fb fb fb fb fb

Puasa perisai fizikal, rohani

Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

Sejarah Islam menyaksikan bahawa terdapat banyak peperangan terjadi di bulan Ramadan termasuklah perang Badar, Uhud, Khandaq, Tabuk dan Fath al-Makkah. Sejarah peperangan ini telah menukilkan seribu satu ibrah dan pengajaran untuk diteladani.

Sejarah ini bukanlah satu manifestasi bahawa Islam adalah agama peperangan tetapi hikmah buat umatnya agar menguatkan semangat jihad di bulan Ramadan untuk menentang musuh. Meskipun musuh manusia yang paling nyata iaitu syaitan-syaitan telah dibelenggu, namun manusia masih lemah dan sering kalah menentang musuh yang ada dalam diri sendiri iaitu nafsu.

Bulan Ramadan bukan sekadar untuk menahan lapar dan dahaga, tetapi ia membina kubu pertahanan akal dan kalbu yang kukuh dalam membentuk peribadi Muslim utuh demi mencapai matlamat sebenar berpuasa iaitu menjadi insan yang bertakwa sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183: Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.

Pada bulan Ramadan, umat Islam perlu mempersiapkan diri untuk berjihad dengan kelengkapan-kelengkapan jihad untuk berjuang di medan takwa. Antara kelengkapan yang penting adalah perisai. Rasulullah SAW bersabda: "Puasa itu adalah perisai." (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 1894 dan muslim, no. 1151). Al-Khattabi menyatakan perisai di sini boleh membawa dua kemungkinan maksud iaitu perisai daripada api neraka atau perisai daripada melakukan maksiat.

Hal yang sama dipersetujui oleh tokoh-tokoh hadis lain seperti Ibn Abd al-Bar, al-Qadhi Iyadh, al-Munawi dan sebagainya. Puasa menjadi pelindung bagi seseorang daripada azab neraka, kerana ia adalah ibadah yang dapat menghapus dosa dan menambahkan pahala.

Puasa juga berfungsi sebagai pelindung daripada perbuatan maksiat kerana ia dapat melemahkan nafsu syahwat dan mengurangkan kekuatan fizikal, sehingga seseorang itu lebih mudah menahan diri daripada melakukan perkara yang dilarang. Dengan demikian, puasa berperanan sebagai penghalang dan benteng bagi seseorang daripada terjerumus ke dalam dosa.

Justeru hadis ini membawa maksud bahawa puasa bukan sahaja menjadi perisai yang dapat menghalang seseorang daripada perkara-perkara yang membatalkan ibadahnya, tetapi ia juga menjadi benteng daripada panahan hawa nafsu seterusnya melindungi daripada api neraka.

Secara umumnya, konsep perisai ini merujuk kepada konsep perlindungan, ketahanan, dan pertahanan dari pelbagai aspek. Misalnya perisai dalam peperangan dan keselamatan. Terdapat pelbagai jenis perisai dalam peperangan seperti perisai tangan (shield), perisai kepala, perisai badan seperti baju rantai besi dan baju kalis peluru.

Semuanya penting dalam melindungi tubuh dari cedera dan menyelamatkan nyawa. Dalam sains kesihatan dan kelestarian pula, perisai boleh dianologikan kepada sistem imunisasi yang menjadi perisai dari penyakit dan teknologi hijau yang menjadi perisai kepada pencemaran alam dan perubahan iklim.

Dalam konteks kesejahteraan sosial pula, polisi dan undang-undang bolehlah dianologikan sebagai perisai dalam melindungi hak dan kepentingan masyarakat. Dalam konteks ibadah, puasa dilihat berperanan penting sebagai perisai yang mampu melindungi manusia sama ada secara fizikal, emosi, mental dan rohani.

Pertama: Perisai Fizikal
Puasa telah terbukti secara saintifik dapat memberikan banyak manfaat kesihatan fizikal. Selain mengawal berat badan dan menstabilkan metabolisme, puasa turut membantu detoksifikasi tubuh. Puasa juga tidak menjadikan seseorang itu lemah, malah disunatkan untuk menghidupkan malam Ramadan dengan solat tarawih dan qiamullail sebagai ibadah dan latihan fizikal yang memberi kesan positif kepada tubuh.

Kedua: Perisai Emosi
Puasa mendidik jiwa agar kekal tenang dan tidak mudah marah. Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang di antara kamu sedang berpuasa, maka janganlah dia berkata keji dan janganlah dia bertengkar. Jika ada seseorang yang mencercanya atau mengajaknya bertengkar, maka katakanlah: "Sesungguhnya aku sedang berpuasa." (Riwayat al-Bukhari, no. 1904 dan Muslim, no. 1151).

Ketiga: Perisai Mental
Puasa berfungsi sebagai latihan kekuatan mental dan daya tahan menundukkan hawa nafsu. Puasa turut merangsang seseorang berfikir secara introspektif dengan muhasabah diri, menguatkan iman dan mengharapkan ganjaran Ilahi. Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, maka akan diampuni dosanya yang telah lalu. (Riwayat al-Bukhari, no. 38).

Keempat: Perisai Rohani
Bulan Ramadan adalah bulan kerohanian dan merupakan masa yang terbaik untuk memperbanyak tadarus dan tadabbur al-Quran. Al-Quran adalah perisai yang melindungi diri dan hati dari kejahilan dan membawa ke jalan kebenaran. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: "Bulan Ramadan padanya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia serta keterangan yang menjelaskan petunjuk dan pembeza (antara besar dan salah)."

Kesimpulannya, puasa sebenarnya membawa makna yang besar, bukan sekadar tentang bangun sahur dan mencari juadah di bazar. Maqasid puasa di bulan Ramadan mempunyai matlamat yang lebih besar sebagai perisai fizikal, emosi, mental dan rohani, malah begitu signifikan dalam mempertahan dan melindungi agama (hifz al-din), melindungi nyawa (hifz al-nafs), melindungi akal (hifz al-‘aql), melindungi harta (hifz al-mal), dan hifz keturunan (hifz al-nasl).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR MOHD ISTAJIB MOKHTAR
Dr. Mohd Istajib Mokhtar
Pensyarah Kanan
Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi,
Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI