SAUDARA PENGARANG
Tidak dinafikan kepantasan kumpulan pemberontak Syria menawan Allepo dan seterusnya Damsyik tidak ubah seperti apa yang tercetus pada Ogos 2021 apabila pejuang Taliban menawan Kabul tanpa ada tentangan dari pihak tentera kerajaan.
Peristiwa di Afghanistan itu mudah untuk dipersalah Amerika Syarikat (AS) yang berundur secara tergesa-gesa dan membuatkan tentera kerajaan Afghanistan tidak mampu bertahan.
Manakala peristiwa Syria pula boleh disabitkan dengan kesalahan kendurnya bantuan dari Rusia dan Iran yang mana kedua-dua negara tersebut terlibat dengan perang masing-masing di Ukraine, Gaza dan Lubnan membuatkan bantuan sukar untuk dihulurkan kepada tentera kerajaan Syria.
Belum reda kejutan kejatuhan pantas rejim Bashar al Assad sudah pun bermula percaturan untuk menentukan hala tuju dan masa hadapan Syria.
Percaturan ini bukan sahaja berpunca dari dalaman dikalangan pelbagai kumpulan pemberontak dan rakyat biasa Syria, tetapi juga dalam kalangan kuasa besar dan juga jiran Syria.
Dalam kenyataan pertama presiden Joe Biden yang menegaskan satu era baru untuk rakyat Syria yang telah bebas dari cengkaman pemerintah kuku besi akhirnya boleh menentukan masa depan mereka dan bakal Presiden Donald Trump pula menyatakan apa yang berlaku di Syria tiada kena mengena dengan AS dan seharusnya Washington tidak perlu campur tangan.
Memang enak didengar kenyataan dari presiden dan bakal presiden AS tetapi mampukah Washington hanya memerhati sedangkan Rusia, Turkiye, Iran dan beberapa negara Arab lain seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berusaha menyalurkan pengaruh mereka supaya Syria masa hadapan menjadi lebih mesra dengan agenda masing-masing.
Tumpasnya rejim Bashar akan menjemput campur tangan bukan sahaja dari negara jiran tetapi juga kuasa besar/AFP
Sukar bagi Washington untuk menjadi pemerhati semata-mata kerana AS mempunyai beberapa pengkalan tentera seperti di wilayah Hasaka, Deir Ez-Zor, Raqqa, Ayn al-Arab (Kobane) dan juga di Manbij.
Kesemua pengkalan tentera ini ditempatkan di kawasan yang kaya dengan hasil galian, terutama sekali minyak.
Begitu juga pemain luar yang utama iaitu Rusia, Iran dan Turkiye sedang sedaya upaya cuba melakarkan masa hadapan Syria supaya kepentingan masing-masing dipelihara.
AS dan Rusia juga mempunyai beberapa pangkalan tentera di Syria. Pangkalan Tentera Laut Rusia di Tartus umpamanya adalah paling dihargai kepentingan strategiknya di Syria dan juga Timur Tengah.
Lebih rumit lagi ialah geopolitik negara Arab yang sentiasa berubah-rubah mengikut kepentingan agenda masing-masing. Ketika mula Bashar mengambil alih tampuk pemerintahan Syria, negara Arab berharap kekerasan yang diamalkan oleh bapa Bashar iaitu Hafez akan berakhir.
Tetapi ‘Arab Spring’ yang mula melanda negara Arab sekitar 2011 berubah tanggapan pemimpin Arab lain terhadap Bashar dimana beliau mengamalkan kekerasan untuk menumpaskan protes dari rakyat sendiri.
Bermula dengan penentangan keras Bashar terhadap protes ‘Arab Spring’ pemimpin negara Arab mula menjauhi pemimpin Syria tersebut dan kemuncaknya apabila keahlian Syria digantung dari Liga Arab.
Tetapi pada 2023, berlaku perubahan angin dalam kalangan pemimpin Liga Arab kerana Bashar diterima kembali dalam politik dunia Arab dengan menjemput untuk hadir dalam mesyuarat ke 32 Liga Arab di Jeddah, Arab Saudi.
Hakikatnya jua ketika detik detik akhir kejatuhan rejim Bashar, menteri luar Rusia, Tehran dan Turkiye masih berusaha untuk mengelak Syria terjerumus seperti yang dilalui oleh Iraq pada 2003 dan Libya pada 2011 iaitu keadaan yang tidak menentu sehingga tercetusnya perang saudara.
Tetapi mesyuarat di Doha, Qatar tiga menteri luar yang mana negara masing-masing mempunyai peranan yang agak besar dalam membantu menguatkan rejim Bashar tidak membuahkan hasil seperti yang dikehendaki kerana kumpulan pemberontak sudah begitu menghampiri Damsyik.
Matlamatnya adalah supaya peralihan kuasa berlaku secara teratur tetapi tidak tercapai.
Presiden Syria, Bashar Al-Assad/Fail AFP
Apabila pemimpin Iraq, Saddam Hussein tumbang pada 2003 dan diikuti pula oleh Muamar Gadaffi pada 2011, tercetus perang saudara dikedua-dua negara tersebut kerana tidak ujud satu entiti yang berkuasa samada di Iraq atau di Libya.
Kuasa besar yang terbabit secara langsung seperti AS, UK dan Rusia lepas tangan untuk memikul tanggungjawab dan akibatnya ialah kumpulan pemberontak mengambil alih peranan.
Senario tersebut berulang sekali lagi di Syria pada ketika ini kerana tentera dan kerajaan Syria sudah tidak wujud dan apa yang ada sekarang adalah pelbagai kumpulan pemberontak kerajaan yang pada mulanya mampu bekerjasama kerana matlamat asalnya ialah menjatuhkan rejim Bashar.
Apabila rejim Bashar sudah tumbang maka akan bermula rebutan kuasa dikalangan kumpulan pemberontak ini seperti yang tercetus di Iraq dan Libya.
Apabila pejuang Taliban berjaya mengemudi Afghanistan tanpa tercetus perang saudara kerana antara penyebab utama adalah Taliban adalah satu satunya kumpulan pemberontak tanpa ada saingan dari kumpulan yang lain.
Kerajaan sementara Taliban berjaya ditubuhkan walaupun tanpa bantuan dari negara jiran dan masyarakat antarabangsa.
Antara faktor utama kejayaan menubuhkan kerajaan adalah kerana mempunyai pengalaman menerajui Afghanistan sebelum ini.
Tetapi berbeza dengan pemberontak Taliban yang mempunyai pengalaman menerajui sebuah negara, pemberontak utama Syria iaitu Hayat Tahrir al Sham (HTS) paling kuat hanya mempunyai pengalaman secara tidak langsung ketika memberi sokongan kepada kerajaan alternatif Bashar iaitu Syrian Salvation Government yang berpangkalan di Idlib, Syria.
Jika ditinjau laporan media mengenai HTS, sememangnya terdapat konotasi negatif yang di ungkapkan.
Malah gambarannya lebih buruk jika hendak dibandingkan dengan Taliban. Memang tidak dinafikan kaitan HTS dengan Al Qaeda adalah terlalu rapat dan sukar untuk pisahkan ideologi kedua-dua kumpulan ini walaupun HTS telah memutuskan hubungan dengan Al Qaeda pada 2016.
Memang benar HTS dilabel sebagai kumpulan pengganas oleh AS dan Kesatuan Eropah (EU) kerana kaitan asal usul dengan kumpulan Al Qaeda.
Asalnya HTS adalah Jabhat al-Nusra yang ditubuhkan pada 2011 sebagai kumpulan untuk menjatuhkan rejim Bashar dan memang ada kaitan dengan Al Qaeda dan kumpulan Islamic State yang lain.
Pada 2016 Jabhat al-Nusra dibubar dan diganti dengan HTS sebagai asas untuk memansuhkan kaitan dengan kumpulan militan yang lain yang dialbel sebagai pengganas.
Walaupun hubung kait HTS dengan Al Qaeda sudah tiada tetapi stigma negatif itu tetap terlekat hingga sekarang sehinggakan sudah berjaya hapuskan diktator kejam, penerimaan masyarakat antarabangsa terhadap HTS masih ada kesangsiannya.
Tetapi hakikatnya seperti yang di tegaskan oleh ketua HTS iaitu Abu Mohammed al Julani beberapa jam setelah memasuki Damsyik matlamat utama untuk mengusir kerajaan Bashar telah pun tercapai maka seterusnya matlamatnya adalah menjadikan Syria sebagai sebuah negara berasaskan pemerintahan Islam (Islamic State).
Seperti mana ketika Taliban ingin menubuhkan kerajaan Islam di Afghanistan, sama jua persepsi negatif dimainkan sekali lagi apabila kumpulan HTS menyatakan hasrat yang serupa terhadap masa depan Syria.
Perseptif negatif sebegini yang membuatkan kuasa besar dan negara Arab sedaya upaya untuk campur tangan walaupun huru-hara di Syria belum lagi reda.
Sepatutnya negara yang berkemampuan menghulurkan bantuan dalam saat rakyat Syria amat memerlukan dan bukannya memberi gambaran berat sebelah mengenai masa depan Syria yang seharusnya ditentukan oleh rakyat Syria sendiri.
PENULIS AZMI HASSAN merupakan Felo Majlis Profesor Negara, Felo Kanan Akademi Kajian Strategik Nusantara NASR.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.