fb fb fb fb fb

Iqra’, drama dan khunsa

Antara babak dalam drama raya Tak Nampak menemui penonton pada 13 April 2024 di TV1/Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

Islam menyaran umatnya untuk sentiasa menuntut ilmu dengan membaca. Kerana itu, wahyu pertama yang diterima dari Allah oleh baginda Rasullullah S.A.W adalah Iqra, atau “Bacalah...”.

Ada pelbagai cara yang boleh kita gunakan untuk membaca. Sama ada pembacaan melalui buku, mendengar, atau melalui pemerhatian mata kita. Apatah lagi pada zaman serba moden ini, pelbagai kaedah dan medium boleh digunakan sebagai bahan bacaan bagi menambah ilmu pengetahuan sedia ada.

Dalam konteks kandungan media, masyarakat boleh menambah pengetahuan mereka dengan menonton atau melayari program-program dan kandungan-kandungan media yang tersedia di pelbagai platform.

Menonton drama juga tidak terkecuali sebagai salah satu cara untuk mencari dan menambah ilmu pengetahuan dalam diri. Kerana itu, seorang pengkarya perlu sedar akan tanggungjawab mereka untuk menyampaikan ilmu kepada para penonton, bukan sekadar hiburan semata-mata.

“Khunsa”, sebuah drama yang ditayangkan di platform televisyen dan aplikasi berbayar menjadi perhatian ketika bulan mulia ini. Mengisahkan tentang individu yang mempunyai dua jantina, drama ini berjaya menimbukan konflik bukan sahaja di dalam drama, tetapi juga kepada para penonton.

Keberanian penulis dan juga pengarahnya, Shahrulezad Mohameddin atau lebih dikenali sebagai Ijat untuk mengetengahkan isu yang jarang diperkatakan ini merupakan tindakan yang bijak, sebagai salah satu usaha untuk mendidik masyarakat mengenai kejadian khunsa ini.

Kekeliruan sesetengah pihak terhadap isu khunsa ini jelas membuktikan bahawa pentingnya seorang pengkarya menjadikan drama mereka sebagai salah satu platform untuk berkongsi dan menjelaskan kekeliruan-kekeliruan yang timbul, semestinya dengan bantuan dan nasihat daripada mereka yang pakar.

Kerana itu, selain kreativiti, kajian yang mendalam juga perlu dilakukan oleh seseorang pengkarya supaya apa yang disampaikan itu benar-benar membantu masyarakat dalam mendapatkan penjelasan mengenai sesuatu isu.

Bukan itu sahaja, usaha-usaha setiap pihak di hadapan dan belakang tabir juga perlu diberikan pujian kerana mereka sangat memainkan peranan dalam menyokong idea yang ingin diketengahkan oleh penulis dan pengarah drama tersebut bagi memberi lebih rasa dan jiwa kepada para penonton melalui drama tersebut.

Membaca itu penting. Bukan sahaja buat pengkarya tetapi juga buat para penonton. Membaca melalui visual dan lontaran dialog yang diberikan akan membantu penonton untuk menambah ilmu baharu dari sudut yang berbeza.

Malah, perbincangan-perbincangan berkisar drama ini di laman media sosial menunjukkan bahawa masyarakat kita sebenarnya memang menjadikan drama sebagai salah satu gedung ilmu mereka.

Oleh itu, besar tanggungjawab menjadi seorang pengkarya, kerana melalui karya-karya dihasilkan, mereka juga boleh berdakwah dalam menyampaikan ilmu melalui cara mereka tersendiri.

Maka, bacalah. Bacalah melalui apa-apa pun, kerana membaca itu kunci kepada kataqwaan.

PENULIS DR. SITI AISHAH MOHAMMAD RAZI, Pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia. Boleh dihubungi melalui e-mel  siti.aishah @upm.edu.my

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI