SAUDARA PENGARANG
Baru-baru ini, isu ketelusan pemilihan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) hangat diperkatakan. Sebagai ahli akademik di sebuah IPT awam, saya terpanggil untuk mengulas perkara ini secara umum. Hal ini penting supaya masyarakat faham bahawa setiap IPT mempunyai mekanisme dan kriteria tersendiri yang perlu dipatuhi dalam proses pemilihan pelajar.
Untuk makluman, kriteria kemasukan ini tidak boleh ditetapkan atau diubah sesuka hati. Ia perlu melalui pelbagai tapisan, perbincangan, dan kelulusan di peringkat tertinggi sebelum dimasukkan dalam garis panduan rasmi. Garis panduan pemilihan dibuat untuk memastikan pelajar yang terpilih sesuai dengan kehendak program, layak, dan berkemampuan mengikuti pengajian.
Seperti mana-mana proses pemilihan, baik dalam sektor pekerjaan, kenaikan pangkat, dan penajaan, calon wajib melepasi syarat minimum yang ditetapkan. Proses ini dipanggil saringan.
Setiap tahun, jumlah pemohon ke IPT adalah jauh lebih ramai berbanding tempat yang ditawarkan. Pada 2024 sahaja, lebih 400,000 calon SPM dan 40,000 calon STPM menduduki peperiksaan, belum termasuk lepasan matrikulasi dan diploma.
Maka, proses saringan dan pemilihan amat penting untuk memastikan hanya calon yang benar-benar memenuhi syarat layak dipertimbangkan. Saringan dibuat bertujuan melancarkan proses pemilihan. Semua calon wajib melepasi syarat ini untuk membolehkan mereka ke peringkat seterusnya. Selepas saringan asas, calon dinilai berdasarkan merit, temu duga, ujian khas, kokurikulum, kesihatan dan juga kuota pengambilan.
Apa itu kuota?
Kuota merujuk kepada jumlah pengambilan yang dibenarkan bagi sesi pengajian tahun tertentu. Kuota ini bukan ditentukan sesuka hati, tetapi harus mengikut garis panduan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), seperti mengambil kira nisbah pensyarah dan pelajar. Ia juga termaktub dalam garis panduan sesebuah program yang ditawarkan.
Sebarang perubahan pada garis panduan ini, hanya boleh dibuat ketika semakan program pengajian. Mengambil contoh, program Bachelor Sains Bioperubatan dengan Kepujian yang ditawarkan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia.
Semakan program dibuat setiap lima tahun. Ia melibatkan penilaian semula semua aspek termasuk kuota, beban pensyarah, serta jam pembelajaran. Penilaian ini dibuat untuk memastikan program tersebut kekal relevan dengan kehendak semasa.
Secara keseluruhan, proses semakan boleh memakan masa hampir dua tahun. Ini membuktikan ia bukan keputusan singkat, tetapi hasil perbincangan yang teliti dan berperingkat.
Saya memahami keterujuaan calon untuk memasuki program di IPT impian mereka. Itu ialah semangat yang kita ingin lihat dalam diri setiap generasi muda. Dahaga dalam mencari ilmu. Namun, selain sasaran hidup, kita perlu meletakkan sedikit realistik dalam pilihan. Sehebat mana pun kita, akan ada yang lebih hebat lagi di luar sana.
Sekiranya permohonan tidak berjaya, calon disaran untuk merujuk unit pengambilan dan bertanya status secara professional. Rayuan juga boleh dibuat. Saya yakin, pegawai bertanggungjawab akan memberi maklum balas dengan baik pada persoalan yang diajukan.
Perlu diingat, IPT adalah institusi akademik tempat menuntut ilmu. Justeru, amat penting ia berjalan dengan baik dan telus, dan bebas dari campur tangan sentimen lain. Sebagai ahli akdemik, saya berharap agar institusi akademik lebih dihormati dan ketelusannya dipelihara.
Di sinilah tempat generasi muda menimba ilmu, dibentuk menjadi insan yang bermanfaat kepada masyarakat. Akan ada antara mereka yang bakal menjadi pemimpin dan tenaga pakar negara suatu hari kelak.
Semoga kita berjaya melahirkan generasi yang lebih hebat bukan sahaja dari segi ilmu pengetahuan, tetapi dengan keperibadian dan sahsiah yang cemerlang, demi Malaysia tercinta.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Seri Narti Edayu Sarchio
Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Bioperubatan,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM
Email:
HP: 019-6904006