SAUDARA PENGARANG
Kreativiti dan inovasi menjadi aset kepada kecemerlangan prestasi institusi. Ini sekali gus memberi inspirasi kepada pelajar untuk terus berinovasi dan menyerlahkan daya kreativiti.
Teras ke-3 visi Malaysia Madani adalah daya cipta (inovasi) yang akan dibudayakan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Objektif teras adalah bagi mengubah masyarakat Malaysia daripada masyarakat pengguna semata-mata kepada masyarakat yang aktif menyumbang dan mencorak revolusi digital dan teknologi yang merubah landskap dunia.
Malaysia Madani telah menyediakan persekitaran dan infrastruktur yang mampu merangsang kreativiti dan menggalakkan penghasilan sistem, produk, idea dan proses lebih maju. Daya cipta merupakan salah-satu elemen penting terutama sekali kepada pelajar Jabatan Perdagangan dalam meningkatkan keboleh-pasaran diri.
Kursus di Politeknik dan Kolej Komuniti yang lazimnya memfokuskan kepada penghasilan suatu reka bentuk produk atau sistem amat memerlukan pelajar mengaplikasikan daya cipta mereka.
Pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti adalah aset kepada institusi dan mereka amat penting dalam merealisasikan visi, misi dan teras strategik Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komunti.
Pelajar juga berperanan penting dalam membudaya penyelidikan dan inovasi bagi menghasilkan warga yang berfikiran kreatif dan inovatif serta mampu menjana idea-idea yang akan memberi impak positif kepada institusi Politeknik dan Kolei Komuniti.
Kreativiti merupakan kebolehan atau keupayaan mencipta, mewujud dan menghasilkan sesuatu yang baharu atau dalam bentuk baharu dan asli. Ia memerlukan daya imaginasi tinggi, penerokaan dan kebolehan membina hubungan baharu terhadap maklumat lama dan sedia ada.
Justeru, ia boleh menghasilkan inovasi iaitu idea untuk menambah baik proses atau cara lama yang lebih efektif, berkesan dan lebih menarik. Melalui inovasi, minda kreatif dan daya imaginasi yang tinggi adalah sangat diperlukan untuk membawa negara ke arah kemajuan dan berdaya saing.
Ini dapat dilihat dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010) dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang menekankan pembangunan modal insan yang kreatif dan inovatif serta kemahiran berfikir.
Sesungguhnya pelajar yang kreatif dan inovatif akan menjadi seorang yang sentiasa berfikir, ingin mencipta, bercita-cita besar, berani dan yakin pada diri sendiri. Ciri-ciri modal insan ini yang perlu kita lahirkan bagi menghadapi cabaran masa depan.
Masyarakat yang kreatif dan inovatif akan menghasilkan perkhidmatan, produk dan modal insan bermutu serta berdaya saing yang mendokong dasar ini, seterusnya melonjakkan negara ke mercu kemajuan dalam masa yang singkat.
Banyak faedah yang diperoleh dalam kehidupan hasil daripada inovasi. Justeru, setiap pihak perlu membudayakan amalan inovasi dalam kehidupan seharian agar maju dan kekal relevan.
Kerancakan ekonomi dan globalisasi hari ini menjadi kayu pengukur keupayaan kita untuk seiring dengan negara lain. Kerajaan memainkan peranan penting dalam memastikan dasar yang diperkenalkan mempunyai unsur-unsur inovasi dan memberi manfaat yang berkesan kepada semua rakyat Malaysia.
Semoga inovasi yang kita nikmati hari ini membawa kita mencapai kemajuan sejagat yang tidak pernah tercatat dalam sejarah peradaban manusia dan seterusnya mencapai hasrat negara dalam melahirkan Malaysia Madani.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Oleh
Sharipah Khadijah binti S. Hashim
Pensyarah Kanan
Jabatan Perdagangan
Politeknik Seberang Perai
Ts Dr Mazidah Mat Rejab
Pensyarah Kanan
Jabatan Kejuruteraan Perisian
Fakulti Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Tun Hussein Onn, Batu Pahat