fb fb fb fb fb

Hargai perjuangan “unsung heroes”, pastikan persekitaran bersih

Foto Ihsan Penulis

SAUDARA PENGARANG

Jika dahulu mereka berhempas pulas bersatu bersama agensi-agensi lain untuk memerangi penularan COVID-19.

Kini, mereka kembali menggalas tanggungjawab mencegah penularan wabak "Denggi" yang saban hari dilihat semakin meningkat.

Setiap hari, satu demi satu kawasan dan lokaliti mereka lawati untuk menghapuskan kawasan pembiakan jentik-jentik.

Bertahun-tahun perkara ini berulang. Sampah sarap di merata tempat.


(Foto Ihsan Penulis)

Bahkan air sungai terutamanya mereka yang tinggal di penempatan atas air juga dicemari dengan longgokkan sampah.

Namun begitu, penduduk setempat seolah-olah tidak mengambil berat akan perkara itu seakan sudah terbiasa hidup dengan sisa kotoran.

Jikalau pun sudah biasa, janganlah kita mementingkan diri. Fikirkanlah keselamatan orang sekeliling, keluarga khususnya golongan berisiko seperti warga emas dan kanak-kanak.

Mahukah kita melihat masa depan anak-anak yang acap kali disebut sebagai generasi pelapis ini terhenti di situ sahaja dengan ancaman demam wabak Denggi ini?

Ingat, demam Denggi bukan seperti demam biasa, ia mampu meragut nyawa jika tidak dibendung.

Kebersihan, kesihatan, keamanan, kesejahteraan kita bukan hanya terletak pada satu pihak petugas kesihatan sahaja.


(Foto Ihsan Penulis)

Mungkin akan ada yang berkata “Oh, memang tugas mereka dan tanggungjawab mereka.” Benar. Tapi, di manakah tanggungjawab kita sebagai penduduk, masyarakat dan manusia untuk saling berganding bahu ?

Kita juga perlu memainkan peranan penting sebagai kelompok yang terlibat untuk sama-sama memastikan keharmonian dan kesejahteraan dapat dicapai bak kata pepatah ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’.

Namun, setelah pelbagai usaha yang dilakukan oleh ‘pejuang yang tidak didendang ini’ ataupun ‘unsung heroes’, masih ada lagi yang mendabik dada.

Sampai bila kita ingin hidup bersama sampah? Hidup bersama penyakit? Sampai bila?

Tepuk dada tanya selera.


(Foto Ihsan Penulis)

Untuk rekod, setakat ini terdapat lima kes Denggi di rekodkan di Skim Penempatan Masyarakat Pelarian (SPMP) Muslim, Labuan.

Manakala lima lagi kes kumulatif direkodkan di Lokaliti Saguking, Kg Gersik dan Sebor.

Semoga para petugas ini diberikan kesihatan yang berpanjangan untuk terus berbakti kepada bangsa, negara dan masyarakat.

Terima kasih, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan, Unit Kawalan Vektor Labuan.

MOHD ZULHANIZAM, warga Labuan Prihatin.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu