SAUDARA PENGARANG
Dalam era pasca kebenaran (post-truth era), integriti dan kredibiliti pemimpin menjadi topik yang semakin mendapat perhatian masyarakat. Isu pemimpin yang gagal menunjukkan tanggungjawab moral, salah guna kuasa serta tindak-tanduk tidak berhemah dalam berkomunikasi dengan media telah menimbulkan persoalan besar tentang nilai sebenar kepimpinan masa kini. Pemimpin bukan sekadar simbol kuasa, tetapi cerminan nilai dan moral masyarakat yang dipimpinnya.
Menurut Balakrishnan et al. (2024), gaya komunikasi dan kepimpinan yang berasaskan ilmu meningkatkan prestasi organisasi kerana ia membantu pemimpin berinteraksi secara strategik dan berasaskan fakta. Pemimpin yang memahami isu dengan mendalam mampu mengelakkan kenyataan mengelirukan atau reaksi spontan yang menjejaskan imej.
Malangnya, kebelakangan ini terdapat pemimpin yang tampil dalam media tanpa persiapan, bercakap secara emosional dan kadangkala tidak sopan terhadap wartawan. Fenomena ini memperlihatkan jurang ketara antara kepimpinan berilmu dengan kepimpinan bersifat populis.
Seorang seorang pemimpin ideal ialah mereka yang memiliki ilmu, kefahaman mendalam tentang keadilan, dan kebolehan mengurus manusia dengan hikmah. Pemimpin yang berilmu mampu memahami dasar, menguasai fakta serta memberi penjelasan berasaskan hujah, bukan emosi.
Dalam konteks komunikasi massa, pemimpin yang tidak bersedia dan gagal mengawal naratif media boleh menimbulkan kekeliruan serta persepsi negatif terhadap kepimpinan mereka. Kepimpinan juga menuntut kemahiran insaniah (soft skills) seperti empati, kebijaksanaan emosi dan kemampuan mengurus krisis dengan tenang.
Kajian global oleh Kouzes dan Posner (2023) menegaskan bahawa antara lima ciri utama kepimpinan berkesan ialah keupayaan memodelkan teladan, memberi inspirasi dan bertindak berdasarkan nilai. Dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum dan agama, kesantunan dan kebijaksanaan komunikasi menjadi tanda aras kepimpinan beradab.
Pemimpin perlu sedar bahawa setiap kenyataan awam adalah cerminan peribadi dan institusi yang diwakilinya. Pemimpin juga perlu menyesuaikan diri dengan tuntutan era digital, di mana setiap tindakan dan ucapan mudah dirakam serta disebar luas di media sosial. Justeru, penguasaan media literacy dan latihan komunikasi profesional harus menjadi sebahagian daripada pembangunan kepimpinan negara. Pemimpin yang matang bukan sahaja pandai berkata-kata, tetapi juga tahu bila perlu berdiam diri dan berfikir sebelum berbicara.
Kepimpinan (leadership) bukan sekadar keupayaan memberi arahan, tetapi keupayaan membina kepercayaan dan keyakinan rakyat. Asas kepimpinan yang berjaya ialah “model the way” pemimpin menjadi contoh kepada apa yang mereka serukan. Ini termasuklah kesantunan dalam komunikasi, kesediaan menerima kritikan dan kemampuan mengurus krisis dengan tenang. Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, kepimpinan beradab amat penting bagi memastikan keharmonian sosial dan perpaduan nasional terus terpelihara.
Daripada sudut pandang komunikasi politik, kemampuan pemimpin berinteraksi secara bijaksana di hadapan media menunjukkan tahap emotional intelligence dan strategic thinking. Pemimpin perlu dilatih untuk memahami strategi komunikasi, pengurusan reputasi, serta cara menangani provokasi media tanpa mengorbankan prinsip dan maruah diri. Pemimpin juga perlu menyesuaikan diri dengan tuntutan era digital, di mana setiap tindakan dan ucapan mudah dirakam serta disebar luas di media sosial.
Justeru, penguasaan media literacy dan latihan komunikasi profesional harus menjadi sebahagian daripada pembangunan kepimpinan negara. Pemimpin yang matang bukan sahaja pandai berkata-kata, tetapi juga tahu bila perlu berdiam diri dan berfikir sebelum berbicara.
Kesimpulannya, tiga elemen integriti, ilmu dan kepimpinan beradab merupakan asas yang tidak boleh dipisahkan dalam membina kredibiliti pemimpin masa kini. Pemimpin yang berpegang pada prinsip ini akan dilihat bukan sekadar sebagai pengurus organisasi, tetapi sebagai tokoh berwibawa yang mampu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem kepimpinan negara. Dalam era maklumat yang serba pantas, kejujuran, kebijaksanaan dan adab bukan lagi pilihan, tetapi keperluan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi mana-mana institusi.

Dr. Shazleen Mohamed
Pensyarah Kanan
Fakulti Komunikasi & Pengajian Media
Universiti Teknologi MARA (UiTM)