SAUDARA PENGARANG
Perkahwinan adalah asas penting dalam membina institusi keluarga yang stabil dan harmoni.
Namun, peningkatan kadar penceraian terutamanya dalam kalangan pasangan muda di Malaysia menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan sosial jangka panjang.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan lonjakan 43.1 peratus kes penceraian daripada 2021 ke 2022, yang mana sebahagian besar melibatkan pasangan muda berusia bawah 39 tahun.
"Sedangkan dalam agama Islam itu sendiri, Allah berfirman dalam surah An-Nisa ayat 19 yang bermaksud: “Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian, jika kamu tidak menyukai mereka, maka bersabarlah kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (Surah An-Nisa’: 19)
Ayat ini menasihati pasangan untuk bersabar dan berusaha mencari kebaikan dalam perkahwinan walaupun menghadapi kesukaran.
Isu ini perlu ditangani dengan pendekatan sistematik dan berfokus termasuk pembinaan Model Intervensi Penceraian yang holistik untuk menangani punca utama penceraian dan memperkukuh institusi perkahwinan.
Punca Utama Peningkatan Kadar Penceraian
Ketidakmatangan emosi menjadi salah satu punca utama yang menyumbang kepada peningkatan kadar penceraian dalam kalangan pasangan muda.
Ramai pasangan memasuki alam perkahwinan tanpa persediaan emosi yang mencukupi.
Ketidakupayaan untuk menangani tekanan, kurang kemahiran komunikasi dan kebergantungan terhadap pihak luar sering membawa kepada konflik yang sukar diselesaikan.
Selain itu, tekanan ekonomi juga menjadi antara faktor yang signifikan. Kos sara hidup yang tinggi, ketidakstabilan pekerjaan dan hutang isi rumah menjadi beban besar yang harus dihadapi dalam melayari rumah tangga terutamanya bagi pasangan muda yang baharu membina kerjaya.
Konflik kewangan sering kali mencetuskan perbalahan dan menjadi penyumbang utama kepada penceraian. Kekurangan sokongan sosial turut memporak-perandakan keadaan.
Sokongan daripada keluarga dan komuniti amat penting dalam mengukuhkan institusi perkahwinan. Namun, kekurangan sistem sokongan menyebabkan pasangan merasa terasing, tertekan dan sukar untuk mencari jalan keluar daripada masalah.
Kesan Penceraian Terhadap Masyarakat
Penceraian bukan sahaja memberi kesan kepada pasangan yang terlibat tetapi juga kepada anak-anak dan struktur keluarga secara keseluruhan.
Anak-anak yang membesar dalam keluarga bercerai cenderung menghadapi masalah emosi, sosial dan akademik.
Banyak kes disiplin pelajar baik di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi melibatkan mereka daripada keluarga yang berpecah-belah. Kurang perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa menjadi punca masalah ini.
Selain itu, peningkatan kadar penceraian turut melemahkan institusi keluarga yang menjadi asas kepada kestabilan masyarakat.
Keperluan Model Intervensi Penceraian
Pendekatan holistik diperlukan bagi menangani isu penceraian dalam kalangan pasangan muda. Model yang dicadangkan perlu merangkumi beberapa komponen utama dan antaranya adalah program kaunseling pra dan pasca perkahwinan.
Program ini bertujuan menyediakan pasangan dengan kemahiran asas seperti komunikasi yang efektif, pengurusan konflik dan perancangan kewangan sebelum dan selepas perkahwinan.
Sokongan komuniti dan keluarga juga penting dalam menangani isu penceraian. Komuniti dan keluarga perlu memainkan peranan aktif dalam membantu pasangan muda mengatasi dugaan perkahwinan yang semakin mencabar.
Pusat kaunseling komuniti boleh ditubuhkan bagi menyediakan sokongan psikososial kepada pasangan yang memerlukan.
“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara. Oleh itu, damaikanlah antara kedua saudaramu...” (Surah Al-Hujurat: 10)
Ayat ini menggalakkan usaha damai antara pasangan dan peranan pihak luar dalam mendukung keharmonian. Oleh itu pelbagai usaha perlu dilakukan.
Pendidikan perkahwinan boleh diperkenalkan sejak di peringkat sekolah menengah sebagai langkah awal. Pendidikan ini boleh membantu individu bergelar remaja bersiap sedia serta memahami tanggungjawab dan cabaran dalam perkahwinan sekali gus mengurangkan risiko konflik.
Sistem pemantauan dan intervensi awal juga berperanan penting. Sistem ini berfungsi mengenal pasti pasangan berisiko tinggi untuk bercerai dan menyediakan intervensi awal bagi mencegah penceraian.
Langkah ini boleh membantu mengelakkan konflik kecil daripada menjadi masalah yang lebih besar. Peranan pihak berkepentingan kerajaan perlu menggubal dasar yang menyokong institusi keluarga seperti insentif kewangan dan sokongan pekerjaan untuk pasangan muda.
Agensi agama pula boleh memperluas program kaunseling perkahwinan di masjid dan pusat komuniti. Badan bukan kerajaan (NGO) juga boleh memainkan peranan penting dalam menyediakan khidmat kaunseling dan sokongan kepada pasangan muda.
Usaha NGO dalam menawarkan khidmat nasihat dan bimbingan percuma atau pada kos rendah dapat meringankan beban pasangan yang menghadapi masalah kewangan.
Institusi agama perlu berperanan aktif dalam mempromosikan nilai-nilai kekeluargaan dan menyediakan bimbingan kepada pasangan muda.
Bimbingan ini boleh dilakukan melalui seminar, kursus perkahwinan dan program bimbingan secara berkala. Peningkatan kadar penceraian dalam kalangan pasangan muda Muslim di Malaysia memerlukan tindakan segera.
Model Intervensi Penceraian yang holistik dapat menjadi solusi kepada masalah ini dengan memberi tumpuan kepada punca utama penceraian dan menyediakan sokongan menyeluruh kepada pasangan muda.
Dengan kerjasama semua pihak berkepentingan, usaha ini mampu memperkukuh institusi perkahwinan dan memastikan kestabilan sosial masyarakat pada masa hadapan.
PENULIS DR. NORZIAH OTHMAN merupakan pensyarah kanan di Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan, Universiti Islam Selangor.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.