fb fb fb fb fb

Anak seawal prasekolah perlu didedah kemahiran penyelesaian konflik

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Kemahiran penyelesaian konflik adalah perlu bagi setiap individu untuk mengekalkan interaksi yang baik. Kemahiran ini boleh diajar kepada anak-anak seawal usia 3-4 tahun, iaitu semasa mereka diperingkat prasekolah.

Kemahiran penyelesaian konflik adalah sangat penting terutamanya dalam suasana perkembangan teknologi semasa, ditambah pula dengan sifat semulajadi konflik, iaitu keadaan yang tidak dapat dielakkan.

Justeru, penerimaan kewujudan konflik sebagai sesuatu yang biasa adalah sangat penting kepada kanak-kanak bagi membantu mereka mengurus dan menyelesaikan konflik dengan berkesan pada awal usia.

Mengajar kemahiran penyelesaian konflik kepada anak-anak adalah merupakan sebahagian daripada kemahiran keibubapaan positif. Dengan memberi pendedahan bersesuaian mengenai pengurusan konflik, ibu bapa sebenarnya memperkasakan anak-anak untuk mempunyai sifat empati, berkasih-sayang, membangun kaedah komunikasi berkesan, dan juga kemahiran menyelesai masalah yang secara langsung akan memberi kesan kepada pembentukan peribadi anak-anak.

Konflik bagi kanak-kanak yang dilahirkan dengan ketersediaan pelbagai jenis teknologi pada zaman ini adalah kompleks. Konflik yang mereka hadapi bukan lagi terhad kepada konflik yang berlaku melalui interaksi bersemuka, malah mereka turut terdedah dengan pelbagai jenis konflik yang berlaku dalam alam maya.

Melalui penggunaan pengukuhan positif bersesuaian, ibu bapa dapat memperkasakan anak-anak untuk mengenal pasti gejala-gejala konflik dan kaedah terbaik untuk menanganinya.

Pada usia seawal 3-4 tahun, kanak-kanak sudah mula terdedah dengan konflik dengan ibu bapa, adik-beradik, dan rakan sepermainan.

Dalam hal sedemikian, kebolehan untuk mengawal situasi melalui pengaplikasian kaedah mengurus konflik yang ringkas dapat membantu kanak-kanak dalam membangunkan kemahiran sosial dan mengekalkan kesejahteraan emosi.

Melalui proses ini juga, mereka akan belajar mengenai kewujudan perbezaan dan kepelbagaian, kecenderungan untuk berlakunya bias dalam pemilihan, dan keperluan untuk mencapai kata sepakat.

Dalam spektrum yang masih terhad disebabkan faktor usia yang masih terlalu muda, pengenalan kemahiran sebegini dapat mengelakkan mereka daripada masalah buli atau diasingkan oleh rakan-rakan.

Hasilnya, anak-anak akan berasa lebih berkeyakinan untuk menyatakan kehendak mereka dan pada masa sama turut mempertimbangkan keperluan orang lain, atau dalam bahasa ringkasnya, mereka akan lebih bertimbang rasa.

Antara strategi yang boleh digunakan oleh ibu bapa adalah pertama menunjukkan contoh amalan yang baik. Kanak-kanak belajar melalui pemerhatian. Ibu bapa perlu perlu menjadi model kepada anak-anak.

Antaranya adalah dengan menggunakan nada suara yang sesuai mengikut situasi, mengawal emosi, dan menormakan perbincangan sesama ahli keluarga untuk menyelesaikan sesuatu isu.

Kanak-kanak perlu diperkenalkan dengan komunikasi tanpa keganasan dan komunikasi terbuka. Mereka perlu diberi pemahaman bahawa pemilihan perkataan, ekspresi muka, gestur badan dan sebagainya boleh memberi kesan kepada orang lain.

Selain itu, ibu bapa boleh membentuk persekitaran yang menggalakkan komunikasi terbuka supaya anak-anak dapat menyatakan perasaan dan pandangan mereka.

Amalan ringkas proses empat langkah bagi menguruskan konflik merangkumi (1) giliran anda (2) giliran saya (3) perancangan bersama, dan (4) tindakan susulan boleh diamalkan oleh ibu bapa dalam interaksi harian bersama anak-anak. Kaedah empat langkah ini juga merupakan salah satu strategi mengajar anak-anak mengenai teknik penyelesaian masalah.

Sekiranya berlaku sebarang konflik diantara dua pihak, "giliran anda" bermaksud kita mempraktikkan untuk memberi peluang kepada pihak lain untuk menyuarakan pandangan, perasaan dan jangkaan.

Proses ini melatih seseorang individu untuk menjadi pendengar yang aktif. Dalam "giliran saya", individu pula akan menceritakan kekangan, pandangan, dan perasaan dialami.

Penggunaan perkataan yang jelas dan bahasa sopan akan memudahkan pemahaman kedua-dua pihak. Seterusnya, setelah kedua-dua pihak memahami akan kekangan dan permasalah masing-masing, mereka perlu bersama-sama berbincang untuk mencari jalan penyelesaian dan mencadangkan kriteria tertentu yang boleh digunakan sebagai indikator bagi menunjukkan masalah tersebut telah berjaya diatasi dan juga jangkaan masa untuk menyemak pelaksanaan.

Akhir sekali, tindakan susulan adalah penting bagi kedua-dua pihak untuk menilai samada konflik telah berjaya diselesaikan ataupun tidak berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

Kemahiran pengurusan konflik adalah sangat penting kepada kanak-kanak dan mereka perlu diberi pendedahan seawal mungkin. Ibu bapa boleh mengaplikasikan pelbagai teknik bagi memberi pendedahan kepada adak-anak.

Dengan mengamalkan kaedah pengurusan konflik yang betul, ibu bapa akan menjadi model penting kepada pengurusan konflik berkesan bagi kanak-kanak.

PENULIS DR SITI NOORMI ALIAS, Pensyarah Kanan Jabatan Pembangunan Profesional dan Pendidikan Lanjutan Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia. Boleh dihubungi melalui emel  sitinoormi @upm.edu.my

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI