SAUDARA PENGARANG
Di atas pentas, seorang pemimpin kelihatan gusar dan resah apabila berkata-kata tentang kualiti hidup rakyat yang dipimpinnya dan jumlah mereka yang tiada sumber kewangan persaraan ketika bersara. Diulang berkali-kali tentang jumlah rakyat yang tiada wang persaraan ketika memasuki tempoh kematian ekonomi iaitu keadaan ketiadaan sumber dan perlu bekerja kembali.
Golongan pesara dan juga warga emas adalah kelompok masyarakat yang semakin meningkat jumlah akibat peningkatan kemudahan rawatan perubatan, kesedaran penjagaan pemakanan dan kesihatan, kaedah rawatan yang semakin canggih serta peningkatan kemajuan dalam teknologi perubatan.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bilangan orang yang berumur 65 tahun atau lebih di seluruh dunia diunjurkan lebih daripada dua kali ganda, meningkat daripada 761 juta orang pada 2021 kepada 1.6 bilion pada 2050.
Akhirnya penuaan penduduk menjadi satu trend global yang tidak dapat dielakkan. Pada tahun 2030, dianggarkan jumlah warga emas berumur 65 tahun dan ke atas seramai 5.362 juta orang; mewakili 14 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk Malaysia. Jika 10 peratus daripada jumlah tersebut sangat memerlukan bantuan kewangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berjumlah RM500 sebulan, sebanyak RM268.1 juta diperlukan untuk bayaran tunai sahaja.
Pada 2024, kerajaan memperuntukkan RM49.80 billion untuk perbelanjaan membayar balik hutang negara ketimbang RM2.4 bilion untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi 450,000 orang termasuk golongan termiskin, warga emas dan OKU. Semestinya, jumlah peruntukkan untuk golongan ini bakal meningkat lebih tinggi pada tahun 2030 jika tiada pelan strategik jangka panjang diperkenalkan untuk golongan ini.
Dana persaraan tidak lestari
Terdapat kegusaran terhadap tahap simpanan dana persaraan yang tidak lestari disebabkan oleh tahap kesuburan yang semakin rendah, minat pasangan untuk berkahwin semakin kurang, peningkatkan kos sara hidup, inflasi, ketidakstabilan kerjaya dalam ekonomi gig dan kadar faedah yang tinggi mengurangkan minat ahli keluarga untuk memiliki jumlah anak lebih daripada satu.
Ke semua ini menyebabkan jumlah pekerja baharu dalam pasaran pekerjaan dijangka berkurangan dan boleh mempengaruhi kadar simpanan beberapa tabung simpanan persaraan. Beberapa institusi persaraan utama negara seperti KWSP dan KWAP bagi tempoh jangka panjang dirasakan tidak mampu membina ekuiti bagi menyokong keperluan kewangan persaraan yang semakin meningkat saban tahun.
Di United Kingdom, pernah berlaku krisis pencen di mana peningkatan kadar inflasi yang tinggi mewujudkan ketidakupayaan generasi muda pekerja untuk menyedia sokongan manfaat persaraan kepada pesara baharu dan lama, malah membiayai simpanan persaraan mereka sendiri.
Begitu juga di Perancis, apabila hasrat kerajaan untuk menyusun semula manfaat persaraan ditentang keras oleh persatuan pekerja keretapi di sana. Akibat manfaat persaraan yang tinggi dan simpanan persaraan pekerja yang rendah, status semasa kewangan dana pekerja keretapi tidak lagi mampu membiayai kos kewangan masa depan mereka.
Dalam ucapan PMX ketika merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) di Renaissance Kuala Lumpur Hotel & Convention Centre pada 4hb Jun 2024, dapat dirasai keresahan PMX tentang kemampuan negara dalam mengurus jumlah warga emas yang semakin meningkat dan mengimbangi keperluan kewangan mereka yang kurang berkemampuan ditambah dengan ketiadaan sistem tabungan simpanan persaraan yang khusus untuk mereka.
Beliau menarik perhatian hadirin dengan jumlah pekerja yang menikmati sumber kewangan persaraan di Malaysia kini hanya 29 peratus daripada keseluruhan warga emas yang melewati tempoh persaraan.
Ketika ini, jumlah hutang negara sangat tinggi menyebabkan negara tidak lagi mampu memperuntukkan jumlah belanjawan yang tinggi dalam sektor kebajikan masyarakat kerana sejumlah besar belanjawan negara digunakan untuk mengurangkan hutang dan membayar kadar faedah yang tinggi.
Justeru, terdapat bayangan tentang hasrat kerajaan untuk mereformasikan sistem kewangan persaraan sedia ada di Malaysia agar dana-dana tersebut menjadi semakin kukuh dan pada masa yang sama wujud peluang simpanan persaraan kepada keseluruhan penduduk Malaysia.
Dana persaraan rakyat
Malaysia mempunyai sistem pengurusan dana persaraan antara yang terbaik di dunia. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang ditubuhkan pada 1951, pernah menjadi tabung simpanan persaraan tertua dan terbesar di dunia. Namun, akibat pendamik COVID-19 terdapat desakan pengeluaran dana oleh pencarum sekali gus mempengaruhi jumlah simpanan KWSP. Pengeluaran awal caruman akan mempengaruhi simpanan persaraan pada masa depan.
Selain itu, menyedari hampir 71 peratus rakyat Malaysia melewati 60 tahun tiada dana persaraan, PMX membayangkan satu pelan reformasi dana persaraan perlu dirangka untuk memasukkan kumpulan ini dalam sistem keselamatan sosial yang lebih holistik.
Dalam penulisan ini dicadangkan penubuhan satu dana persaraan rakyat yang bersifat dana kewangan dan keselamatan sosial. Caruman harus bermula dengan tawaran diberikan kepada golongan muda yang bakal memasuki alam pekerjaan, individu tidak bekerja, bersifat sukarela dan tidak membebankan rakyat.
Setiap individu yang melepasi umur 20 tahun layak untuk mendaftarkan diri dalam skim ini dengan kadar caruman bulanan minima RM50 sebulan. Dengan waktu persaraan ditetapkan pada 60 tahun, deposit pendaftaran awal sebanyak RM100, caruman minima tahunan sebanyak RM600, keuntungan simpanan pada kadar 6 peratus setahun, simpanan tanpa pengeluaran selama 40 tahun ini dijangka membentuk hampir RM100,000 dana persaraan ketika tiba waktu bersara.
Dengan andaian penetapan kadar sama seperti di atas. Simpanan RM100,000 boleh dijadikan pencen bernilai RM613 sebulan untuk tempoh selama 25 tahun. Ketika ini bantuan warga emas oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah sebanyak RM500. Kadar tersebut sudah beberapa kali dinaikkan dan pada tahun 1992 nilai bantuan adalah RM70.
Mengunakan peraturan 72 dan penetapan kadar inflasi tiga peratus setahun, nilai bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 2050 berjumlah RM1078 sebulan. Walaupun RM613 bukan jumlah yang besar dan mengcukupi, paling tidak kerajaan hanya perlu menambah RM465 bagi menyamai nilai bantuan kewangan oleh kerajaan.
Malah, jika berlaku kemalangan dan dipaksa bersara awal, skim persaraan baharu ini boleh menyediakan satu jumlah bayaran ilat kemalangan kepada peserta. Malah dicadangkan, satu kadar pelepasan cukai diberikan ke atas caruman sukarela oleh ketua isi rumah yang bekerja dan mempunyai kewangan yang lebih kepada isteri yang tidak bekerja, anak kurang upaya, anak yang bekerja sendiri, paling tidak akan menyediakan satu simpanan persaraan kepada mereka. Dana simpanan yang tersedia boleh dijadikan deposit cagaran kepada pinjaman perumahan.
Dana persaraan ini dicadangkan menerima suntikan caruman mandatori satu (1) peratus ke atas keuntungan tahunan oleh operasi perniagaan GLC. Suntikan dana GLC boleh digunakan sebagai dana sokongan kepada simpanan peserta yang bersara awal akibat peristiwa tidak diingini.
Pada 2024, Dana Kekayaan Berdaulat Norway yang berjumlah USD1.4 trillion menyumbang sebanyak USD37.3 billion atau RM175 billion untuk perbelanjaan negara berbanding Petronas yang menyumbang dividen sebanyak RM32 billion. Walaupun struktur operasi institusi di antara keduanya berbeza, namun dari perspektif pengurusan kekayaan negara Norway lebih berjaya mengurus aset negara demi kepentingan rakyat mereka.
Keperluan persaraan warga emas
Kos kewangan yang terlibat untuk keperluan warga emas adalah kos sara hidup, perubatan dan kecemasan. Kos sara hidup merangkumi makanan, pakaian dan keperluan diri. Manakala, kos berkaitan perubatan bergantung kepada gaya hidup individu. Bagi tujuan tersebut, kerajaan memperkenalkan duti eksais mengenai minuman manis yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 bertujuan mengurangkan input gula dalam makanan dan mengagihkan pendapatan cukai kepada menyediakan khidmat perubatan yang lebih baik kepada rakyat.
Jika anda mendapatkan rawatan diabetes di klinik atau hospital kerajaan sebagai pesakit luar, kos anggaran yang perlu ditanggung oleh kerajaan adalah sekitar RM459 bagi setiap pesakit setiap tahun. Tetapi pesakit hanya perlu membayar sebanyak RM1 untuk setiap kali perjumpaan bersama doktor. Pengenalan duti eksais minuman manis sebenarnya bagi mengurangkan jumlah pesakit diabetes di Malaysia.
Mengurus kebajikan warga emas yang semakin bertambah, berpendapatan rendah dan miskin, berpenyakit kronik merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap pemimpin yang dipilih rakyat. Dalam benak pemikiran seorang pemimpin, pasti berkecamuk dengan pelbagai masalah diperlu diselesaikan.
Namun, pengalaman melalui keperitan warga miskin di Baling, pesawah di bendang, pekerja di ladang dan kesengsaraan merengkok di penjara. Pastinya, kebajikan rakyat adalah tumpuan utama dalam pelbagai pelan strategik yang dilaksanakan.
Dana wakaf Madani
Pada satu ketika, 1/3 kekayaan dalam empayar Turki Uthmaniyah dimiliki oleh institusi wakaf dan harta wakaf tersebut terletak di sekeliling kawasan masjid, kawasan ladang dan kebun-kebun bernilai tinggi. Budaya sama seharusnya diamalkan oleh masyarakat Malaysia kerana kekayaan harta wakaf adalah salah satu instrumen kewangan sosial yang boleh mengurangkan perbelanjaan negara khususnya dalam sektor pendidikan, kesihatan dan perumahan rakyat miskin.
Perancangan kewangan Islam menumpukan aspek pengagihan kekayaan individu melalui instrumen kewangan sosial sebagai satu amalan yang baik dan berterusan. Aktiviti kewangan sosial merangkumi zakat, infa’, sedeqah, wakaf, hadiah, hibah dan qardhul hasan. Kesedaran kepada manfaat yang diperolehi daripada aktiviti sosial tersebut sebagai bekalan penting menuju alam akhirat.
Pengumuman Dana Wakaf Madani berjumlah RM1 billion oleh PMX dalam belanjawan 2024 seharusnya disambut dengan penubuhan sebuah agensi khas yang mengurus dana tersebut sebagai modal qardhul hasan kepada pelbagai projek masyarakat seperti membaiki tandas masjid dan awam, jambatan rosak, pendingin hawa sekolah dan jalan rosak.
Melalui keadah pembiayai Qardulhasan Bilwaqf Al-Ajil (QBA), Dana Wakaf Madani boleh dijadikan dana pinjaman tanpa faedah bagi mengurus kesan inflasi, ditebus oleh wakaf tertangguh oleh peserta wakaf dan bersifat keabadian (perpuity). Sebuah projek membaiki tandas rosak bernilai RM30,000 boleh dibiayai melalui 150 lot wakaf bernilai RM200 seunit dan dibayar RM20 sebulan selama 10 bulan.
Kaedah pembiayaian QBA boleh membantu mengurangkan beban kewangan kerajaan. Dahulunya, dana untuk membaiki prasarana sekolah dianggarkan berjumlah RM1 billion setahun untuk keperluan lebih 8,800 sekolah di seluruh Malaysia tetapi ia tidak mengcukupi, sehinggalah PMX mengumumkan satu belanjawan khas untuk membaiki 8,354 tandas sekolah bernilai RM70,000 satu sekolah dalam belanjawan 2023.
Secara rasional, seorang yang diberikan pekerjaan tetap dan stabil oleh pihak kerajaan seharusnya mampu menyediakan RM20 sebulan bagi membiayai kos memperbaiki kerosakan tandas rosak yang digunakan oleh mereka sendiri. Melalui inovasi aplikasi digital, kaedah membayar balik RM20 sebulan untuk projek membaiki kerosakan prasaran awam seperti tandas sekolah, klinik kerajaan dan jambatan rosak boleh dilaksanakan.
Bayangkan sebuah sekolah menengah yang mempunyai alumni berjumlah 5,000 pelajar menyediakan wakaf sebanyak RM20 sebulan. Dengan anggaran 10 peratus pelajar bersetuju menyumbang RM20 kepada dana alumni sekolah, sebanyak RM120,000 setahun boleh dikumpul untuk projek mengindahkan bilik kelas dan guru, smart TV dan penghawa dingin kelas untuk keperluan pelajar dan pendidik.
Tidak membebankan jika seorang warganegara yang berkemampuan menyumbang kembali RM60 sebulan (RM20 untuk sekolah rendah, RM20 untuk sekolah menengah dan RM20 untuk pusat pendidikan tinggi) sebagai mengenang jasa negara yang selama ini menyediakan pendidikan percuma kepada mereka.
Dana Wakaf Madani sebenarnya selari dengan output Madani Malaysia oleh PMX iaitu melahirkan masyarakat malaysia yang mampan, sejahtera, makmur dan bersatu padu. Dana tersebut juga boleh digunakan untuk membiayai pembinaan pusat kediaman bagi warga emas di seluruh negara.
Manakala, dana persaraan membantu kerajaan mengurangkan beban menyediakan bantuan kewangan tunai kepada warga emas dan golongan tidak bernasib baik. Malaysia Madani adalah satu inisiatif sebuah masyarakat rahmah yang mengajak rakyat bersama negara untuk membina kemakmuran bersama.
PENULIS DR. MOHD AMIM OTHMAN, Pensyarah Kanan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra. Boleh dihbungi melalui e-mel
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.