fb fb fb fb fb

Jangan abaikan keperluan penglihatan anak istimewa

Anak istimewa atau anak kurang upaya merupakan anak syurga yang dianugerahkan oleh Allah kepada ibu bapa yang terpilih. Pengorbanan memelihara anak ini merupakan satu amanah dan ujian bagi menilai tahap keimanan dan kesabaran pasangan tersebut / Foto Hiasan / Bernama

SAUDARA PENGARANG

Anak istimewa atau anak kurang upaya merupakan anak syurga yang dianugerahkan oleh Allah kepada ibu bapa yang terpilih. Pengorbanan memelihara anak ini merupakan satu
amanah dan ujian bagi menilai tahap keimanan dan kesabaran pasangan tersebut.

Berdasarkan Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), OKU boleh didefinisikan sebagai mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat.

Mengikut statistik pendaftaran OKU di Malaysia, sehingga 31 Januari 2023, seramai 637,537 orang daripada empat kumpulan etnik telah pun didaftarkan.

Ini merangkumi tujuh kategori OKU yang dikelaskan oleh JKM iaitu pengihatan, pendengaran, pertuturan, fizikal, pembelajaran, mental dan pelbagai dengan jumlah pendaftaran teramai adalah dari negeri Selangor iaitu seramai 104,909 orang.

Daripada jumlah keseluruhan pendaftaran, kategori kurang upaya pembelajaran merupakan kategori teramai yang mendaftar dengan julat umur kurang daripada enam tahun sehingga umur 60 tahun ke atas.

Antara contoh kurang upaya yang dikategorikan dalam kategori kurang upaya pembelajaran adalah seperti Sindrom Down, Autisma, Disleksia, Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan Global Developmental Delay (GDD).

Golongan ini harus dibantu bagi mengendalikan ketidakupayaan perubatan, mental dan psikologi mereka kerana beberapa hasil kajian telah mendapati terdapat kesukaran untuk mereka mengakses perkhidmatan penjagaan mata atau informasi yang diterima tidak difahami sepenuhnya.

Mungkin segelintir ibu bapa merasakan pemeriksaan mata untuk anak istimewa ini tidak dapat dilakukan kerana mereka mungkin menghadapi kesukaran untuk memahami arahan klinikal.

Namun tanggapan ini adalah salah sama sekali kerana kajian yang dijalankan pada tahun 2010 terhadap golongan kanak-kanak istimewa di Scotland membuktikan 95 peratus daripada 240 orang subjek dapat memberikan kerjasama dalam penilaian lengkap dan hampir lengkap fungsi visual.

Pegawai Optometri dan Pakar Oftalmologi merupakan satu profession yang terlatih untuk menjalankan pemeriksaan penglihatan kepada kanak-kanak kurang upaya.

Pemeriksaan penglihatan dijalankan menggunakan kaedah yang bersesuaian dengan individu kanak-kanak kurang upaya itu sendiri.

Pemeriksaan akan dijalankan secara objektif untuk memeriksa tahap penglihatan dan ralat refraksi kanak-kanak kurang upaya. Pemeriksaan secara subjektif juga akan dijalankan jika mereka dapat berinteraksi dengan baik.

Pemeriksaan mata seawal mungkin adalah sangat penting kerana mereka lebih cenderung untuk mempunyai masalah penglihatan dan sekiranya kegagalan deria penglihatan ini diabaikan, ianya akan menyekat perkembangan semua deria yang lain.

Perkara ini disokong oleh hasil kajian yang dijalankan di Oman terhadap 70 orang kanak-kanak istimewa dan 175 orang kanak-kanak normal. Kajian mendapati 50.8 peratus daripada golongan istimewa ini mempunyai masalah ralat refraksi atau rabun berbanding hanya 2.9 peratus sahaja daripada kumpulan normal.

Masalah ralat refraksi yang terlibat adalah 27.1 peratus mempunyai masalah astigmatism atau rabun silau, 24.3 peratus mempunyai masalah myopia atau rabun jauh manakala 18.6 peratus pula mempunyai masalah hyperopia atau rabun dekat.

Selain itu, golongan istimewa ini juga mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk menghadapi masalah penglihatan yang lain seperti juling, blepharitis, masalah saluran nasolakrimal, kongenital katarak dan keratoconus yang lebih cenderung untuk dihadapi oleh kanak-kanak Sindrom Down.

Kajian di Turki mendapati bahawa 97.4 peratus kanak-kanak Sindrom Down mempunyai masalah penglihatan seperti nystagmus, juling, rabun dekat, astigmatism dan juga katarak kongenital berbanding peratusan kanak-kanak normal yang mempunyai masalah penglihatan hanya 42.4 peratus.

Kajian lain terhadap kanak-kanak Autisma turut mendapati sejumlah 26.9 peratus menghadapi masalah penglihatan dimana 22 peratus daripada mereka menghadapi masalah ralat refraksi atau rabun manakala 8.6 peratus pula menghadapi masalah juling.

Manakala di India pula, 88.3 peratus kanak-kanak Global Developmental Delay (GDD) mempunyai masalah penglihatan yang menunjukkan rabun adalah peratusan terbanyak iaitu 74.7 peratus diikuti masalah juling & katarak.

Punca masalah ini berlaku dikaitkan dengan beberapa faktor risiko seperti kekurangan berat semasa lahir, tidak cukup umur semasa kelahiran dan juga serangan sawan.

Di Malaysia masih lagi terdapat kekangan hasil kajian mengenai tahap penglihatan kanak-kanak kurang upaya.

Jadi, kita dapat melihat bahawa banyak hasil kajian yang dijalankan terhadap kanak-kanak istimewa ini mendapati terdapat banyak masalah mata terutamanya masalah ralat refraksi atau rabun yang lebih tinggi berbanding rakan sebaya mereka yang normal.

Jika dikenal pasti dan dirawat dengan lebih awal, penglihatan yang optimum dapat memberikan kualiti hidup yang lebih baik untuk kanak-kanak istimewa ini.

Terdapat Klinik Pakar Oftalmologi menawarkan perkhidmatan pemeriksaan penglihatan, ralat refraksi dan rawatan bagi golongan kanak-kanak istimewa ini.

PENULIS MOHAMMAD NOR FITRI HASAN merupakan Pegawai Optometri, Jabatan Oftalmologi Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia dan boleh dihubungi di 017-5515397 atau Emel di Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN