fb fb fb fb fb

Menyeimbang kecemerlangan akademik dan nilai modal insan

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Masyarakat kini sering dihadapkan dengan cabaran untuk mencapai kecemerlangan akademik. Pelajar terpaksa bersaing dengan rakan sebaya mereka untuk mendapatkan pencapaian terbaik, namun dalam kesibukan tersebut, penting untuk tidak mengabaikan nilai modal insan.

Modal insan merujuk kepada kualiti dan nilai diri yang perlu dihasilkan melalui pendidikan dan pengalaman seharian. Mencari keseimbangan antara kedua-dua aspek ini iaitu, kecemerlangan akademik dan nilai modal insan, adalah kunci untuk pembangunan individu yang holistik dan berintegriti selari dengan konsep ihsan yang dituntut Islam.

Dalam hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, di mana Amalan Pendidikan Anti-Bias (APAB) diperkenalkan sebagai proses pendidikan. Pembentukan jati diri perlu dibentuk diperingkat sekolah rendah lagi, sama ada dilaksanakan secara formal atau tidak formal bagi mengubah corak pemikiran serta tingkah laku masyarakat supaya menjadi lebih peka dan prihatin terhadap persamaan hak kemanusiaan.

APAB diwujudkan bagi membantu negara mencapai matlamat membina masyarakat sensitif dan memiliki pengetahuan tepat, berkemahiran dan menyedari nilai terhadap isu pelbagai budaya dan keupayaannya untuk memberi sumbangan dalam menyelesaikan masalah berkaitan.

Memetik konteks enam (6) nilai teras Malaysia Madani pula iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Dayacipta, Hormat, Keyakinan, dan Ihsan, beberapa faktor penting yang berkait rapat dalam membentuk individu seimbang boleh ditelusuri bersama.

Iaitu sifat Keterbukaan - Menerima pelbagai pandangan dan maklumat yang membina; Keberanian - Berani untuk mencuba dan menempuh cabaran baru; Kejayaan - Mengutamakan usaha untuk mencapai kejayaan tanpa mengorbankan integriti; Kemanusiaan - Menjunjung nilai kemanusiaan dalam segala aspek kehidupan; Kesukarelawanan - Menggalakkan rasa tanggungjawab untuk membantu masyarakat; dan Inovasi - Berusaha untuk berfikir secara kreatif dan memajukan diri.

Mengambil berat faktor-faktor tersebut, pembentukan individu yang seimbang dalam kalangan graduan tidak hanya tertumpu kepada melahirkan graduan yang bijak pandai, tetapi juga membentuk sahsiah diri yang terpuji.

Namun, dalam mencapai kecemerlangan akademik, kita harus mengingati dan menghargai tradisi tempatan serta nilai budaya Malaysia. Budaya membaca harus dipupuk sejak kecil, dan ini dapat dilakukan dengan menggalakkan pembacaan bahan-bahan tempatan yang mencerminkan identiti kita.

Buku-buku dan bahan bacaan lain yang mengandungi cerita, dongeng, dan sejarah Malaysia tidak hanya merangsang minda, tetapi juga membentuk jati diri dan perpaduan bangsa. Selain itu, ia juga memberikan pandangan yang luas tentang adat resam yang berbeza, seterusnya memupuk pemahaman dan toleransi di kalangan masyarakat yang pelbagai.

Malangnya, kebanyakan pelajar di universiti sering terjebak dalam dunia akademik mereka dan kurang memberi perhatian kepada bahan bacaan bukan akademik. Oleh itu, adalah penting untuk menyediakan akses kepada bahan bacaan yang dapat meningkatkan nilai budaya dan tradisi kita.

Salah satu cara untuk mencapai ini adalah dengan menyediakan Little Free Library di dalam kampus universiti yang menawarkan bahan bacaan bukan akademik. Inisiatif ini bukan sahaja memberi kebebasan kepada pelajar untuk memilih apa yang ingin dibaca tetapi juga memperkenalkan mereka kepada pelbagai genre dan penulis berbeza.

Little Free Library ialah organisasi bukan berkonsepkan keuntungan yang berpangkalan di St. Paul, Minnesota. Tujuan utamanya adalah untuk menjadi pemangkin dalam membina serta membentuk komuniti setempat, memberi inspirasi kepada pembaca buku, dan mengembangkan akses buku untuk semua, melalui rangkaian global iaitu kotak pertukaran buku atau lebih dikenali sebagai Little Free Library yang dijanakan oleh sukarelawan secara individu atau berkumpulan. Visi pengasas Little Free Library ini ialah menyediakan Perpustakaan Percuma bersaiz Kecil dalam setiap komuniti dan buku untuk setiap pembaca.

Akses percuma kepada bahan bacaan seperti novel, puisi, dan buku bacaan ringan lain yang masih dalam bentuk pendidikan berperanan penting dalam mengejar keseimbangan diri. Ia memberi peluang kepada pelajar untuk bersantai, mengelakkan tekanan akademik, dan merangsang kreativiti mereka. Dengan cara ini, pelajar dapat memahami pentingnya kedua-dua aspek, iaitu kecemerlangan akademik dan nilai modal insan, dalam membentuk diri mereka sebagai individu yang berkualiti.

Ini selaras dengan matlamat pendidikan Universiti Malaya (UM) iaitu untuk menyediakan pendidikan bertransformasi yang memberdayakan pelajar dengan pengetahuan, kemahiran dan lilai-nilai etika yang diperlukan untuk membolehkan mereka memajukan pengetahuan, menegakkan keadilan sosial, mendorong pembangunan mampan dan menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.

Little Free Library @UM

Seiring dengan itu, Jabatan Sains Perpustakaan dan Maklumat, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM dengan kerjasama Perpustakaan Universiti Malaya dalam usaha membangunkan beberapa buah stesen Little Free Library di sekitar kampus utama di bawah geran Komuniti Kampus yang dikuasakan oleh Pusat Jalinan Masyarakat Universiti Malaya atau lebih dikenali sebagai UMCares.

Inisiatif ini adalah dengan menyedari kepentingan keseimbangan di antara kecemerlangan akademik dan pembentukan modal insan di kalangan graduan tempatan dengan keadaan semasa. Dalam pada masa yang sama, ia juga menyahut seruan Matlamat Pembangunan Mampan Negara (SDG) keempat, iaitu ke arah Pendidikan Berkualiti.

Projek Komuniti Kampus ini dijangka akan membangunkan Little Free Library di kampus utama sekitar bulan November 2024 dengan jalinan kerjasama daripada pemegang taruh di kalangan pemain industri yang telah dikenalpasti seperti Kumpulan Karangkraf.

Kesimpulannya, mengimbangi antara mengejar kecemerlangan akademik dan memupuk nilai-nilai modal insan bukanlah satu perkara yang mustahil. Dengan menghargai tradisi tempatan dan memperkukuh budaya membaca melalui penyediaan Little Free Library ini, kita bukan sahaja memperkayakan pengalaman pembacaan tetapi juga menyokong pembangunan individu yang seimbang dan holistik dalam Masyarakat Malaysia.

PENULIS DR. SAMSUL FARID SAMSUDDIN, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Perpustakaan dan Maklumat, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya. Boleh dihubungi melalui e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI