fb fb fb fb fb

Buli dan pembuli diangkat sebagai hero? Bukan masanya

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Sebuah ketakutan yang mencengkam harapan pelajar dan ibu bapa, mampu memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan mental, dan meninggalkan luka emosi yang sukar disembuhkan – buli bukanlah isu yang boleh dipandang ringan, apatah lagi dijadikan bahan hiburan yang diagung-agungkan.

Sebagai sebuah masyarakat yang prihatin, kita sentiasa berharap industri perfileman mampu mengetengahkan isu buli sebagai pengajaran kepada umum, khususnya generasi muda. Namun, filem Kahar: Kapla High Council, pada hemat saya, bukanlah karya yang sesuai ditayangkan pada waktu ini.

Sebagai Presiden sebuah badan bukan kerajaan NGO kesihatan mental belia, saya melihat ini sebagai langkah kurang sensitif, terutamanya selepas beberapa tragedi berkaitan kes buli yang menjadi perhatian di media massa dan mencetuskan keresahan awam.

Filem ini memaparkan babak di mana pelajar meraikan ‘perlawanan’ dan ‘ragging’, menjadikan aksi ini kemuncak yang dinanti-nantikan. Babak seperti ini secara tidak langsung mengangkat budaya buli sebagai sesuatu yang ‘hebat’ atau normal.

Kita tidak mahu babak-babak sebegini menular ke alam realiti, sama ada di peringkat persekolahan mahupun institusi pengajian tinggi. Ia boleh mencetuskan kesan negatif terhadap pembentukan nilai dalam kalangan belia kita, yang seharusnya membenci buli, bukan mengagungkannya.

Jika benar filem ini mahu memberi pengajaran mengenai kesan buli, mengapa ia hanya ditujukan kepada penonton berusia 18 tahun ke atas? Bukankah golongan remaja yang lebih muda, iaitu kumpulan sasaran utama pembuli dan mangsa buli, yang paling memerlukan mesej ini? Adakah had umur ini mencerminkan mesej sebenar yang ingin disampaikan, atau sekadar untuk mematuhi garis panduan tanpa mempertimbangkan impaknya kepada masyarakat?

Sebagai sebuah NGO yang menyokong kesihatan mental belia, NGO Empati menyambut baik usaha pihak industri hiburan mengetengahkan isu sosial seperti buli. Namun, glorifikasi budaya buli—terutama dengan menonjolkan pembuli sebagai ‘hero’—tidak wajar diterima, lebih-lebih lagi apabila kesan trauma buli masih menghantui keluarga mangsa.

Kami menggesa Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi mengambil tindakan lebih tegas terhadap pembuli. Institusi pendidikan, yang sepatutnya menjadi ruang selamat untuk pelajar, kini berubah menjadi igauan ngeri bagi ibu bapa.

Pelaksanaan program sifar buli juga perlu dikaji semula untuk memastikan ia relevan dengan konteks masa kini. Penekanan kepada nilai empati mesti dijadikan keutamaan, supaya pelajar bukan sahaja dilindungi daripada menjadi mangsa, tetapi juga dijauhkan daripada menjadi pembuli.

Kepada penerbit filem Kahar: Kapla High Council dan pihak pawagam, pertimbangkan semula babak-babak yang berpotensi mempromosikan budaya buli. Walaupun sebuah filem mungkin tidak mengubah sistem secara langsung, ia berupaya membentuk persepsi masyarakat, mencipta naratif yang salah, atau lebih parah, memberi inspirasi kepada individu berisiko untuk menjadi pembuli.

Kita perlu merenung: Apakah mesej yang sebenarnya kita sampaikan kepada generasi muda? Semoga keputusan yang lebih bijak dapat diambil, demi melindungi nilai moral dan budaya masyarakat kita.

oleh
Syahida Zulkarnain
Presiden/Pengasas NGO Empati

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI