SAUDARA PENGARANG,
Malaysia adalah negara yang kaya dengan pelbagai sambutan perayaan hasil daripada kepelbagaian kaum dalam masyarakat. Antara perayaan yang diraikan oleh masyarakat di Malaysia ialah Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Tahun Baru Cina, Deepavali, Thaipusam dan Krismas. Setiap kali hampirnya musim perayaan, bukan sahaja pusat beli belah yang diserbu rakyat Malaysia, malah klinik pergigian juga menerima ramai pesakit.
Dalam kita bergembira menyambut hari-hari yang berbahagia ini, sedarkah kita bahawa di antara kita terdapat individu yang sentiasa mengelak daripada berjumpa dengan tetamu atau bergambar bersama-sama ahli keluarga pada musim perayaan?
Masalah ini kerap dihadapi oleh individu yang telah kehilangan gigi, terutamanya bagi mereka yang telah kehilangan kesemua gigi mereka. Mereka sering mencipta 1,001 alasan untuk menjauhkan diri daripada rakan-rakan mahupun sanak saudara kerana merasa malu akibat kehilangan semua gigi. Bukan setakat malu untuk beramah mesra, mereka juga berdepan dengan kesulitan untuk menikmati lauk-pauk juadah pada hari perayaan akibat kehilangan gigi dan keupayaan untuk mengunyah.
Mereka juga akan tampak lebih tua daripada usia sebenar mereka kerana kehilangan kesemua gigi, dan muka mereka akan kelihatan pendek dan penyek. Ini akan menyebabkan mereka semakin hilang kayakinan diri untuk bergaul dengan orang ramai.
Selain itu, mereka mungkin juga mengalami kesulitan dalam bertutur dengan jelas atau menghadapi masalah air liur yang senang tersembur keluar akibat ketiadaan gigi. Oleh itu, disarankan bagi mereka yang mempunyai masalah seperti ini untuk segara mendapatkan rawatan pergigian di klinik pergigian berhampiran untuk mendapatkan gigi palsu.
Kebanyakan pesakit mengharapkan rawatan segera supaya mereka boleh meraikan perayaan dengan keadaan mulut yang sihat dan penampilan yang menarik. Tetapi, tidak semua rawatan dapat dilakukan dengan segera.
Sebagai contoh, rawatan bagi mendapatkan gigi palsu tidak mampu dilakukan dalam masa yang singkat. Terdapat beberapa prosedur yang terlibat yang ianya perlu dilakukan dengan teliti supaya gigi palsu yang terhasil dapat dipakai dengan selesa oleh pemakainya. Rawatan gigi palsu memerlukan sekurang-kurangnya empat hingga lima kali janji temu dengan doktor gigi sebelum gigi boleh dipakai.
Pada janji temu pertama, acuan tulang gusi atas dan bawah akan diambil, dan jika ia gagal untuk merekod keadaan mulut dengan baik, kebanyakan doktor gigi akan mengulangi prosedur ini mengunakan acuan khas bagi merekod keadaan tulang gusi pada janji temu kedua. Pada janji temu ketiga pengukuran ketinggian gigi palsu dan muka akan dilakukan bagi memastikan gigi palsu berada dikedudukan yang betul.
Seterusnya, pada janji temu keempat, pesakit akan diminta untuk mencuba gigi palsu yang diperbuat daripada lilin dan gigi tiruan, jika pesakit berpuas hati, di janji temu kelima nanti pesakit akan menerima gigi palsu baru untuk dibawa pulang. Pesakit perlu datang sekali lagi untuk diperiksa keadaan mulut selepas beberapa minggu memakai gigi palsu yang baru diterima. Pesakit perlu segera berjumpa dengan doktor gigi jika terdapat masalah dalam pemakaian gigi palsu terutama bagi pesakit yang pertama kali menggunakan gigi palsu.
Jika terlalu hampir dengan tarikh perayaan ada kemungkinan rawatan tidak berjaya dilakukan jika berlakunya kesilapan dalam prosedur terbabit. Pembuatan gigi palsu bukan dilakukan di dalam klinik tetapi ianya dibuat di dalam makmal pergigian khas kerana ianya melibatkan peralatan khusus. Pada musim perayaan, makmal pergigian menerima limpahan tempahan daripada doktor gigi dan ada kalanya terpaksa menolak kes baru kerana kesuntukan masa.
Oleh itu, dinasihatkan kepada semua pesakit untuk datang lebih awal ke klinik pergigian sekurang-kurangnya 2 bulan sebelum tarikh perayaan untuk mendapatkan rawatan gigi palsu. Tempoh untuk pesakit menyesuaikan diri dengan gigi palsu baru juga berlainan bagi setiap individu. Jadi masa juga diperlukan untuk melatih pemakaian gigi palsu baru supaya dapat menikmati juadah yang enak dan pelbagai di hari perayaan.
Antara masalah yang sering dihadapi oleh pesakit yang pertama kali menggunakan gigi palsu termasuk kebimbangan semasa bercakap dan makan. Oleh itu, pesakit disarankan agar terus menggunakan gigi palsu lengkap dan cuba bertutur dan makan seperti biasa, kerana ini akan memudahkan proses penyesuaian mereka dengan lebih cepat dan berjaya.
Namun, bagi mendapatkan pemakai gigi palsu yang selesa dan tahan lama, adalah penting untuk memiliki pengetahuan dan pemahaman mengenai penjagaan gigi palsu. Gigi palsu perlu dibersihkan setiap hari sama seperti pentingnya membersihkan gigi dan perlu ditanggalkan sebelum tidur, dibersihkan serta direndam dalam bekas berisi air.
Kesimpulannya, dapatkan rawatan pergigian seawal mungkin, sekurang-kurangnya dua bulan, supaya anda dapat meraikan hari perayaan dengan sepenuhnya bersama insan tersayang dengan senyuman kegembiraan.
Oleh
Dr. Zubaidah Zanul Abidin
Prof. Madya Dr Nosizana Mohd Salleh
Prof. Madya Dr. Lim Ghee Seong
Jabatan Pergigian Restoratif, Fakulti Pergigian, Universiti Malaya (UM).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.