fb fb fb fb fb

Belanjawan 2025: Reformasi strategik menuju kesejahteraan negara

Foto Kecil - Naib Canselor Universiti Malaya, Prof. Dato Seri Ir Dr. Noor Azuan Abu Osman/Foto UM

SAUDARA PENGARANG

Kesejahteraan sosial terus menjadi keutamaan dalam Belanjawan 2025 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar ibrahim pada 18 Oktober lalu. Reformasi strategik ini menjadi kayu ukur utama dalam memacu pembangunan mampan dan kemajuan negara. Elemen seperti pembelajaran sepanjang hayat serta peningkatan infrastruktur dan kapasiti modal insan dijadikan tunjang utama untuk mencapai matlamat tersebut.

Sebanyak RM18 bilion diperuntukkan kerajaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam usaha mencapai matlamat berkenaan. Pembangunan kapasiti modal insan dan pencapaian dalam sektor kritikal seperti teknologi, digital, keselamatan sumber, dan rantaian bekalan menjadi fokus utama. Selain itu, kemajuan dalam bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, sumber tenaga hijau, dan mineral turut menjadi keutamaan untuk masa depan negara.

Universiti Malaya (UM), selaras dengan aspirasi negara, terus melangkah maju dengan memperkenalkan inovasi baharu dalam pendidikan dan penyelidikan, sesuai dengan statusnya sebagai peneraju pendidikan tinggi di Malaysia. Universiti ini juga berperanan penting dalam memastikan kesejahteraan dan mobiliti sosial rakyat melalui pendidikan tinggi yang berkualiti

Melalui akses pendidikan tinggi yang meluas dan menyeluruh, peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan isi rumah akan meningkat. Ini seterusnya akan mengurangkan kadar kemiskinan dan menangani isu sosial yang membelenggu masyarakat. Pembangunan modal insan berkemahiran tinggi akan membawa impak besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Pelaburan besar dalam sektor penyelidikan baharu dan bidang saintifik kritikal adalah langkah penting bagi memastikan Malaysia dapat menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sektor-sektor utama, seterusnya merapatkan jurang geografi, demografi, dan ekonomi. Dengan cabaran baharu dalam arena geopolitik, teknologi, dan perubahan iklim, universiti tempatan perlu bersedia melakukan transformasi lebih berani.

Mereka bukan sahaja perlu menyediakan penyelesaian untuk masalah semasa tetapi juga berperanan sebagai pemacu utama dalam pembangunan negara dan tamadun. Pelaburan dalam teknologi dan infrastruktur pengajaran dan penyelidikan adalah kritikal untuk menyediakan pelajar, penyelidik, dan ahli akademik dengan peralatan yang diperlukan. Ini termasuklah membina kapasiti AI dan teknologi digital untuk membawa negara ke hadapan.

Bidang kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital terus menjadi bidang kritikal yang akan memberikan pulangan strategik kepada negara. Pelan seperti Pelan Induk Perindustrian Negara 2030 dan Pelan Peralihan Tenaga Negara bergantung pada AI yang pintar dan berfokus untuk mencapai matlamat sifar karbon bersih menjelang 2050.

Kerjasama awam-swasta juga perlu dipertingkatkan bagi mengoptimumkan kos, menggalakkan kepakaran, dan memastikan kecekapan. Universiti harus memainkan peranan penting dalam membina ekosistem AI yang mampan dan berdaya tahan, serta memanfaatkan teknologi ini dalam pelbagai sektor.

Untuk Malaysia terus maju sebagai negara berpendapatan tinggi, pembangunan pendidikan tinggi yang mampan dan pelaburan strategik dalam teknologi serta modal insan mesti diberi keutamaan. Perancangan yang teliti dan berpandangan jauh dalam bidang ini akan menentukan daya saing ekonomi negara pada masa depan, serta menjamin kemakmuran ekonomi dan sosial bagi semua rakyat.

Reformasi Belanjawan 2025 menandakan langkah penting ke arah mencapai matlamat ini, dengan tumpuan kepada keseimbangan pembangunan yang menyeluruh, selari dengan aspirasi Malaysia sebagai negara maju yang seimbang dalam segala aspek.

PENULIS PROF DATO SERI IR DR. NOOR AZUAN ABU OSMAN merupakan Naib Canselor Universiti Malaya dan Felo Akademi Sains Malaysia.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD