SAUDARA PENGARANG
Isu kewangan bukanlah perkara baharu bagi pelajar universiti. Bagi kebanyakan pelajar, menyeimbangkan antara tuntutan akademik dan perbelanjaan harian boleh menjadi cabaran besar. Dengan kos pendidikan dan kos sara hidup yang semakin meningkat, terutama di Institusi Pengajian Tinggi Swasta, pelajar berhadapan dengan tekanan kewangan yang mampu memberi kesan kepada prestasi akademik dan kesejahteraan hidup mereka. Justeru, pengurusan kewangan yang bijak adalah langkah penting untuk memastikan kelangsungan kehidupan sebagai pelajar university, seterusnya membina masa depan yang lebih stabil.
Pengurusan kewangan bukan sekadar membayar yuran pengajian tepat pada waktunya. Ia melibatkan kemampuan pelajar mengatur dan membahagikan perbelanjaan sepanjang kehidupan di kampus mengikut keutamaan. Sebagai contoh, satu strategi yang boleh digunakan ialah membahagikan peratusan tertentu daripada wang saku atau pinjaman pelajaran kepada kategori-kategori penting seperti berikut:
- 20% untuk kos pengajian – ini termasuk yuran universiti, pembelian buku dan alat tulis.
- 20% untuk keperluan harian – perbelanjaan makanan, pengangkutan, dan bil utiliti.
- 5% untuk bersedekah atau menyumbang kepada masyarakat – dengan bersedekah, pelajar juga memupuk sikap peduli kepada orang lain.
- Selebihnya untuk kegunaan lain – hiburan, pakaian, dan aktiviti santai, tetapi ia perlu dibelanjakan secara berhemah.
Mengamalkan perancangan kewangan sebegini bukan sahaja membantu pelajar mengawal perbelanjaan, tetapi juga melatih mereka untuk berfikir jauh ke hadapan. Pelajar yang bijak merancang kewangan akan lebih bersedia menghadapi sebarang kejutan yang mungkin timbul di kemudian hari.
Dalam konteks hari ini, kos pengajian serta kos sara hidup yang semakin tinggi menambah beban kewangan sedia ada. Pelajar sering kali tersepit antara kos yuran, sewa rumah, dan keperluan asas lain. Akibatnya, ramai pelajar terpaksa mencari pekerjaan sampingan bagi menampung keperluan hidup. Walaupun bekerja sambilan dapat membantu meringankan beban kewangan, ia boleh memberi kesan kepada prestasi akademik jika tidak diuruskan dengan baik.
Lebih membimbangkan, terdapat segelintir pelajar yang terjebak dalam aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral seperti terlibat dengan penipuan kewangan (scam) untuk mendapatkan wang dengan cepat. Akibat daripada ini, bukan sahaja masa depan akademik mereka terancam, malah reputasi diri juga tercalar.
Bagi menangani masalah kewangan ini, pelajar perlu diberikan pendedahan awal tentang literasi pengurusan kewangan. Pihak universiti boleh memainkan peranan penting dengan menyediakan program-program atau ceramah berkaitan literasi kewangan dan pengurusan kewangan. Dengan adanya bimbingan tepat, pelajar dapat mempelajari cara-cara bijak untuk menguruskan wang mereka.
Pendedahan kepada pelajar berkaitan literasi pengurusan kewangan amat penting supaya pelajar tahu bagaimana membuat perancangan belanjawan, membina disiplin kewangan dari awal mengelak pelajar daripada membazir, memahami konsep simpanan dan pelaburan, belajar tentang pentingnya berjimat cermat serta tips dalam mengelakkan dari terlibat dengan penipuan kewangan (scam).
Mengurus kewangan dengan baik dapat memberi ketenangan fikiran dan membolehkan mereka fokus pada pelajaran. Pelajar yang bijak mengurus kewangan dapat mengelak daripada tekanan kewangan yang boleh menjejaskan prestasi akademik.
Pekerjaan sambilan juga boleh menjadi penyelesaian kepada masalah kewangan pelajar. Namun, ia perlu diuruskan dengan baik agar tidak mengganggu pelajaran. Universiti dan pihak berkaitan boleh mempertimbangkan untuk menawarkan program-program pekerjaan sambilan yang lebih tersusun dan tidak membebankan pelajar.
Contohnya, pekerjaan sambilan yang disesuaikan dengan waktu kuliah atau pekerjaan dalam kampus seperti pembantu perpustakaan boleh menjadi pilihan yang baik. Contoh pekerjaan sampingan yang lain termasuk guru tuisyen, freelancer dalam bidang seperti penulisan, reka bentuk grafik, atau penterjemahan. Pelajar juga boleh menjual barangan di platform e-dagang. Walaupun pendapatan tambahan ini membantu dari segi kewangan, pelajar harus memastikan ia tidak mengganggu pelajaran mereka.
Masyarakat juga mempunyai peranan penting dalam membantu pelajar universiti. Sokongan kewangan seperti dana bantuan amat diperlukan, terutama bagi mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah. Kita sering melihat usaha masyarakat dalam mengumpul dana untuk pelbagai projek, maka tiada salahnya jika kita turut memberikan perhatian kepada golongan pelajar yang sedang berjuang untuk masa depan mereka.
Sumbangan dalam bentuk wakaf dan sedekah amat dialu-alukan. Melalui sumbangan ini, pihak universiti dapat menggunakan untuk kebajikan pelajar seperti bantuan mengurangkan beban yuran, duit poket serta penyediaan makanan secara percuma.
Selain itu, didikan agama juga memainkan peranan penting dalam mengajar pelajar untuk bersyukur dan hidup dalam kesederhanaan. Nilai-nilai seperti berjimat cermat dan sentiasa bersyukur dengan apa yang ada dapat membantu pelajar menghadapi tekanan hidup dengan lebih tenang. Pelajar yang mempunyai pegangan agama yang kukuh akan lebih tabah dalam menghadapi cabaran kewangan tanpa mudah berputus asa.
Secara keseluruhannya, pengurusan kewangan bagi pelajar universiti adalah satu aspek penting yang tidak boleh dipandang remeh. Ia bukan sahaja melibatkan keupayaan pelajar mengurus perbelanjaan harian, tetapi juga persediaan mental dan emosi dalam menghadapi cabaran kewangan.
Dengan adanya sokongan daripada pelbagai pihak, sama ada pihak universiti, masyarakat atau melalui didikan agama, pelajar akan lebih bersedia untuk mengatasi tekanan kewangan dan memastikan kejayaan akademik serta masa depan yang lebih cerah. Bagi pelajar universiti, pengurusan kewangan yang bijak adalah kunci untuk mencapai impian, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk masa depan keluarga dan negara.
Ahmad Yani Ismail
Pensyarah, Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.