SAUDARA PENGARANG
Kerajaan telah mengambil keputusan untuk memansuhkan sistem pencen bagi penjawat awam untuk pengambilan baharu bermula 1 Februari 2024. Keputusan ini terpaksa diambil akibat tekanan ekonomi negara disebabkan beban hutang tinggi serta dana simpanan semakin berkurangan.
Keadaan ekonomi negara juga dilihat tidak mampu untuk menampung pembayaran wang pencen kepada pesara pada masa akan datang disebabkan jangkaan pertambahan jumlah pesara yang diramal semakin ramai selain peningkatan jangka hayat usia pesara.
Namun, persoalannya adakah pemansuhan sistem pencen untuk penjawat awam ini akan memberi kesan besar kepada pentadbiran negara terutamanya dalam soal sumber manusia? Melihat reality sebenar, kebanyakan individu yang berminat untuk bekerja dalam sektor awam adalah disebabkan tawaran faedah dan manfaat, khususnya sistem pencen.
Hakikatnya, sistem pencen menjadikan perkhidmatan awam diliohat sebagai pekerjaan yang memberi jaminan kehidupan lebih selesa setelah mencapai umur persaraan. Sistem pencen juga menjana rasa kekitaan dan patriotisme kepada negara.
Justeru, tanpa pencen, sektor awam dilihat kurang menarik berdasarkan beberapa faktor tertentu termasuk gaji rendah, tiada bonus tetap atau tinggi, fasiliti tidak mencukupi, serta tekanan kerja yang agak berbeza berbanding sektor swasta.
Tujuan utama kewujudan sektor swasta adalah memaksimumkan keuntungan pemegang saham melalui perniagaan produk atau perkhidmatan ditawarkan. Manakala tujuan dan misi sektor awam adalah mementingkan aspek pengurusan negara termasuk keselamatan, kesihatan, pendidikan, sosioekonomi, serta kebajikan untuk rakyat.
Oleh itu, jawatan perkhidmatan awam sebenarnya memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang tinggi demi memberi kesejahteraan dalam segala aspek berkepentingan kepada negara.
Sektor swasta sangat kompetitif dan majikan mereka sentiasa menyediakan pakej faedah yang menarik kepada pekerja terutamanya jawatan yang memerlukan kemahiran tinggi.
Pada anggapan penulis sistem KWSP yang digunakan sebagai ganti kepada sistem pencen, membolehkan individu yang berkhidmat dalam sektor awam bertukar kerja pada bila-bila masa tanpa ikatan kerana sudah tidak ada motivasi atau insentif untuk pekerja kekal lama.
Antara pekerjaan berisiko termasuk bidang kesihatan, kejuruteraan, pendidikan, pentadbiran dan kepimpinan, ICT, peguam, dan banyak lagi, khususnya jawatan berkaitan kemahiran tinggi.
Faktor itu ditambah dengan lantikan baharu yang kebanyakannya daripada kalangan generasi muda seperti Gen-Y dan Gen-Z, generasi yang amat mengutamakan manfaat serta makna dalam profesion pekerjaan yang mereka ceburi.
Justeru, kerajaan mungkin akan berdepan dengan cabaran untuk mengekalkan bakat-bakat muda tersebut dalam perkhidmatan awam.
Berdasarkan dapatan kajian pakar ekonomi Amerika Syarikat, Prof. Wayne F. Cascio dari University of Colorado pada 2006 menunjukkan kos penggantian seorang pekerja adalah 2.5 kali ganda daripada gaji semasa bagi sesuatu jawatan terlibat.
Kadar perolehan pekerja mungkin akan lebih tinggi pada masa depan, maka kos pentadbiran pekerja juga turut meningkat selaras dengan keperluan perkhidmatan. Justeru, kerajaan mungkin terpaksa menanggung bebanan yang bertambah bukan sahaja soal kewangan tetapi juga berdepan kekurangan pekerja mahir yang sebenarnya amat membimbangkan.
Untuk itu, banyak aspek perlu dipertimbangkan dan ditambah baik dalam berdepan cabaran tersebut dan ia memerlukan tempoh pelaksanaan jangka masa panjang dan setiap perubahan dalam sistem perkhidmatan awam pasti akan membabitkan soal sumber kewangan.
Dalam pada itu aspek pengurusan serta pentadbiran kemajuan ekonomi masih perlu diperbaiki segera. Penjelasan strategi yang menerangkan maksud penambahbaikan sistem persaraan kepada sistem KWSP juga perlu segera diumumkan kepada orang awam supaya kegelisahan rakyat yang tertekan dengan keadaan ekonomi, dapat ditenangkan.
PENULIS DR. SAFIAH OMAR merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi melalui emel
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.