fb fb fb fb fb

Isu enam Ahli Parlimen Bersatu: Tinggalkan zaman gelap politik berlebihan, tidak perlu PRK

Foto Hiasan / Bernama

SAUDARA PENGARANG

Sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin seorang yang bijak, seorang yang senior dalam gelanggang politik tanah air dan pernah menjadi Perdana Menteri, sudah tentu beliau tidak akan mengelirukan rakyat tentang enam Ahli Parlimen Bersatu yang dikatakan mengosongkan kerusi masing-masing.

Mengambil kira faktor Muhyiddin yang telah meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap keputusan Speaker Parlimen yang menolak untuk mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhyiddin telah dengan mudahnya mengabaikan konteks penuh Perkara 49A(2)
Perlembagaan Malaysia yang telah dipinda semasa pentadbiran kerajaan gabungan yang beliau sendiri pimpin iaitu Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kita ingatkan Tan Sri Muhyiddin tentang pindaan kepada Perkara 48 dan Perkara 49A yang baharu, yang menggabungkan Undang-Undang Anti Lompat Parti di mana ia menyatakan bahawa seorang Ahli Parlimen yang meninggalkan partinya selepas dipilih dalam pilihan raya, mesti mengosongkan kerusinya setelah menyertai parti lain.

Bagaimanapun Perkara 49A(2) jelas memberikan pengecualian iaitu seorang Ahli Parlimen tidak akan kehilangan kerusinya jika beliau dipecat daripada partinya.

Dalam situasi semasa yang berlaku hari ini, enam Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang berkenaan hanya menyatakan sokongan mereka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Mereka ini tidak menyatakan telah meninggalkan parti melalui peletakan jawatan atau apa-apa kenyataan lain.

Perkara 40 dan 43 Perlembagaan memperuntukkan undang-undang untuk lantikan Perdana Menteri di bawah budi bicara Yang Dipertuan Agong dan tiada mana-mana peruntukan undang-undang yang mengaitkan seorang Perdana Menteri dengan mana-mana parti.

Maka, sokongan kepada Perdana Menteri tidak boleh disamakan dengan memberikan sokongan kepada mana-mana parti.

Pada bulan lalu iaitu 12 Jun, parti Bersatu telah memutuskan untuk memecat enam Ahli Parlimen ini daripada parti dan sekali gus mengaktifkan Perkara 49A(2) yang menyatakan bahawa seorang Ahli Parlimen tidak perlu mengosongkan kerusinya jika beliau dipecat daripada partinya.

Kenyataan sokongan tersebut ditujukan kepada Perdana Menteri, bukan kepada mana-mana parti tertentu. Oleh itu, ia tidak melanggar Perkara 49A(1)Perlembagaan.

Muhyiddin Yassin sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman dan merupakan bekas Perdana Menteri sepatutnya memahami undang-undang dengan baik.

Beliau seharusnya menyampaikan keseluruhan Perkara 49A perlembagaan dengan tepat dan tidak mengambilnya di luar konteks.

Beliau juga gagal menjelaskan bagaimanakah beliau membuat kesimpulan bahawa enam Ahli Parlimen tersebut telah meninggalkan parti sedangkan tiada peletakan jawatan yang dikemukakan.

Ahli-ahli Parlimen berkenaan dipecat oleh parti Bersatu selepas kenyataan menyatakan sokongan mereka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Isu kritikal lain adalah kesahihan pemecatan tersebut memandangkan Klausa 10.4 perlembagaan Bersatu yang digunakan untuk mengesahkan pemecatan mereka hanya berkuat kuasa pada 1 April 2024 selepas tindakan Ahli Parlimen tersebut.

Jelas, bahawa tiada peraturan boleh digunakan secara retrospektif terhadap kejadian yang berlaku sebelum tarikh kuat kuasa peraturan tersebut.

Secara ringkas, tanpa mengira sebarang kekaburan atau kelemahan dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, rakyat Malaysia perlu faham dan ingat bahawa pindaan ini telah dirangka dan diluluskan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sayugia perlu diingatkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau adalah dan masih menjadi sebahagian daripada individu yang ada ketika pindaan itu dibuat oleh Kerajaan Pakatan Nasional (PN).

Sekali lagi ditekankan disini, beliau haruslah memberi satu pencerahan yang jelas dan menyeluruh kepada rakyat Malaysia supaya tidak mengelirukan fakta.

Sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman, beliau sewajarnya lebih matang dalam memahami isu ini.

Lebih penting sekali, kami menyahut pesanan Yang Dipertuan Agong untuk menggembleng tenaga dan usaha untuk membangunkan ekonomi negara yang tercinta ini dan bukan untuk kepentingan politik segelintir pihak.

Rakyat Malaysia juga tidak perlu didorong dan terpaksa melalui pilihan raya di keenam-enam kerusi ini dan mengulangi detik hitam zaman pentadbiran Muhyiddin dan Perikatan Nasional di mana rakyat terpaksa berhadapan dengan pilihan raya yang paling banyak dalam sejarah Malaysia.

PENULIS BRYAN NG YIH MIIN, merupakan Pengarah Strategi Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Angkatan Muda Keadilan Malaysia.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN