SAUDARA PENGARANG
Rabiul Awal yang baru sahaja meninggalkan kita adalah bulan yang sinonim dengan peluang menyemak, mengulangkaji, dan menonjolkan semula keteladanan Baginda Nabi Muhammad SAW dalam seluruh sistem kehidupan insan.
Meneladani Nabi Muhammad SAW merupakan prinsip utama dalam hidup seorang muslim. Bagi seorang muslim, Baginda Rasulullah SAW ibarat jarum kompas yang akan menunjuk arah yang tepat dan laluan yang jitu.
Jika ditelusuri dengan lebih halus, sekurang-kurangnya ada tiga alasan penting mengapa meneladani Rasulullah SAW sangat ditekankan dan banyak dibincangkan, khususnya pada musim dan sempena sambutan hari keputeraan atau Maulid Baginda Nabi Muhammad SAW yang diraikan setiap tahun.
Alasan dan sebab yang pertama adalah, meneladani Nabi SAW sebagai tanda iman kepada Allah SWT, al-Quran, dan kerasulan Nabi Muhammad SAW itu sendiri. Seseorang muslim sejati hanya dianggap beriman secara sempurna apabila dia menjadikan Nabi SAW sebagai ikutan dan hakim dalam semua aspek kehidupannya, yakni mengikuti petunjuk baginda dalam segenap perkara, baik yang berbentuk nyata mahu pun yang berbentuk spiritual atau kerohanian.
Inilah intipati pesan Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 65 yang bermaksud: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.”
Dan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Demi Zat yang jiwaku ada di dalam genggaman-Nya, sesungguhnya seseorang di antara kalian belumlah beriman sehingga hawa nafsunya tunduk dengan apa yang aku bawa.”
Kedua, meneladani Nabi SAW merupakan syarat agar perbuatan seseorang diterima di sisi Allah SWT, kerana perbuatan yang selari dengan sunnah Nabi SAW akan diterima, sementara yang bertentangan akan ditolak.
Oleh kerana itu, setiap tindakan seharusnya dipertimbangkan dengan ajaran petunjuk ketetapan Nabi SAW. “Barang siapa melakukan suatu amalan yang bukan berasal dari kami, maka amalan tersebut adalah tertolak” (HR Muslim no. 1,718).
Dan yang ketiga, meneladani Nabi SAW adalah kaifiyat (cara) untuk meraih kasih dan cinta Allah SWT. Seseorang akan hanya dapat mencintai dan dicintai oleh Allah SWT jika dia benar-benar mengikuti syariat Nabi Muhammad SAW.
Oleh kerana itu, mengikuti ajaran Nabi adalah kunci untuk mencapai kasih Allah SWT. Firman Allah (yang bermaksud): Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (Al-Imran 3:31).
Akan tetapi, untuk benar-benar dikatakan telah meneladani Nabi SAW dengan sempurna pula, paling tidak ada tiga persyaratan yang harus dipenuhi:
Syarat pertama, perilaku dan tindakan yang dilakukan haruslah senada dengan perbuatan Nabi SAW. Ini bererti kita hendaklah menjalankan tindakan yang serupa dengan yang dilakukan oleh Baginda Nabi SAW, atau sekurang-kurangnya selari dengan model yang telah ditunjukkan oleh Khatimul Anbiya’ buat kita umat yang menanti syafaat Baginda.
Syarat kedua, tujuan dan niat dalam perbuatan haruslah pula sejalan dengan niat Nabi SAW. Ini bererti melakukan tindakan dengan orientasi yang sama dengan yang diniatkan oleh Nabi SAW dalam melakukan perbuatan tersebut iaitu ikhlas untuk beroleh reda dan kasih sayang Allah SWT. Dan tentunya semua itu juga adalah teladan buat kita umatnya.
Dan ketiga, perbuatan kita haruslah dilakukan kerana mengikuti Nabi SAW (al-itba’), bukan sekadar meniru rupa bentuknya semata-mata. Ini bermakna perbuatan tersebut haruslah dilakukan dengan keyakinan bahawa itu adalah sebahagian dari ajaran dan syariat Islam yang dituntun oleh Baginda Nabi Muhammad SAW.
Pendek kata, meneladani Baginda Nabi SAW bukan hanya tentang kata-kata atau sambutan maulid semata-mata. Ini adalah tentang mengamalkan syariat Islam secara menyeluruh dalam semua aspek kehidupan, sama ada sebagai seorang individu, keluarga, masyarakat, bahkan dalam berorganisasi dan bernegara.
Sehinggalah Islam itu menjadi sebuah cara hidup (way of life) yang sesungguhnya. Selain itu, perkara tersebut juga termasuk melibatkan usaha untuk menyebarkan Islam ke seluruh pelosok dunia, meluruskan semula sistem yang bertentangan dengan ajaran Islam, dan berjuang untuk membentuk masyarakat madani yang sesuai dengan acuan ajaran Nabi Muhammad SAW.
Di akhirnya, melalui cara ini, seseorang itu barulah dianggap telah benar-benar meneladani Baginda Nabi SAW dalam perkataan dan perbuatan serta tindakannya. Sebagaimana pesan Allah SWT yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” (Al-Ahzab 33: 21)
Semoga sambutan Maulid Nabi SAW yang telah kita raikan menganugerahkan wawasan tentang pentingnya meneladani Baginda Nabi SAW dalam kehidupan sehari-hari., seterusnya dapat menyempurnakan iman, cinta kasih dan hubungan kita dengan Allah SWT dan Rasul-Nya, Khairul Anam.
PENULIS RUSLI ABDUL RONI adalah Pensyarah College of Continuing Education (CCEd), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.