SAUDARA PENGARANG
Umum tahu tabiat merokok adalah bahaya dan mempunyai pelbagai kesan buruk kepada manusia. Namun bagi perokok tegar, perkara ini tidak diambil serius dan menganggap ianya tidak penting.
Pada Januari 2019, kerajaan telah menguatkuasakan larangan merokok di tempat awam iaitu premis makanan. Pada tahun 2023, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menganggarkan lima juta perokok dan jumlah itu akan bertambah. Kalangan mereka yang merokok dianggarkan berumur linkungan 15 hingga 40 tahun.
Selain itu, penjualan rokok elektronik dan vape memberi kesan sehingga pada Disember 2023, KPM telah melancarkan Kempen Hidup Sihat Cegah Rokok dan Vape bagi mencegah murid sekolah menjadikan vape sebagai trend. Justeru sempena bulan Ramadan 1445H, para perokok tegas perlu mengambil peluang untuk memulakan misi berhenti merokok.
Pensyarah Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Suriani Ismail berkata bulan Ramadan adalah bulan istimewa kerana ia menyediakan persekitaran kondusif untuk perokok mula langkah berhenti merokok.
“Di Malaysia bulan Ramadan adalah tidak diterima dari segi agama dan budaya bagi seorang perokok Islam untuk merokok di khalayak ramai mahupun di rumah pada siang hari dan perokok akan berasa lebih mudah untuk berhenti merokok kerana persekitaran serta durasi berpuasa selama 14 jam sedikit sebanyak membantu berbanding dengan masa lain,” katanya.
Tambah beliau, perokok tidak menyedari mereka adalah pencetus kepada berlakunya perokok pasif dan perokok tertier yang memberi kesan kesihatan kepada masyarakat sekitar.
“Mereka yang menghidu asap rokok akan mendapat implikasi sampingan kesan daripada pembebasan asap rokok serta sisa asap rokok dan amat berbahaya terutama kanak-kanak.
“Nasihat saya kepada perokok ambil peluang pada bulan yang mulia ini untuk berazam untuk berhenti merokok demi kesejahteraan diri dan membudayakan gaya hidup yang sihat bukan sahaja untuk diri malah untuk keluarga,” katanya.
Beliau menambah, perokok yang berhenti merokok akan memperoleh manfaat kesihatan lebih optimum termasuk mengurangkan risiko penyakit kanser, juga isu berkaitan jantung.
“Serangan jantung, jantung koronari, strok, vaskular periferal dan juga tahap kesihatan seisi keluarga akan lebih baik dalam melahirkan generasi yang bebas merokok di masa depan,” katanya.
Prof. Madya Dr. Suriani bersama-sama rakan penyelidik dari Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UPM bersama-sama pelajar perubatan telah menjalankan kajian mengenai Kesan Intervensi Berhenti Merokok Berasaskan Akidah pada bulan Ramadan dalam Kalangan Perokok Melayu pada tahun 2016.
“Melalui hasil kajian ini, program intervensi dibangunkan kepada golongan sasar yang berhenti merokok pada bulan Ramadan adalah positif antaranya penurunan paras nikotin dalam air liur perokok,” jelas Prof. Madya Dr. Suriani.
Dalam pada itu, Prof. Madya Dr. Suriani turut menyatakan inisiatif KKM mengadakan kempen ‘Nafas Baharu Bermula Ramadan’ adalah antara kempen yang boleh diperkasakan secara meluas bagi memberi galakkan kepada perokok seterusnya memanfaatkan bulan mulia untuk berhenti merokok.
“Untuk menjayakan usaha ini selain usaha kerajaan dalam memperkukuhkan polisi antaranya Generational End Game (GEG), peranan keluarga dan masyarakat juga memainkan peranan sebagai motivasi bagi perokok untuk terus istiqamah untuk berhenti merokok bukan terhenti pada bulan Ramadan malah secara berterusan,” katanya.
Oleh
NOOR ESZEREEN JUFERI
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.