fb fb fb fb fb

Kewangan Islam & Kewangan Islam Sosial bantu pemandirian mangsa keganasan rumahtangga

Foto hiasan/Bernama

SAUDARA PENGARANG

Islam adalah agama syumul yang menjaga kesejahteraan umat manusia dari semua aspek kehidupan Islam mengajar umatnya menjaga kesucian unit keluarga serta menjaga hak dan maruah setiap individu.

Keluarga berfungsi sebagai asas kepada keharmonian dan ketenangan jiwa. Ini bermakna setiap ahli keluarga mesti menyayangi, menghormati, dan bertanggungjawab kepada orang lain. Allah S.W.T berfirman dalam surah Ar-Rum, ayat 21 yang bermaksud:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

Sebaliknya, jika nilai kasih sayang dan belas kasihan tidak lagi menjadi asas kepada sesebuah keluarga, kebahagiaan dan keharmonian akan lenyap, yang boleh mengakibatkan keganasan rumah tangga.

Keganasan rumahtangga merupakan satu jenayah domestik yang boleh memberi impak negatif kepada institusi keluarga khasnya dan masyarakat amnya. Ia boleh ditakrifkan sebagai pola kekerasan, penganiayaan atau intimidasi sama ada dalam bentuk fizikal, emosi, psikologi, seksual, sosial, dan kewangan.

Pola pengainiayaan itu digunakan untuk mengawal atau mempertahankan kekuasaan seseorang terhadap pasangan atau ahli keluarga bagi tujuan mengundang rasa takut atau memaksa pasangan atau ahli keluarga untuk melakukan sesuatu diluar kemahuan mereka.

Keganasan tidak sepatutnya berlaku dalam rumah tangga atau keluarga. Menurut Islam, suami bertanggungjawab melindungi isteri dan ahli keluarga kerana suami bertindak sebagai ketua keluarga. Ini jelas dinyatakan dalam al-Quran, surah An Nisa, ayat 34 yang bermaksud:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”

Islam juga menekankan keperluan untuk mempunyai ihsan kepada sesama manusia, dan ini amat penting untuk menjalani kehidupan yang baik, damai, dan cinta. Nabi SAW bersabda "Allah tidak akan mengasihani orang yang tidak mengasihani manusia." (Sahih Bukhari)

Malangnya, jenayah domestik ini terus menjadi barah dalam masyarakat setempat dan antarabangsa. Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan di Malaysia pada tahun 2023 ialah 22,908 kes.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara anggota, melalui Resolusi Perhimpunan Kesihatan Sedunia 49.25, mengakui keganasan terhadap wanita sebagai isu kesihatan awam yang serius. Ia juga merupakan isu sosial yang serius dan pelanggaran hak asasi manusia yang "memalukan".

Menurut Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa Bersatu atau United Nations Population Fund UNFPA Malaysia, menamatkan keganasan berasaskan jantina adalah suatu proses kompleks dan memerlukan pelbagai langkah untuk mencapai matlamatnya.

Memecahkan kitaran keganasan berasaskan jantina adalah langkah penting dalam usaha untuk menghentikan kesan negatif yang dihasilkan oleh keganasan tersebut. Sehubungan itu, selain daripada langkah-langkah bantuan sokongan, inisiatif pemberdayaaan ekonomi kepada mangsa penderaan domestik yang terselamat juga penting.

Ke arah itu organisasi kewangan Islam dan kewangan sosial Islam boleh membantu dengan menyediakan pembiayaan atau bentuk sokongan lain yang menyasarkan mangsa penderaan rumah tangga secara khusus.

Kewangan Islam dan kewangan Islam sosial mempunyai peranan penting dalam membantu pemandirian mangsa keganasan rumah tangga. Kewangan sosial Islam merangkumi pelbagai instrumen dan mekanisme kewangan yang berasaskan Syariah, termasuk zakat, sadaqah, wakaf dan mikrokredit.

Instrumen ini berpotensi untuk menggerakkan sumber, menggalakkan keadilan sosial, dan mengurangkan kemiskinan dan penderitaan dalam komuniti kita.

Apabila dimanfaatkan dengan berkesan, institusi kewangan Islam dan kewangan sosial Islam boleh memainkan peranan transformatif dalam memberdaya mangsa keganasan rumah tangga yang terselamat dan mengukuhkan institusi yang menyokong mereka.

Dalam konteks ini, terdapat beberapa cara untuk institusi kewangan Islam dan kewangan sosial Islam memberikan sokongan signifikan kepada mangsa keganasan rumah tangga untuk memulakan hidup baharu yang berdikari dan bebas daripada keganasan.

Pembiayaan Mikro dan Kewangan Mikro
Institusi kewangan Islam boleh menyediakan pembiayaan mikro atau kewangan mikro kepada mangsa keganasan rumah tangga untuk membantu mereka memulakan perniagaan kecil atau projek yang boleh memberi pendapatan sampingan. Ini membantu mereka untuk menjadi lebih bebas secara kewangan dan mengurangkan ketergantungan kepada pihak yang menindas.

Moratorium kepada mangsa keganasan rumahtangga
Institusi kewangan Islam boleh menawarkan moratorium dalam tempoh tertentu untuk pembayaran balik ansuran pembiayaan kepada mangsa keganasan rumahtangga. Mangsa keganasan rumahtangga yang hilang punca pendapatan memerlukan sokongan bagi membolehkan mereka membina kembali kehidupan mereka, khususnya dalam aspek pendapatan

Program Latihan dan Bimbingan Kewangan
Kewangan Islam sosial boleh menyediakan program latihan dan bimbingan kewangan khusus untuk membantu mangsa keganasan rumah tangga memahami dan menguruskan kewangan mereka dengan lebih berkesan. Ini termasuk pengurusan belanjawan, penjimatan, dan perancangan kewangan jangka panjang.

Skim Takaful dan Perlindungan
Institusi kewangan Islam boleh memperkenalkan skim takaful atau perlindungan khusus yang dirangka untuk melindungi mangsa keganasan rumah tangga dari risiko kewangan yang berkaitan dengan kejadian tersebut, seperti kos perubatan atau kehilangan pendapatan.

Kerjasama dengan Agensi Sosial, Organisasi Masyarakat dan Organisasi Impak Sosial
Institusi kewangan Islam boleh menjalin kerjasama dengan agensi sosial, organisasi masyarakat dan mana-mana organisasi terlibat dalam membantu mangsa keganasan rumah tangga. Ini membolehkan mereka menyediakan sokongan holistik dan integrasi kepada mangsa, termasuk bantuan kewangan, perumahan, kesihatan dan pendidikan.

Menerusi penyediaan akses perkhidmatan kewangan patuh Shariah dan menyeluruh; institusi kewangan Islam dan program kewangan Islam sosial dapat memainkan peranan penting dalam membantu mangsa keganasan rumah tangga untuk memulakan hidup baharu yang lebih mandiri, stabil, dan bermakna.

Oleh
Ahmad Yani Ismail
Pensyarah/Penyelidik
Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam Universiti Islam Selangor

Ahmad Fatin Mohamad Suhaimi
Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan KUIS

 Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI