fb fb fb fb fb

Pelepasan cukai SSPN strategi bijak untuk pendidikan anak-anak

RTM

SAUDARA PENGARANG

Kerajaan telah mengumumkan bahawa pelepasan cukai individu ke atas simpanan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) akan dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun lagi, sehingga tahun taksiran 2027. Ini adalah sebahagian daripada inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pelepasan cukai individu ke atas simpanan dalam SSPN yang dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun lagi merupakan satu langkah yang sangat strategik dalam membantu ibu bapa merancang dan menyimpan untuk pendidikan tinggi anak-anak mereka.

Dalam situasi kos pengajian tinggi yang semakin meningkat dari semasa ke semasa, insentif ini menawarkan beberapa kekuatan utama sekali gus boleh memberi manfaat jangka panjang kepada keluarga dan negara.

Kekuatan insentif pelepasan cukai SSPN dapat mengurangkan beban kewangan ibu bapa melalui pengurangan dalam jumlah cukai yang perlu dibayar, seterusnya meningkatkan jumlah wang yang boleh disimpan atau dibelanjakan untuk keperluan lain.

Ini amat penting dalam konteks kos pengajian tinggi yang semakin meningkat, menyaksikan setiap ringgit yang dijimatkan boleh digunakan untuk menampung yuran pengajian, buku, dan perbelanjaan berkaitan lain.

Selain itu, insentif ini juga menggalakkan ibu bapa untuk mula menabung lebih awal. Pelepasan cukai secara tidak langsung memberi motivasi tambahan untuk membuka akaun SSPN dan mula menyimpan seawal mungkin.

Tabungan awal ini bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan kewangan apabila anak-anak memasuki institusi pengajian tinggi, tetapi juga membolehkan simpanan tersebut berkembang melalui faedah yang diperoleh dari masa ke masa.

Selain itu, insentif ini juga dapat meningkatkan kesedaran kewangan dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat. Ibu bapa yang mempunyai kesedaran tinggi dalam perancangan kewangan untuk pendidikan anak-anak, akan lebih cenderung untuk memahami kepentingan pengurusan kewangan yang baik. Ini boleh membawa kepada amalan kewangan yang lebih bijak dan berdisiplin dalam jangka masa panjang.

Apabila lebih ramai ibu bapa, mampu atau mahu menyimpan untuk pendidikan tinggi anak-anak mereka, secara tidak langsung lebih ramai pelajar mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, khususnya mereka yang kurang berkemampuan.

Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada individu tersebut, tetapi juga kepada negara secara keseluruhan. Pendidikan tinggi yang lebih meluas boleh meningkatkan kualiti tenaga kerja seterusnya membantu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Insentif ini juga mewujudkan situasi menang-menang (win-win) untuk semua pihak yang terlibat. Ibu bapa mendapat manfaat daripada pelepasan cukai dan faedah simpanan, manakala anak-anak mendapat peluang pendidikan lebih baik.

Pada masa yang sama, kerajaan mendapat manfaat melalui peningkatan kadar celik kewangan dan pendidikan tinggi dalam kalangan rakyat, seterusnya boleh membawa kepada pembangunan sosial dan ekonomi yang lebih mampan.

Walaupun insentif ini mempunyai banyak kekuatan, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi untuk memastikan keberkesanannya. Tidak semua ibu bapa mungkin sedar akan kewujudan atau manfaat insentif ini. Oleh itu, kempen kesedaran yang lebih agresif dan meluas perlu dijalankan untuk memastikan lebih ramai ibu bapa mendapat maklumat yang tepat dan lengkap mengenai pelepasan cukai SSPN.

Walaupun pelepasan cukai adalah satu insentif yang baik, keluarga berpendapatan rendah mungkin memerlukan sokongan tambahan seperti geran padanan atau insentif kewangan lain untuk membantu mereka menyimpan. Langkah-langkah ini boleh dipertimbangkan untuk memastikan insentif ini benar-benar inklusif dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Secara keseluruhannya, pelepasan cukai individu ke atas simpanan dalam SSPN adalah satu langkah bijak dan strategik dalam membantu ibu bapa merancang dan menyimpan untuk pendidikan tinggi anak-anak mereka.

Kos pengajian tinggi yang semakin meningkat, insentif ini menawarkan banyak kekuatan yang boleh memberi manfaat jangka panjang kepada keluarga dan negara. Namun, untuk memastikan keberkesanannya, beberapa cabaran perlu diatasi dan penambahbaikan perlu dilakukan. Menerusi pendekatan yang betul dan tepat, insentif ini boleh menjadi alat yang sangat berkesan dalam menyokong pendidikan tinggi dan pembangunan ekonomi negara.

PENULIS DR. CHEAH CHAN FATT, Felo Penyelidik di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI