SAUDARA PENGARANG
Video animasi pendek 2D adalah medium penceritaan secara visual yang ringkas dan menarik menerusi penggunaan reka bentuk dan pergerakan dua dimensi untuk menyampaikan mesej atau konsep kepada khalayak.
Ia sering memaparkan watak, objek dan teks dalam format reka bentuk rata untuk mempermudahkan idea-idea kompleks kepada penonton.
Secara umumnya, video animasi pendek 2D ini dihasilkan dengan durasi beberapa saat atau minit untuk menarik perhatian penonton dan kebiasaanya mengandungi mesej, cerita dan maklumat tertentu dalam format padat lagi ringkas.
Video jenis ini semakin digemari kerana ia salah satu format popular untuk platform media sosial seperti TikTok, Instagram, YouTube dan pelbagai platform lain lagi.
Ia digunakan untuk menyampaikan pelbagai kandungan seperti hiburan, pendidikan, pemasaran dan sebagai satu teknik menyampaikan cerita kepada penonton.
Penghasilan video animasi pendek 2D dalam era kemajuan teknologi digital telah menjadi satu teknik berpengaruh untuk memudahkan pemahaman kepada konsep-konsep yang rumit.
Ini kerana, ia didapati lebih berkesan menyampaikan maklumat secara pantas, mampu menawan perhatian penonton dan maklumat lebih mudah dihadam.
Gabungan elemen visual dan auditori untuk menjelaskan topik-topik kompleks, boleh membantu penonton memberikan lebih fokus berbanding penggunaan teks semata-mata.
Selain itu, maklumat yang disampaikan lebih mudah diingati penonton. Keberkesanan video animasi pendek 2D mengemukakan fakta-fakta penting dalam bentuk ringkas membantu penonton mengingati kandungan dengan mudah berbanding penggunaan format teks yang panjang.
Penghasilan kandungan untuk animasi 2D pada masa sekarang juga lebih praktikal kerana mampu menjangkau penonton lebih meluas kerana ia lebih mudah dikongsikan dan diakses menggunakan pelbagai platform khususnya media sosial dan peranti pintar.
Kelebihan menggunakan teknik ini diperoleh menerusi penyelidikan mengenai keberkesanan penggunaan video pendek animasi 2D bertajuk “Zakat and Asnaf Digital Stories (ZADiS): Towards Enlightening the Public of Zakat and Asnaf Concept” untuk meningkatkan kefahaman orang ramai tentang konsep zakat dan asnaf.
Penyelidikan dijalankan lima penyelidik dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) dan Pusat Pengajian Perniagaan Islam UUM mendapati, video pendek animasi 2D dapat meningkatkan lagi kefahaman awam tentang perkara tersebut.
Projek penyelidikan itu mendapat geran daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) selaku perunding bersama dan penyelia bagi pembangunan kandungan ZADiS menggunakan kaedah lakonan drama dan penerangan informatif mengenai jenis-jenis zakat dan asnaf.
LZNK menjadi perunding untuk memastikan pengertian dan maksud tepat untuk jenis-jenis zakat dan asnaf yang disampaikan menerusi video pendek animasi 2D kepada masyarakat umum.
Pembangunan kandungan ZADiS berdurasi 2 minit dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu 1 minit untuk drama dan 1 minit lagi penerangan informasi konsep zakat dan asnaf. Menerusi penyelidikan itu, sebanyak sembilan video dihasilkan untuk penjelasan jenis-jenis zakat terdiri daripada Zakat Binatang Ternakan, Zakat Dan Cukai, Zakat Emas, Zakat Padi, Zakat Pendapatan, Zakat Perniagaan, Zakat Saham, Zakat Wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Zakat Wang Simpanan.
Sementara itu, sebanyak lapan video pendek animasi 2D untuk penerangan kategori asnaf dihasilkan menerusi penyelidikan ini bertujuan memudahkan orang ramai memahami dengan tepat Asnaf Fakir, Asnaf Miskin, Asnaf Al-Gharimin, Asnaf Fisabilillah, Asnaf Muallaf, Asnaf Amil, Asnaf Musafir dan Asnaf Ar-Riqab.
Ketika perundingan bagi proses penentusahan (verification) dan pengesahsahihan (validation) kandungan ZADiS, responden yang terdiri daripada bangsa Melayu dan Cina bersetuju bahawa konsep video pendek animasi 2D membantu mereka memahami dengan mudah mengenai zakat dan asnaf.
Hasil daripada perundingan itu, penyelidik merumuskan bahawa projek ZADiS mampu memberi kefahaman lebih mudah menggunakan konsep video pendek animasi 2D.
Pembangunan kandungan digital ini juga selari dengan permintaan pengguna yang mesra teknologi digital untuk mengakses kandungan ZADiS.
Selain konsep zakat dan asnaf, penggunaan video pendek animasi 2D ini boleh diperluaskan lagi terutama dalam meningkatkan kefahaman awam tentang konsep-konsep yang kompleks misalnya, kewangan Islam dan sebagainya.
Penyelidik juga boleh meneroka pelbagai alat, teknologi dan teknik digital lain bagi tujuan pembangunan kandungan digital untuk tujuan pendidikan orang awam di negara ini.
PENULIS DR. HAMMUZAMER IRWAN HAMZAH merupakan Pensyarah Kanan Program Multimedia Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan mengetuai projek penyelidikan ZADiS. Beliau boleh dihubungi melalui e-mel
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.