fb fb fb fb fb

OKU bukan tiket melepaskan diri

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Dalam mendepani pelbagai isu semasa yang kritikal, Islam hadir sebagai agama rahmat yang meleraikan belenggu masalah masyarakat dengan prinsip-prinsip utama seperti memberikan kemudahan dan menghilangkan kesukaran.

Penetapan sebarang tuntutan hukum syarak ke atas seseorang Muslim yang disebut sebagai taklif berkait rapat dengan tahap kemampuan diri seseorang sepertimana yang dinyatakan oleh Allah SWT menerusi surah al-Baqarah ayat 286. Tuntutan taklif ini merangkumi segala perintah dan larangan daripada Allah SWT.

Bagaimanapun, pemahaman masyarakat terhadap definisi “berkemampuan” bagi diri seseorang mempunyai tafsiran berbeza apatah lagi dengan bantuan kecanggihan teknologi semasa yang merapatkan jurang kecacatan dalam kemampuan tersebut.

Lantaran itu, Islam mendefinisikan berkemampuan dalam konteks al-ahliyyah iaitu kelayakan atau keupayaan diri seseorang dari segi mental dan fizikal serta bertanggungjawab untuk melaksanakan perintah syariat iaitu taklif yang dibebankan ke atas dirinya.

Melalui definisi ini, kemampuan diri seseorang tidak terhad kepada keupayaan fizikal semata-mata tetapi turut merangkumi keupayaan mental atau akal yang menjadi tunjang kebergantungan segala taklif.

Perkara ini dapat dilihat melalui perbincangan ilmuwan Islam seperti al-Ghazali dan Ibnu Qudamah yang mensyaratkan seseorang mukalaf (individu yang dipertanggungjawabkan dengan taklif) mestilah mempunyai kemampuan untuk memahami khitab iaitu tuntutan hukum syarak ke atas seseorang.

Hal ini kerana, sesuatu khitab dapat direalisasikan melalui hubungan simbiotik antara kefahaman terhadap khitab, pembentukan niat dan pelaksanaan tuntutan syariat tersebut.

Firman Allah SWT menerusi surah al-Isra’ ayat 70 mafhumnya, “Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.”

Ulama tafsir termasuk al-Qurtubi mentafsirkan hakikat kemuliaan yang diberikan kepada manusia ialah kemampuan akal untuk membezakan antara perkara baik dengan buruk yang menjadi asas kepada keberkesanan urus tadbir kehidupan seharian.

Para ulama turut menjelaskan beberapa fungsi utama bagi akal seperti al-tamyiz iaitu kemampuan untuk membezakan baik dan buruk, al-fahm iaitu keupayaan untuk mencernakan kefahaman secara tepat dan menjangkakan kesan daripada sesuatu tindakan yang dilakukan olehnya.

Selain itu, dalam mengangkat kedudukan akal, tokoh teologi Islam, al-Taftazani juga menjelaskan bahawa keupayaan seseorang mencerap sesuatu kefahaman ilmu berasaskan daripada tiga sumber utama iaitu pancaindera yang sempurna, perkhabaran yang benar dan kemampuan akal yang sempurna.

Hal ini menunjukkan, keterjejasan akal seseorang mampu mengurangkan tahap keupayaannya untuk mendapatkan sesuatu kefahaman dan sekali gus menjejaskan kedudukannya sebagai mukalaf dalam melaksanakan taklif.

Dalam konteks isu perubatan moden, masalah yang berada dalam kategori keterjejasan akal ini dapat dilihat melalui pesakit-pesakit kecelaruan mental, kognitif vaskular disebabkan strok, demensia termasuklah orang kelainan upaya (OKU) mental dan pembelajaran.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), OKU dibahagikan kepada tujuh kategori utama iaitu OKU fizikal, OKU pendengaran, OKU penglihatan, OKU pertuturan, OKU pembelajaran, OKU mental dan OKU pelbagai.

Sesuatu penelitian dengan 'membakulkan' kesemua OKU terlepas daripada sebarang hukuman merupakan penelitian yang salah. Hal ini kerana, Islam meletakkan batu asas dalam menentukan liabiliti hukum ke atas diri seseorang berdasarkan kapasiti akal yang dimilikinya. Maka, daripada jenis-jenis OKU yang dinyatakan, OKU mental dan OKU pembelajaran merupakan kategori kelainan upaya yang menjejaskan kapasiti akal dengan tahap keterukan tersendiri.

Antara contoh bagi OKU pembelajaran ialah Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan Global Development Delay (GDD), manakala bagi OKU mental pula ialah kemurungan dengan gejala psikosis, skizofrenia dan demensia. Setiap penyakit ini mempunyai spektrum tahap keterukan berbeza yang boleh menjejaskan kedudukan taklif seseorang.

Misalnya bagi pesakit yang mengalami kemurungan pada tahap teruk dengan gejala psikosis iaitu delusi dan halusinasi tinggi, kemampuannya untuk memahami khitab akan terjejas dan menggugurkan taklif daripada dirinya. Sebaliknya bagi pesakit ADHD atau austime yang berfungsi tinggi, meskipun mempunyai masalah keterjejasan mental, namun keadaan tersebut tidak mengganggu fungsi akal untuk memahami hukum syarak.

Sehubungan itu, hukum Islam menjelaskan bahawa terdapat tiga kesan ke atas hukum berdasarkan kapasiti akal seseorang sama ada dengan menetapkan taklif, menggugurkan sebahagian taklif dan menggugurkan keseluruhan taklif.  Variasi hukum yang diberikan ini memerlukan penelitian yang tuntas ke atas seseorang pesakit OKU sebelum ditentukan hukuman ke atas dirinya.

Dalam meneliti keterjejasan akal seseorang, Imam al-Sarakhsi menjelaskan bahawa keadaan tersebut dapat dikesan melalui pengalaman (berurusan dengan pesakit) dan ujian (penilaian yang dilakukan ke atas dirinya).

Bidang perubatan moden telah membangunkan pelbagai penilaian untuk menentukan keadaan pesakit OKU dan keterjejasan mental lain seperti Clinical Dementia Rating (CDR) untuk menentukan tahap keterukan pesakit demensia dan Montreal Cognitive Assessment (MoCA) untuk menentukan domain kognitif yang terjejas.

Hal ini kerana, kapasiti akal merupakan suatu perkara yang implisit dan perlu diuji secara eksplisit agar penetapan hukum selari dengan keterbatasan pesakit.

Kesimpulannya, dalam menentukan hukuman ke atas pesakit, syariat meletakkan garis panduan tertentu termasuk penetapan syarat secara umum melalui kefahaman terhadap khitab dan dikhususkan dalam setiap perintah atau larangan. Misalnya, seseorang itu boleh dikenakan hukuman had zina sekiranya dia tahu hukum pengharaman zina tersebut tanpa disyaratkan untuk mengetahui hukuman yang akan dikenakan.

Selain itu, syariat juga mensyaratkan hukuman bagi seseorang yang mempunyai kemampuan untuk al-tamyiz dengan hukuman ta’zir, bertujuan untuk mendidik dan mencegah apabila seseorang itu melakukan perkara yang biasanya dilakukan oleh orang yang normal.

Hukuman ta’zir berbeza dengan hukuman hudud di mana hukuman hudud merupakan hukuman yang ditetapkan secara spesifik oleh syarak jenis dan kuantiti hukuman. Sebaliknya, hukuman ta’zir merupakan hukuman yang tidak ditentukan oleh syarak secara spesifik tetapi memberikan keluasan dan kapasiti kepada pihak berautoriti seperti hakim untuk menentukan hukuman.

Tujuan pencegahan daripada hukuman ta’zir bertujuan mengangkat prinsip syariat dalam menjaga kemaslahatan hidup bermasyarakat agar kesilapan yang sama tidak menjadi kebiasaan dan diulangi serta menjadi tiket berlepas diri daripada sebarang tuntutan syarak.

Akhir sekali, diagnosis pakar terhadap kemampuan akal pesakit diperlukan dalam penelitian hukum syarak sebelum menentukan sebarang hukuman melalui perbuatan dan tindakan yang dilakukan oleh pesakit.

MUHAMMAD TAFZTAZANY ABD RAHMAN
Muhammad Taftazany Abd Rahman
Pembantu Penyelidik Pascasiswazah
Jabatan Fiqh dan Usul
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

MAT YUNUS BIN SABRI