fb fb fb fb fb

Berjalan tanpa bayang sahabat

Foto Hiasan

SAUDARA PENGARANG

Fasa kehilangan persahabatan adalah salah satu pengalaman yang paling sukar untuk dihadapi oleh sesiapa sahaja.

Ianya diibaratkan seperti berjalan di tengah malam tanpa tujuan yang jelas, hanya ditemani kegelapan sambil mengharapkan adanya sinar cahaya yang akan membawa petunjuk.

Namun, cahaya yang dicari tidak pernah muncul, meninggalkan kita terkapai-kapai dalam kesedihan dan kekecewaan.

Setiap kenangan manis yang pernah tercipta bersama sahabat kini bertukar menjadi bayangan kelam yang menyesakkan dada, seolah-olah hati ditusuk pisau yang semakin dalam.

Namun, di sebalik perasaan hancur itu, terdapat kekuatan yang tersembunyi. Satu kekuatan yang hanya muncul apabila kita berani mengupas luka lama demi membiarkan ia sembuh dengan lebih sempurna.

Luka itu, meskipun perit, akhirnya akan menjadi tanda pengajaran penting dalam hidup kita.

Kadangkala, kita terlalu lama berpegang kepada persahabatan yang sudah hilang maknanya. Kita terus memegang erat walaupun sebenarnya hubungan itu sudah retak menanti belah.

Rasa bersalah dan harapan palsu menjadi beban di bahu, menghalang kita daripada melepaskan apa yang seharusnya sudah berlalu. Kita berharap bahawa dengan sedikit usaha lagi, segala-galanya akan kembali seperti sedia kala.

Namun, realitinya, persahabatan yang tidak lagi membawa kebahagiaan hanya menyakitkan hati dan merosakkan mental kita.

Apabila kita akhirnya berani melepaskan seseorang yang tidak lagi sehaluan, kita memberi diri sendiri ruang untuk bernafas, merasai ketenangan, dan memulakan proses penyembuhan luka lama yang telah terpendam begitu lama.

Ini adalah langkah pertama yang sangat penting untuk kesihatan mental yang lebih baik dan untuk menjalani kehidupan yang lebih tenang dan bermakna.

Kehilangan seorang sahabat sebenarnya mengajar kita untuk lebih mendalam menilai keperluan dan kebahagiaan diri.

Persoalan penting yang sering muncul adalah, "Adakah aku benar-benar bahagia dalam persahabatan ini?" Mungkin jawapannya tidak, tetapi sukar untuk kita mengakui hal tersebut kerana kita lebih rela menipu diri sendiri daripada menghadapi kenyataan pahit.

Namun, apabila kita menerima hakikat bahawa tidak semua orang yang hadir dalam hidup kita akan kekal selamanya, kita mula memahami bahawa keikhlasan dalam melepaskan adalah satu bentuk kebijaksanaan yang akan membawa kita ke arah kebaikan.

Kita mula sedar bahawa diri kita layak untuk dikelilingi oleh individu yang benar-benar menghargai, memahami, dan menyokong kita tanpa batas.

Setiap titisan air mata yang mengalir bukanlah lambang kelemahan, sebaliknya adalah simbol kekuatan dalaman.

Ini menunjukkan bahawa kita pernah menyayangi dan pernah peduli. Kita pernah merasakan ikatan yang kuat tetapi apabila ianya tidak lagi memberi kebaikan, kita harus membiarkan air mata itu kering dan mula melihat masa depan dengan lebih jelas.

Pada saat kita berhenti menangis dan menerima keadaan, kita akan sedar bahawa melepaskan persahabatan yang toksik sebenarnya adalah langkah penting untuk membuka pintu kepada hubungan yang lebih sihat dan bermakna.

Ini adalah permulaan kepada kebahagiaan yang lebih tulen, bebas daripada beban emosi yang telah lama membelenggu.

Walaupun perpisahan ini terasa begitu pahit, ianya merupakan proses penting dalam pertumbuhan diri. Kita belajar untuk berdiri dengan lebih kukuh, untuk mencintai diri sendiri dengan lebih ikhlas, dan untuk meletakkan kebahagiaan diri di tempat yang sepatutnya.

Pada akhirnya, mungkin kehilangan ini adalah satu anugerah yang tidak diduga. Anugerah yang membawa kita kepada versi diri yang lebih kuat, lebih matang dan lebih bahagia.

Kita mula memahami bahawa hidup ini adalah satu perjalanan yang tidak semestinya dilalui dengan orang yang sama dan kadangkala, kehilangan adalah cara alam untuk memberitahu kita bahawa ada yang lebih baik menanti di hadapan.

Oleh itu, walaupun fasa ini sangat perit untuk dilalui, percayalah bahawa ada sinar di sebalik awan mendung yang menyelubungi hati.

Kehilangan persahabatan mungkin terasa seperti luka yang tidak akan pernah sembuh, tetapi sebenarnya adalah permulaan baru untuk membina semula hati yang pernah terluka.

Seperti kata-kata hikmah yang pernah kita dengar, "Adakalanya kita perlu kehilangan sesuatu yang berharga untuk menemui sesuatu yang lebih bermakna." Hanya apabila kita melepaskan, barulah kita dapat menemui ruang dalam diri untuk menerima sesuatu yang lebih baik dan lebih membahagiakan.

PENULIS NURFILZAH EMILY MOHAMAD KHAIRUDDIN, merupakan kaunselor pelatih dari Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN