira beban penyakit meningokokal invasif, yang melibatkan kos kewangan untuk rawatan, kemasukan ke hospital dan penjagaan jangka panjang, sehinggalah kepada ketidakupayaan sepanjang hayat, saya menggesa semua jemaah yang bercadang mengerjakan umrah untuk mendapatkan vaksin meningokokus sekurang-kurangnya dua minggu sebelum berangkat ke Tanah Suci, termasuklah mereka yang telah menerima vaksin lebih tiga tahun yang lalu.
Hanya dengan satu langkah yang mudah ini, anda boleh melindungi diri sendiri, rakan jemaah anda dan orang yang anda sayang.
Oleh
Datuk Dr Musa Mohd Nordin
Pengerusi, Majlis Penasihat Federation of Islamic Medical Associations (FIMA)
Pakar Perunding Pediatrik, Hospital Pakar Damansara
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.