fb fb fb fb fb

Advokasi Media Mendepani Cabaran Mendatang

Foto Hiasan

SAUDARA PENGARANG

Kita telah menghampiri empat tahun lamanya menghadapi cabaran dan dugaan "berperang" wabak yang telah mengakibatkan jangkitan 1/3 daripada populasi penduduk dunia dan hampir seluruh dunia terkesan dengan masalah kesihatan kritikal, kepincangan ekonomi dan krisis sosial yang berterusan sehingga hari ini.

Dalam konteks negara, kita telah membuktikan bahawa negara kita mampu membendung penularan wabak berbahaya ini walau pun program-program sekatan pergerakan yang diperkenalkan oleh kerajaan menempuh segala kesukaran dan kesulitan menguruskan sistem peradaban manusia ke satu amalan normal baharu yang juga bakal menjadi tunggak kepada sistem peradaban manusia hari ini dan akan datang.

Sudah pastinya pasca PKP, PRU 15 dan PRN kali ini pula menampilkan pelaksanaan amalan rutin sosial masyarakat akan mengalami anjakan paradigma yang menuntut disiplin,keprihatinan dan kesungguhan setiap anggota masyarakat memelihara kebersihan, keselamatan dan kesihatan pada tahap optimum tanpa kompromi.

Pengamalan normal baharu ini yang merangkumi amalan kesihatan, sosiobudaya dan sosiopolitik tanah air boleh disifatkan sebagai satu amalan baru yang akan mengubah landskap kematangan cara masyarakat kita berfikir, melakukan sesuatu dan menilai tahap keselamatan dan kesihatan masing-masing sepanjang menjalani kehidupan dalam era digital hari ini.

Hal ini juga sudah pastinya akan menjelmakan keupayaan masyarakat mendalami dan menerapkan nilai-nilai peradaban dan kemanusiaan seperti yang dijelaskan oleh Perdana Menteri apabila mengulas Dasar Ekonomi Madani berbanding dengan dasar-dasar yang pernah diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini.

Bersangkutan dengan hal ini, advokasi media dan komunikasi menjadi suatu keutamaan bagi menentukan amalan normal baharu selepas pasca COVID-19 dan PRU15 dapat memimpin minda masyarakat menjadi lebih baik, matang dan mampu menjalani kehidupan dengan lebih disiplin.

Dalam erti kata lain, peranan media berstrategik bagi menyokong tindakan kerajaan mengubah minda masyarakat kita berfikir dan melaksanakan peranan mereka mengikut nilai-nilai perpaduan dan kesejahteraan masyarakat negara ini harus diberi perhatian khusus.

Media harus memainkan tanggungjawab sosial tanpa mementingkan keuntungan komersil untuk mendidik masyarakat menjalani nilai-nilai amalan Madani ini menerusi beberapa pendekatan seperti berikut;

• Membantu melancarkan kempen-kempen advokasi sosial yang memberi gambaran baru terhadap amalan-amalan normal baharu,termasuklah menjana nilai-nilai kehidupan bermasyarakat dengan lebih positif, tanpa menyisihkan amalan-amalan praktis budaya komuniti yang kita amalkan.

Media harus berupaya mengasingkan persepsi negatif masyarakat yang beranggapan nilai-nilai pembudayaan norma baharu ini akan menjejaskan kepercayaan mereka terhadap amalan keagamaan atau amalan tradisi masyarakat kita.

•Membantu menerapkan sifat keperihatinan masyarakat untuk memacu amalan pengawalseliaan kendiri dari segi penjagaan kesihatan,kebersihan dan juga mendidik masyarakat membuat keputusan positif terhadap penjagaan amalan kendiri dan menghalang mereka daripada terjerumus dalam kancah kemudaratan akibat penyebaran berita palsu dan penyelewengan maklumat yang boleh mengancam perpaduan dan kesejahteraan masyarakat.

•Sejajar dengan lonjakan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media tahun ini, Malaysia berada di tangga ke-73 Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 berdasarkan laporan Reporters Without Borders (RSF), berbanding tangga ke-133 tahun lepas.

Dalam indeks berkenaan, kedudukan Malaysia meningkat 40 anak tangga dengan mencatat 62.83 mata berbanding tahun sebelumnya pada kedudukan 113 dengan 51.55 mata.
Dengan loncatan angka yang memberangsangkan ini, media haruslah mengambil peluang untuk mendidik masyarakat kita menilai sebaran berita-berita palsu dan yang bersifat propaganda untuk mengabuli mata mereka bagi mengundang konflik dan kontroversi berkaitan amalan-amalan normal baru selepas pasca COVID-19 dan PRU15. Ini termasuklah melaksanakan program membanteras berita-berita palsu yang berkaitan dengan keselamatan negara, persengketaan kaum atau apa sahaja yang boleh mengundang kemudaratan kepada pemikiran dan perlakuan masyarakat kita.

•Pedekatan budaya siber yang memacu penggunakan teknologi maklumat digital hari ini mencerminkan bahawa masyarakat harus berubah dan mengalihkan strategi mereka menggunakan teknologi komunikasi secara lebih cekap, efisyen dan berupaya menyalurkan sumber maklumat dengan lebih pantas dan berpengaruh.

•Kerajaan, menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) harus menubuhkan Pusat Advokasi Maklumat Kebangsaan yang berfungsi untuk membantu dan mendidik masyarakat mengamalkan pengawalseliaan kendiri dan membuat keputusan penelitian kendiri terhadap maklumat-maklumat yang tular di media sosial serta menggalakkan lebih banyak penyaluran maklumat positif terhadap amalan normal baharu.

Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi harus juga memainkan peranan lebih pragmatik menganjurkan lebih banyak budaya pengamalan normal media baharu yang diterapkan dalam kurikulum dari awal tahap persekolahan sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi.

Hal ini diharapkan dapat membantu warga pendidik dan pelajar celik media serta dapat membezakan di antara maklumat sahih berbanding maklumat palsu yang tular dalam media sosial.

Boleh dirumuskan bahawa peranan media mencorakkan budaya normal baharu dalam kalangan masyarakat tidak lagi dijadikan hambatan untuk menghalang masyarakat berubah daripada norma Pemikiran Kelas Ketiga kepada Pemikiran masyarakat Kelas Pertama.

Natijahnya, senario penularan wabak COVID-19, PRU15 dan PRN telah membuka lembaran peranan media baru dalam mempromosi dan mendidik pemeliharaan sistem peradaban manusia kepada lebih prihatin dan bertanggungjawab terhadap dunia persekitaran yang lebih positif dan progresif menghadapi krisis dunia.

PENULIS TS.DR SYED AGIL ALSAGOFF, Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

ZEHRA BINTI ZAMBRI