fb fb fb fb fb

Apakah kita melahirkan generasi muda yang semakin kurang bersyukur?

Syukur adalah sesuatu yang subjektif berdasarkan pandangan dan pengetahuan seseorang individu / Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

“Jangan pernah bimbang dengan rezekimu yang telah pun diatur, yang penting adalah kamu terus bersyukur”.

Sebuah kata-kata yang perlu ditanam dalam fikiran masyarakat kita pada masa kini untuk memastikan kesihatan mental dan juga tahap kepuasan hidup yang optimum kerana tidak terlalu memikirkan sesuatu yang belum pasti adalah lebih baik kerana ini akan mengurangkan beban fikiran seseorang individu.

Namun, keadaan ini bukanlah menjadi kayu pengukur yang menunjukkan bahawa kita tidak perlu berusaha untuk mencapai sesuatu.

Tugas kita sebagai manusia hanyalah terus berusaha untuk mencapai sesuatu matlamat tanpa perlu terlalu memikirkan hasilnya. Apabila kita terlalu memikirkan hasil akhir sesuatu perkara berkemungkinan akan menjadi penghalang untuk mencapai sesuatu.

Kehidupan pada zaman yang penuh pancaroba ini menuntut setiap individu untuk mempunyai tahap ketahanan mental, fizikal dan jati diri yang tinggi untuk memastikan kesejahteraan kehidupan pada masa akan datang.

Bagi memastikan masyarakat di zaman ini mampu mengharungi kehidupan yang mencabar dengan baik, maka adalah penting untuk kita membentuk sifat bersyukur dalam kalangan generasi kini.

Hakikatnya tahap kesukaran kehidupan akan semakin bertambah dari semasa ke semasa disebabkan oleh beberapa faktor sama ada faktor dalaman atau luaran itu sendiri.

Berdasarkan kajian yang pernah dilakukan, sifat bersyukur atau berterima kasih sering dikaitkan dengan pelbagai hasil yang positif termasuk perasaan bahagian yang lebih besar, impak positif, sifat optimis dan juga tahap keyakinan yang tinggi.

Sifat bersyukur dikatakan mempunyai perhubungan positif secara langsung yang signifikan dengan tahap kepuasan kehidupan seseorang individu.

Sifat ini adalah penting dalam membentuk kehidupan yang lebih baik dengan memperkukuhkan lagi kesihatan mental dan fizikal, memastikan tingkahlaku yang lebih prososial dengan perhubungan berkualiti tinggi. Keadaan ini akan memacu seseorang individu untuk melalui kehidupan mereka yang lebih bermakna.

Satu kajian yang telah dilakukan oleh Stoeckel dan rakan-rakan pada tahun 2016, mendapati bahawa individu yang mempunyai sifat bersyukur adalah lebih berdaya tahan dalam menghadapi cabaran kehidupan berbanding individu yang kurang mempunyai sifat bersyukur.

Individu yang lebih mempunyai sifat bersyukur akan kurang mengalami kebimbangan, tekanan dan kemurungan.

Syukur adalah merupakan satu tindakan subjektif berdasarkan kepada pandangan dan pengetahuan seseorang individu itu.

Namun, tindakan bersyukur itu adalah merupakan salah satu indikator yang dapat menunjukkan tahap akhlak, kematangan dan juga kesejahteraan kehidupan seseorang individu.

Perkataan syukur itu sendiri mungkin mampu diucapkan dibibir.Namun, persoalannya adakah perasaan bersyukur itu mampu dirasakan di dalam hati sanubari seseorang sebenarnya sekali gus, terpancar dari tindakan yang menggambarkan rasa syukur tersebut dalam kehidupan.

Keadaan ini dapat dilihat apabila terdapat segelintir golongan kanak-kanak dan remaja dalam kategori generasi Z dan Gen Alpha pada masa kini kurangnya mempunyai sifat bersyukur dan berterima kasih apabila menerima pemberian dari pihak lain.

Situasi ini dapat dilihat apabila masyarakat mula memperkatakan tentang sikap segelintir kanak-kanak dan remaja yang mempersoalkan jumlah wang pemberian tuan rumah ketika tradisi kunjung-mengunjungi sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Keadaan bertambah buruk apabila terdapat juga golongan dewasa yang juga berstatus ibu bapa secara terang-terangan mengutarakan pendapat mereka yang tidak bersetuju dan mempersoalkan jumlah pemberian duit raya kepada kanak-kanak di ruangan status media sosial sehingga tular dan menjadi perbincangan hangat dalam kalangan warga maya.

Walaupun pada hakikatnya jumlah pemberian wang tersebut bukanlah menjadi suatu kewajipan ke atas tuan rumah tetapi ia lebih bersifat menyantuni tetamu yang hadir berdasarkan kepada kemampuan tuan rumah tersebut.

Berdasarkan kes tersebut, dapat kita lihat kegagalan golongan dewasa untuk memberikan teladan yang baik kepada golongan kanak-kanak dan remaja, memberi persoalan sejauh mana kita mampu memastikan bahawa generasi masa depan yang akan memimpin negara ini akan mewarisi sifat-sifat yang mampu membentuk masyarakat sejahtera pada masa akan datang.

Maka tindakan mengabaikan tingkah laku bersyukur ini seharusnya tidak dinormalisasikan dalam kalangan masyarakat.

Kajian yang dijalankan pada tahun 2020 melaporkan terdapatnya perkaitan positif di antara sifat bersyukur dan berterima kasih dengan tahap kesejahteraan hidup seseorang individu terutamanya dalam kalangan golongan dewasa dan juga remaja lingkungan umur di antara 10 hingga 19 tahun.

Namun begitu, kajian bagi perkaitan ini masih tidak begitu jelas bagi golongan kanak-kanak di bawah usia 10 tahun kerana secara asasnya rata-rata kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan lima tahun sudah mampu untuk memahami pelbagai senario yang dapat menimbulkan perasaan bersyukur.

Selain itu, kanak-kanak juga mampu memahami perkara-perkara yang perlu disyukuri berdasarkan kepada pemahaman kendiri kanak-kanak tersebut dan juga berdasarkan pelaporan dari perspektif ibubapa kanak-kanak.

Secara kesimpulannya, tingkah laku bersyukur bagi seseorang individu terhadap sesuatu nikmat perlulah dibentuk bermula dari peringkat kanak-kanak lagi. Walaupun pada hakikatnya tahap pemahaman seorang kanak-kanak pada umur di bawah 10 tahun masih lagi dalam keadaan terhad. Pada masa yang sama, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam mencorakkan tingkah laku dan sifat anak-anak itu sendiri.

Bak kata pepatah “Bagaimana kuih, begitulah acuannya’. Pembentukan sifat bersyukur akan menjadikan masyarakat ini mempunyai akhlak dan tingkah laku yang baik serta pada masa yang sama mampu memastikan kesejahteraan mental dalam kalangan masyarakat berada pada paras optimum.

PENULIS DR. NURUL ASHIKIN ALIAS, merupakan Felo Penyelidik di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD