fb fb fb fb fb

Banjir kilat: Mengapa Kuala Lumpur terus terjejas?

Keadaan banjir di kawasan parkir berhampiran Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 22 Ogos 2024/Foto Bernama

SAUDARA PENGARANG

Kuala Lumpur, ibu kota yang sangat pesat membangun, telah lama berdepan dengan masalah banjir kilat.

Hujan lebat dan urbanisasi yang pesat menjadikan bandar ini terdedah kepada banjir berulang kali sejak dimashurkan sebagai ibu negara Malaysia pada 1978. Sejarah telah mencatatkan beberapa kejadian penting yang menggariskan keperluan mendesak untuk memperkukuhkan strategi pengurusan banjir di Kuala Lumpur.

Pada tahun 1926, banjir pertama terbesar direkodkan akibat hujan monsun yang lebat yang juga dikenali sebagai Bah Merah menunjukkan kerentanan Kuala Lumpur.  Banjir kilat yang dahsyat pada tahun 1971 telah mengorbankan 24 nyawa mendorong kerajaan untuk membangunkan strategi pengurusan banjir yang lebih menyeluruh dengan membangunkan sistem pemantauan aras air sungai secara sistematik berserta amaran awal banjir.

Kejadian banjir pada tahun 2007 dan 2013, disebabkan hujan lebat menunjukkan bahawa langkah-langkah yang telah diambil seperti pembinaan terowong SMART dan empangan mitigasi banjir masih tidak mencukupi untuk mengatasi cabaran ini.

Baru-baru ini, berlaku banjir besar iaitu pada Oktober 2024; Kuala Lumpur terus mengalami masalah banjir kilat sehingga melumpuhkan ibu kota negara kita menunjukkan kelemahan integrasi infrastruktur sedia ada.

Kedudukan topografi Kuala Lumpur, terletak di lembah yang dikelilingi bukit, turut menyumbang kepada risiko banjir. Keadaan ini mempercepatkan aliran air hujan ke dalam sungai utama bandar, sekali gus meningkatkan potensi banjir kilat semasa hujan lebat.

Banjir kilat kebiasaannya berlaku di kawasan pembangunan yang sistem saliran sedia ada tidak mampu menampung curahan air hujan dalam kuantiti banyak. Keaadan semakin berisiko apabila hujan lebat berlaku, lebih daripada kebiasaannya untuk satu tempoh tertentu sehingga menyebabkan air naik secara mendadak.

Situasi bertambah buruk apabila sistem saliran sedia ada tidak dapat menampung aliran air yang tinggi dan tiada tempat simpanan bagi menampung air lebihan daripada banjir dan selepas beberapa jam ia kembali surut. Di kawasan bandar, banyak permukaan berturap dan tidak telap air menyebabkan air tidak dapat diserap ke dalam tanah, membolehkan air hujan mengalir laju ke kawasan rendah.

Sebenarnya, banjir kilat kerap kali mencetuskan kebimbangan dalam kalangan warga kota kerana menyebabkan kerosakan harta benda, mengganggu lalu lintas disebabkan jalan raya ditenggelami air, juga boleh membahayakan nyawa. Ia kerana keadaan itu berlaku dengan cepat, tanpa memberi masa mencukupi kepada penduduk untuk membuat persediaan atau pemindahan awal.

Bagi kes Kuala Lumpur, kepesatan pembangunan telah menyebabkan sungai-sungai utama seperti Sungai Klang dan Sungai Gombak semakin terjejas kapasitinya untuk mengendalikan aliran air yang banyak.

Anak-anak sungai seperti Sungai Ampang, Sungai Batu, dan Sungai Pusu turut menyumbang kepada beban aliran semasa hujan lebat, menyebabkan sistem yang semakin tertekan semasa musim tengkujuh.

Bagi mengurangkan impak banjir, Kuala Lumpur telah membangunkan beberapa infrastruktur pengurusan banjir. Antaranya ialah Empangan Klang Gate dan Empangan Batu yang dibina untuk mengawal aliran air di kawasan tadahan masing-masing. Kolam takungan banjir juga disediakan sebagai kawasan penyimpanan air sementara, namun kapasiti kolam ini terhad apabila berdepan hujan lebat yang berintensiti tinggi.

Terowong SMART, yang berfungsi sebagai struktur dwiguna untuk kawalan banjir dan aliran trafik, merupakan salah satu usaha utama dalam mengurangkan banjir kilat di Kuala Lumpur. Namun, hakikatnya, Kuala Lumpur terus menghadapi cabaran banjir kilat kerana sistem sedia ada berfungsi untuk menangani banjir di kawasan tertentu sahaja dan bukannya keseluruhan Kuala Lumpur.

Strategi Pengurusan Banjir Bersepadu (IFM) boleh diaplikasikan ialah dengan menguruskan kawasan lembangan sebagai satu unit, mengambil kira banjir sebagai sebahagian dari kitaran air. IFM juga menggunakan pendekatan kaedah penyelesaian yang pelbagai berdasarkan pengurusan risiko banjir.

Langkah-langkah penambahbaikan boleh dilakukan, termasuk meningkatkan kapasiti empangan dan kolam takungan sedia ada supaya dapat mengendalikan kejadian hujan lebat yang semakin kerap akibat perubahan iklim.

Empangan kawalan banjir tambahan di lokasi sesuai seperti di Sungai Pusu bagi membantu mengawal aliran dan mengurangkan tekanan pada sistem sedia ada. Kolam takungan baharu perlu dibina seperti kolam takungan di permukaan atau bawah tanah untuk menyimpan air banjir yang lebih banyak.

Bagaimanapun, perancangan yang lebih teliti mengenai lokasi dan jumlah pelepasan air banjir perlu dikaji secara lebih teliti supaya tidak menyebabkan banjir di kawasan hilir terutamanya apabila berlaku pertembungan air pasang besar di muara sungai.

Selain itu, keberkesanan sistem saliran bandar harus dipertingkatkan dengan menambah kapasiti saliran bagi menangani aliran permukaan yang meningkat dengan mendadak dalam masa yang singkat.

Perhatian boleh juga dijuruskan kepada penyelesaian inovatif seperti infrastruktur hijau, taman hujan, dan permukaan yang boleh menyerap air dapat membantu mengurangkan risiko banjir melalui perancangan bandar dan guna tanah yang lebih mampan.

Menerusi perancangan menyeluruh dan kolaboratif antara semua pihak berwajib dan masyarakat, Kuala Lumpur dapat bergerak ke arah pengurusan banjir lebih mampan, dan membolehkan negara lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan.

PENULIS DR. SITI NURHIDAYU ABU BAKAR, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia. Boleh dihubungi melalui e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI