fb fb fb fb fb

Gunakan media sosial memartabat Bahasa Melayu

Foto hiasan/Bernama

SAUDARA PENGARANG

Malaysia, sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan bahasa, menghadapi cabaran yang semakin ketara, iaitu kemerosotan taraf penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, semakin terpinggir dalam kehidupan harian, terutamanya dalam kalangan golongan muda.

Lagi-lagi mereka yang menetap di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur. Fenomena ini mengejutkan dan memerlukan perhatian serius daripada pelbagai pihak untuk menangani isu tersebut sebelum menjadi lebih berat dan berleluasa. Tempoh hari, seluruh negara terkesima apabila tersebar ada warga Malaysia langsung tidak berkebolehan bertutur dalam Bahasa Melayu apabila ditanya soalan semasa memperbaharui pasportnya.

Susulan itu, individu-individu sama iaitu mereka yang gagal menguasai Bahasa Melayu bersuara dan secara tidak langsung turut terdedah di media sosial. Insiden ini sangat memalukan dan membimbangkan kerana Bahasa Melayu berperanan penting dalam membentuk identiti negara. Kegagalan menguasai bahasa kebangsaan berpotensi mencalarkan keperibadian nusa dan bangsa.

Pelbagai maklum balas negatif telah dikemukakan netizen. Contohnya, “rampas pasportnya!” dan “pindah ke negara lain!”; tetapi itu bukanlah sikap yang diingini atau perbuatan yang sah di sisi undang-undang.

Salah satu daripada punca utama kemerosotan ini adalah pengaruh globalisasi dan anasir luaran. Anak-anak muda kini lebih terdedah kepada media dan hiburan luar negara yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama.

Malah terdapat juga mereka yang lebih tertarik dengan bahasa asing seperti bahasa Korea, disebabkan gelombang K-Pop yang semakian berkembang. Tambahan pula, penggunaan bahasa selain Bahasa Melayu dalam persekitaran digital dan media sosial turut menyumbang kepada kekurangan penggunaan Bahasa Melayu.

Meskipun pembelajaran dan penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa asing sangat digalakkan; bahasa kebangsaan semestinya diberi keutamaan. Kita hendaklah berbalik kepada asal-usul kita dan sedar bahawa kita berpijak di bumi Malaysia, iaitu gabungan kata ‘Malays’ dan imbuhan Latin-Yunani ‘-ia’ yang membawa maksud “bumi orang Melayu”.

Amat mengaibkan jika terdapat individu bangsa Melayu yang menetap di bumi orang Melayu tetapi tidak boleh bercakap bahasa orang Melayu. Janganlah kita diumpamakan kacang lupakan kulit seperti sejenis kelompok yang dipalitkan dengan istilah “Bangsar bubble” yang sering disindir sebagai golongan yang tidak fasih bertutur dalam Bahasa Melayu walaupun ramai dalam kalangan mereka berbangsa Melayu.

Untuk menangani masalah ini, kita sepatutnya menyelami gaya hidup generasi muda dan melihat dunia daripada lensa hidup mereka. Sudah tentu ramai dalam kalangan mereka menggunakan aplikasi media sosial seperti TikTok, Instagram, X (dahulu dikenali sebagai Twitter), dan lain-lain.

Oleh itu, pelbagai langkah yang menerapkan penggunaan teknologi semasa dapat diatur bagi menarik minat generasi muda seterusnya menggunakan Bahasa Melayu secara lebih kerap dan konsisten.

Misalnya, bukan sahaja pihak-pihak seperti Dewan Bahasa dan Pustaka mahupun institusi-institusi pengajian tinggi tempatan, bahkan sesiapa juga yang cakna juga seeloknya mempelawa pempengaruh di media sosial yang sangat mengetahui cara dan ragam generasi muda untuk menghasilkan konten atau kandungan berkenaan dengan Bahasa Melayu, budaya Melayu, dan sebagainya.

Di samping itu, bagus juga jika kita menggunakan dan menggalakkan tanda pagar yang menarik seperti #BanggaBM supaya kandungan tersebut menular di medsos (media sosial). Sebenarnya sudah ada sebilangan pempengaruh terkenal, berkongsi maklumat dan nasihat mengenai Bahasa Melayu. Contohnya seperti Cikgu Zack Kirana @zackkirana27 di platform TikTok dan Dr. Faizul@malaylingwist di platform X.

Berikut antara aneka cara untuk menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda:-

  • Siri pendidikan Bahasa Melayu:
    Rakamkan siri pendek tentang kekayaan Bahasa Melayu di Instagram dan kongsikan fakta menarik, simpulan bahasa dan peribahasa yang unik, atau sejarah perkataan dalam Bahasa Melayu.
  • Sayembara kreatif Bahasa Melayu:
    Anjurkan pertandingan video pendek, persembahan komedi, atau karya seni digital dalam Bahasa Melayu di TikTok dan berikan hadiah yang menggalakkan penyertaan.
  • Wawancara dalam Bahasa Melayu:
    Rakamkan audio siar atau podcast di Spotify dengan tokoh terkenal, penulis, atau personaliti yang menggunakan Bahasa Melayu.
  • Rancangan bual-bualan Bahasa Melayu:
    Adakan rancangan bual-bualan atau temu ramah menggunakan fungsi Space di X dan fokus pada isu-isu semasa, hiburan, atau perkembangan terkini dalam Bahasa Melayu.
  • Wujudkan komuniti Bahasa Melayu:
    Bangunkan komuniti dalam talian yang menitikberatkan penggunaan Bahasa Melayu di platform seperti X, Discord, Telegram, atau WhatsApp, untuk dijadikan tempat untuk berkongsi kisah, tips belajar, atau bahan bacaan dalam Bahasa Melayu.

Melalui pendekatan tersebut, generasi muda dapat melibatkan diri dalam proses memartabatkan Bahasa Melayu dengan cara menyeronokkan dan bermakna dalam dunia popular kini iaitu media sosial yang semakin berkembang pesat. Mengambil langkah-langkah bersepadu dan melibatkan semua pihak, kita mampu menyelamatkan bahasa kebangsaan kita daripada kemungkinan kehilangan kehebatannya dalam komuniti tempatan dan antarabangsa.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama melangkah ke hadapan dalam mempertahankan dan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang megah.

PENULIS DR. AMIR RASHAD MUSTAFFA, Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI