SAUDARA PENGARANG
Kebelakangan ini, satu trend membimbangkan telah muncul, di mana sebilangan pengusaha gerai makanan cenderung menggunakan nama berunsur lucah, jelik, atau sensasi bagi menarik perhatian pembeli. Fenomena ini bukan sahaja menimbulkan persepsi negatif terhadap budaya makanan tempatan, malah turut menjejaskan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
Tatkala bulan Ramadan al-Kareem, para pengusaha makanan seharusnya lebih cakna dalam pemilihan nama menu juadah berbuka puasa. Sebagai negara dengan majoriti penduduk beragama Islam, penggunaan nama makanan yang sopan dan sesuai dengan norma masyarakat adalah amat penting.
Nama-nama seperti Nasi Racun atau Sambal Belacan Bau Tapak Kaki bukan sahaja menimbulkan persepsi negatif terhadap kualiti makanan, malah boleh mengundang kekeliruan dalam kalangan masyarakat bukan tempatan yang kurang memahami konteks budaya makanan Malaysia.
Malaysia kaya dengan kepelbagaian budaya dan warisan kulinari unik. Justeru, adalah wajar sekiranya nama-nama makanan mencerminkan nilai estetika yang positif dan sopan. Jika dibandingkan dengan negara-negara lain, amat jarang ditemukan nama makanan tempatan yang mempunyai konotasi negatif. Malangnya, di Malaysia, trend sebaliknya semakin berleluasa, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan identiti makanan negara.
Impak Terhadap Budaya dan Identiti Makanan Malaysia
Normalisasi penggunaan nama makanan berunsur negatif boleh memberi kesan jangka panjang terhadap generasi akan datang. Budaya ini berpotensi menjadi kebiasaan yang akhirnya membentuk identiti makanan Malaysia dengan cara tidak diingini. Akibatnya, makanan tempatan yang sepatutnya menjadi kebanggaan negara mungkin kehilangan nilai estetika dan keunikan identitinya.
Selain itu, pemilihan nama yang tidak sesuai juga boleh menjejaskan usaha promosi makanan Malaysia di peringkat global. Dalam era globalisasi, makanan bukan sekadar keperluan asas, tetapi juga medium diplomasi budaya. Oleh itu, nama makanan yang tidak mencerminkan nilai profesionalisme dan kesopanan boleh menghalang usaha memartabatkan makanan Malaysia sebagai aset budaya yang bernilai tinggi.
Cabaran Perundangan Mengawal Penggunaan Nama Makanan
Pada masa ini, tiada peruntukan undang-undang khusus di Malaysia yang melarang penggunaan nama makanan berunsur negatif. Pemilihan nama sepenuhnya bergantung kepada budi bicara pengusaha makanan itu sendiri.
Namun begitu, terdapat contoh perundangan lain yang boleh dijadikan rujukan, seperti Peraturan Pendaftaran Perniagaan 1957 yang mengawal penggunaan nama syarikat atau perniagaan, di mana ia melarang penggunaan sebarang perkataan yang bersifat menghina agama atau berkemungkinan menyinggung perasaan masyarakat.
Sekiranya trend menggunakan nama jelik pada makanan ini berterusan tanpa kawalan, tidak mustahil kerajaan akan mengambil langkah proaktif dengan menggubal peraturan khusus bagi menangani isu ini. Penggubalan dasar atau garis panduan rasmi dapat membantu menetapkan standard pemilihan nama makanan yang lebih selaras dengan nilai budaya Malaysia serta memastikan produk makanan tempatan dipasarkan dengan lebih beretika.
Tanggungjawab Bersama dalam Memelihara Identiti Makanan
Walaupun kawalan perundangan boleh menjadi penyelesaian terakhir, inisiatif perubahan perlu bermula daripad pengusaha makanan sendiri. Mereka seharusnya memainkan peranan penting dalam memastikan nama-nama menu yang dipilih mencerminkan nilai murni, sopan serta warisan budaya yang boleh dibanggakan.
Selain itu, masyarakat juga perlu lebih prihatin dan tidak menyokong penggunaan nama makanan yang berunsur negatif. Galakan dan sokongan seharusnya diberikan kepada pengusaha yang menggunakan nama kreatif tetapi tetap menjaga kesopanan dan selari dengan norma budaya tempatan. Pendidikan dan kesedaran dalam kalangan pengguna turut boleh menjadi pemangkin kepada perubahan ini.
Makanan bukan sekadar produk dagangan, tetapi juga simbol warisan dan identiti budaya sesebuah negara. Oleh itu, pemilihan nama makanan haruslah dilakukan dengan penuh tanggungjawab agar ia dapat mengangkat nilai budaya Malaysia dan bukannya mencemarkan imej negara.
Jika pengusaha makanan dapat memainkan peranan dalam memastikan penggunaan nama yang lebih positif, beretika dan profesional, Malaysia akan dapat mempertahankan identiti makanan tempatan serta mengukuhkan kedudukan warisan kulinarinya di peringkat antarabangsa.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Siti Nurhayati Khairatun
Jabatan Pengurusan dan Khidmat Makanan
Fakulti Sains dan Teknologi Makanan
Universiti Putra Malaysia
e-mel: