SAUDARA PENGARANG
Minggu Pertama bulan Februari, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2010 dalam Perhimpunan Agung pertubuhan itu telah mengisytiharkan minggu pertama bulan Februari sebagai Minggu Keharmonian Antara Agama Sedunia.
PBB membuat suatu seruan kepada semua pemerintah atau kerajaan di dunia, institusi dan masyarakat sivil untuk menterjemahkannya dengan pelbagai program antara agama seperti program dialog antara agama serta inisiatif-inisiatif lain yang selari bagi mempromosikan matlamat murni minggu tersebut.
Realiti semasa dialog antara agama di Malaysia amat penting untuk diteliti. Pertama, penglibatan organisasi dan penyertaan masyarakat. Dalam kajian-kajian sebelum ini sekitar tahun 2003-2005 menunjukkan bahawa penglibatan organisasi-organisasi Islam tidak menggalakkan berbanding organisasi-organisasi bukan Islam.
Dari sudut penyertaan juga telah menunjukkan bahawa penglibatan masyarakat Muslim amat rendah terutama masyarakat awam. Ini adalah kerana tahap kefahaman dan kesedaran mereka terhadap kepentingan dialog dalam konteks semasa adalah rendah.
Oleh sebab itu ada dalam kalangan sarjana di Malaysia telah mula mengutarakan kerelevenan pelaksanaan dialog antara agama di Malaysia dan bagaimana ingin merakyatkan aktiviti ini agar masyarakat awam turut terlibat.
Perkara kedua adalah aspek para pendialog atau isu ketepatan pemilihan ahli panel program dialog. Perkara ini amat penting dan menjadi fokus utama dalam banyak perbahasan.
Oleh itu adalah amat penting untuk diteliti kerana sebahagian besar kejayaan dialog adalah bergantung kepada kredibiliti, kriteria, prestasi atau personaliti pendialog itu sendiri terutama dialog yang bersifat teologi (berkaitan hal-hal dalaman agama) dan dialog penyelesaian konflik antara agama.
Para pendialog ini bukan hanya dilihat dari sudut kesamaan taraf mereka dalam sesebuah agama atau jawatan yang disandang dalam organisasi yang diwakili. Seharusnya kefahaman terhadap konsep asas dialog, latarbelakang agama, pendidikan, kemahiran atau bidang (expertise) dalam topik perbincangan turut diambil perhatian serius.
Ini adalah kerana selain berperanan merealisasikan wacana dialog, mereka juga secara langsung menjadi ejen bagi agama yang diwakili seterusnya akan memberi kesan positif mahupun negatif terhadap hubungan antara agama.
Terdapat tiga tujuan utama dialog yang harus dimainkan oleh pendialog atau ejen dialog ini.
Pertama: Meyakinkan kebenaran dan mewujudkan ransangan untuk berfikir seperti dialog yang berteraskan unsur-unsur kepercayaan seperti teologi, doktrin serta tradisi sesebuah agama. Tujuan pertama ini memerlukan para pendialog untuk bersikap objektif, tidak bersikap prejudis, membuang sikap prasangka awal (pre-conceived notion), bersikap terbuka kepada setiap maklumat yang diterima.
Pandangan ini telah dijelaskan oleh Al-Faruqi dalam konsep Meta-Religion. Al-Quran telah merakamkan dialog di antara Rasul dan umatnya seperti dialog yang berlangsung di antara Nabi Ibrāhīm dan ayahnya sebagaimana firman Allah dalam Surah Maryam, ayat 42-43 yang bermaksud,
“Ketika ia berkata kepada bapanya: Wahai ayahandaku, mengapa ayahanda menyembah sesuatu yang tidak mendengar, tidak melihat dan tidak dapat menolongmu sedikit pun? Wahai ayahandaku! Sesungguhnya telah datang kepadaku sebahagian ilmu pengetahuan yang tidak datang kepadamu, kerana itu ikutlah aku, nescaya aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lurus” (Surah Maryam: 42-43).
Ayat di atas menjelaskan bahawa rakaman dialog ini dapat memecah kebekuan akal dan merangsang pemikiran rasional serta dapat menyerlahkan hakikat bahawa iman itu harus juga bertitik tolak daripada akal dengan berdasarkan kepada sumber tepat, jelas dan amat objektif. Pemahaman sebegini amat penting bagi para pengamal dialog antara agama.
Kedua: Meningkatkan kefahaman terhadap realiti sebenar sesuatu agama. Maka melalui proses dialog ini, setiap pendialog dan peserta akan bersikap objektif dan professional serta melahirkan pandangan yang tepat, bersifat terbuka dan tidak berpihak (free and unbiased search after truth), memerlukan penukaran kepada kebenaran (requires conversion to the truth), melebarkannya kepada melahirkan unsur menghargai tradisi dan budaya sesuatu agama.
Selain itu keperluan untuk mengelakkan sifat prejudis, ta’asub, mengetahui dengan lebih mendalam perbezaan dan persamaan yang wujud sehingga meningkatkan kepercayaan antara penganut yang akhirnya dapat membina hubungan yang harmoni tanpa menggadaikan kepercayaan agama apatah lagi persoalan akidah khususnya pendialog Islam.
Seterusnya menjadi pemangkin utama kepada semangat persaudaraan yang berasaskan toleransi dan penerimaan (menerima fakta secara total berasaskan sumber yang tepat). Oleh itu maklumat salah tafsir, konflik kefahaman, konflik interes mengenai unsur-unsur keagamaan yang wujud dalam setiap agama akan dapat dikurangkan.
Ketiga: Mewujudkan Konsep Keamanan Universal (Global Peace) dan meningkatkan kerjasama dalam inisiatif untuk kebaikan kemanusiaan sejagat. Penulis melihat tujuan ini meliputi aspek keamanan, kesejahteraan, keselamatan dan kemakmuran yang harus dinikmati oleh seluruh manusia dalam pelbagai bidang kehidupan.
Dalam persoalan ini penulis merujuk kepada Firman Allah yang bermaksud:
“Hai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesubgguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Pakar” (Surah al-Hujurat: 13).
Ibn Kathir dan al-Razi dalam tafsirnya menerangkan bahawa ayat ini lebih menekankan kepada kesepaduan umat Islam yang berbilang bangsa dan etnik serta matlamatnya didasarkan kepada taqwa kepada Allah. Ia juga sesuai untuk diaplikasi dalam konteks masyarakat berbilang agama.
Oleh itu perkataan “kenal-mengenal” tersebut dapat diperluaskan supaya maksudnya meliputi hubungan kerjasama dalam pelbagai aspek kehidupan seperti memelihara keamanan dan keadilan sejagat, memupuk kasih sayang, hubungan persaudaraan dan toleransi serta meningkatkan mutu kehidupan masyarakat dalam pelbagai aspek.
Dengan berlandaskan kepada latar belakang sejarah ringkas, realiti semasa serta transformasi pelaksanaan dialog antara agama di Malaysia dan tujuan utama secara teori maka sudah pasti isu-isu antara agama atau konflik agama pasti dapat diuruskan dengan baik.
Maka dengan ini matlamat PBB dengan menggalakkan penyuburan Minggu Keharmonian Antara Agama Sedunia bukan sekadar dilaksanakan pada Februari setiap tahun, tetapi di Malaysia dijadikan dasar negara melalui platform dialog antara agama agar sebarang isu mahu pun konflik antara agama dapat diselesaikan dengan cara paling harmoni.
Langkah itu amat baik demi pembangunan sesebuah negara tanpa menggadaikan kefahaman agama mahu pun akidah, terutama masyarat beragama Islam khususnya di Malaysia.
PENULIS DR. KHAIRULNIZAM MAT KARIM, Timbalan Dekan Akademik dan Penyelidikan Kolej Pendidikan Berterusan (CCEd), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), dan boleh dihubungi melalui emel
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.