fb fb fb fb fb

Adakah produktiviti meningkat selaras penetapan gaji minimum

Kakitangan Kilang Proton melakukan pemeriksaan pada pelancaran rangkaian kilang mesin penghentakan badan kereta di Proton City pada 14 Mac 2023/Foto hiasan Bernama

SAUDARA PENGARANG

Konsep gaji minimum merupakan satu elemen yang melibatkan keadilan sosial bertujuan untuk membantu mengurangkan kadar kemiskinan dengan meningkatkan kuasa membeli golongan miskin melalui kaedah peningkatan kadar gaji. Penetapan gaji minimum adalah satu topik yang sering menjadi perhatian dunia sama ada dalam bidang politik mahu pun akademik.

Perdebatan berkaitan jumlah gaji minimum di Malaysia telah bermula sejak awal tahun 1940-an. Namun begitu, perlaksanaan gaji minimum hanya dapat dilaksanakan di Malaysia buat pertama kali pada 1 Januari 2013 dengan nilai RM900 di Semenanjung Malaysia dan RM800 di wilayah Sabah dan Sarawak, setelah digazetkan pada 16 Julai 2012.

Terkini, jumlah penetapan gaji minimum sebanyak RM1500 dalam pasaran buruh telah pun dilaksanakan di semua sektor sama ada kerajaan atau swasta. Majikan yang mempunyai bilangan pekerja kurang daripada lima orang juga wajib untuk menetapkan gaji minimum sebanyak RM1500 bagi setiap pekerja.

Impak siginifikan terhadap perlaksanaan gaji pada tahap minimum kepada pekerja boleh dilihat melalui kadar pengangguran, kemiskinan dan kualiti kehidupan pekerja di sesebuah negara membangun dan maju. Terdapat pelbagai persepsi yang boleh dilihat melalui perlaksanaan gaji minimum dari sudut pandang pekerja dan majikan. Perlaksanaan jumlah gaji minimum di Malaysia adalah disebabkan beberapa faktor.

Antaranya adalah pada tahun 2009, 33.8 peratus pekerja dari sektor swasta mempunyai pendapatan kurang dari RM700 per bulan. Selain itu, perkembangan nilai gaji adalah lebih terkebelakang berbanding perkembangan kadar produktiviti pekerja disebabkan oleh sistem pasaran buruh yang masih kurang cekap.

Tambahan pula, kewujudan pekerja asing yang tidak mahir akan menjejaskan pertumbuhan gaji. Dijangkakan permintaan pekerja asing akan menurun dengan pelaksanaan dasar gaji minimum. Seterusnya, faktor globalisasi juga dilihat mampu untuk mendorong gaji minimum berdasarkan kepada “faktor kesetaraan nilai” merentasi sempadan negara. Selain itu, gaji minimum yang dicadangkan dipercayai dapat menampung keperluan asas pekerja untuk terus hidup dan memastikan gaji yang 'adil' dibayar kepada mereka.

Walaupun keadaan ini memberikan kelegaan bagi golongan pekerja, namun keadaan ini menjadi isu yang menghantui golongan majikan. Ini kerana dengan peningkatan jumlah gaji minimum di kalangan pekerja akan menyebabkan peningkatan kos pengeluran dengan meningkatnya kos operasi bagi sesebuah perniagaan atau syarikat.

Persoalannya adakah penetapan gaji minimum kepada golongan pekerja akan memberikan impak kepada hasil produktiviti sesebuah perniagaan atau syarikat? Persoalan seterusnya, apakah impak positif atau negatif yang akan dapat dilihat dalam satu tempoh jangka waktu? Hal ini kerana kesan gaji minimum terhadap tahap produktiviti tenaga kerja di Malaysia khususnya masih kurang diterokai.

Penstrukturan semula gaji dilihat sebagai aspek penting dalam pekerjaan bagi kebanyakan pekerja di Malaysia. Pada tahun 2012, Bank Negara Malaysia telah menyatakan bahawa jumlah nilai gaji sebenar pekerja menunjukkan pertumbuhan yang lebih perlahan berbanding dengan produktiviti pekerja sebenar dalam sektor pembuatan di Malaysia.

Sebagai contoh, gaji meningkat sebanyak 2.4% setiap tahun sepanjang dekad, manakala produktiviti buruh pula meningkat sebanyak 5.0% setahun dalam dekad yang sama. Oleh itu, pengenalan gaji minimum dijangka mampu mengubah produktiviti pekerja dalam sesebuah organisasi atau syarikat serta mampu mendorong kuasa membeli di kalangan pengguna kearah pertumbuhan ekonomi yang lebih berdaya saing.

Berdasarkan penyataan dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam laporan tahunan pada tahun 2018, menyatakan bahawa perbandingan produktiviti dan tahap gaji atau upah merentas ekonomi menunjukkan bahawa upah atau gaji secara amnya menunjukkan korelasi positif dengan produktiviti pekerja. Negara yang mempunyai produktiviti pekerja yang lebih tinggi adalah cenderung mempunyai jumlah gaji atau upah yang lebih tinggi.

Tambahan pula, upah gaji minimum turut dipercayai dapat meningkatkan tahap motivasi pekerja untuk meningkatkan usaha kerja mereka. Sekali gus keadaan ini akan meningkatkan produktiviti pekerja hasil dari usaha produktif pekerja berdasarkan upah atau insentif yang diberikan kepada mereka.

Oleh itu, langkah positif daripada majikan yang merangkumi gaji yang lebih baik dan persekitaran yang fleksibel akan menggalakkan semangat individu pekerja. Seterusnya, memotivasikan pekerja untuk bekerja lebih baik, sekaligus meningkatkan kadar produktiviti pekerja.

Walaupun begitu, pada satu sisi lain; laporan yang dikeluarkan Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) pada tahun 2013 menunjukkan bahawa produktiviti pekerja tidak berkadar lansung dengan peningkatan jumlah gaji minimum pekerja kerana walau pun berlaku peningkatan kepada jumlah gaji pekerja di antara tahun 2012 dan 2013 tetapi produktiviti pekerja adalah menurun sebanyak 1.8%. Data itu jelas menunjukkan bahawa terdapat perubahan dalam julat produktiviti dalam sektor pembuatan di antara tahun 2012 dan 2013, selepas pelaksanaan dasar gaji minimum di Malaysia.

Oleh itu, adalah penting bagi peningkatan produktiviti pekerjaan dalam setiap sektor di Malaysia adalah selari dengan peningkatan nilai gaji minimum yang diperuntukan. Ini bagi memastikan pihak pekerja dan majikan masing-masing beroleh manfaat daripada perlaksanaan dasar gaji minimum di Malaysia.

DR. NURUL ASHIKIN ALIAS adalah Felo Penyelidik di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

 

MAT YUNUS BIN SABRI