SAUDARA PENGARANG
Sejak dahulu dalam perkembangan landskap pendidikan, papan hitam dan kapur tulis sememangnya menjadi simbol kepada pengajaran tradisional. Tetapi hari ini, di Malaysia, sesetengah sekolah bergiat aktif dalam melaksanakan transformasi digital di mana sesi pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja menggunakan tangkap layar besar, malah ia dilakukan dalam persekitaran pembelajaran imersif.
Semestinya perkembangan ini menjanjikan kebaikan kepada penggunanya. Bagaimanapun, ia masih perlu dikaji dan dinilai terutamanya daripada konteks cabaran dan aspirasi di negara kita.
Potensi Pembelajaran Imersif
Teknologi pembelajaran imersif seperti realiti maya (virtual reality, VR), realiti terimbuh (augmented reality, AR) dan persekitaran 360 darjah bukan sahaja menawarkan peluang untuk belajar sesuatu topik atau kandungan, malah membenarkan pelajar untuk mengalami dan merasai keadaan tersebut.
Contohnya, cuba bayangkan dalam subjek sains darjah 5, para pelajar menerokai sistem peredaran darah manusia dari dalam badan atau dalam subjek sejarah tingkatan 3, pelajar menyelusuri suasana tiga dimensi (3D) negeri Melaka yang berkisar pada tahun 1500.
Persekitaran ini bukan fantasi, bukan sekadar imaginasi, tetapi melalui aplikasi persekitaran imersif yang membenarkan penglibatan lebih aktif para pelajar — terutamanya pelajar-pelajar yang sukar memahami kandungan pembelajaran melalui buku (pembacaan) atau kuliah (lisan).
Sebenarnya, Malaysia telah mengambil langkah awal dalam pendidikan imersif. Misalnya, pada tahun 2023, projek MetaSkool dilancarkan di negara kita. Projek rintis itu adalah hasil usahasama antara Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (Malaysia Digital Economy Corporation, MDEC), Virtualtech Frontier (VTF) yang merupakan syarikat pembangunan ruang maya dan metaverse serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Melalui projek ini, persekitaran pembelajaran berasaskan metaverse diperkenalkan di sembilan sekolah termasuklah MRSM Batu Pahat di Johor dan SMK Sultan Badlishah di Kedah. Seramai 500 orang pelajar dan sembilan guru dijemput untuk menyertai projek rintis itu. Mereka menjalani pengalaman praktikal dalam ruang kelas maya.
Projek ini dilihat memberi banyak kebaikan kepada pesertanya, antaranya ialah peserta menjadi lebih fasih digital, membuka peluang ke arah pembelajaran kendiri dan juga melahirkan tenaga guru dinamik.
Tambahan lagi, perkembangan pembelajaran imersif dilihat selari dengan usaha kerajaan dalam memperkasa pendidikan digital. Bawah inisiatif #MyDigitalMaker, iaitu program kolaboratif antara MDEC dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dilaksanakan sejak Ogos 2016; lebih 1.3 juta pelajar dan 88,000 guru telah dilatih untuk mempertingkatkan kompetensi digital peserta.
Peningkatan kompetensi itu melibatkan kemahiran pengaturcaraan, reka bentuk kandungan digital dan komputeran. Sehubungan itu, tahap dan perkembangan literasi digital dalam kalangan guru dan pelajar mencerminkan bahawa pendidikan di Malaysia telah bersedia ke arah pengalaman pembelajaran imersif dalam bilik darjah yang lebih maju.
Matlamat Pembelajaran Imersif
Pembelajaran imersif bukan sekadar mengetengahkan teknologi terkini kepada generasi muda kita — ia sebenarnya ke arah mencipta pengalaman pembelajaran bermakna, inklusif dan merentasi masa depan. Negara kita, Malaysia, mempunyai generasi yang berbakat dan kreatif dalam memperjuangkan serta mengembangkan transformasi ini.
Bagaimanapun, tanpa perancangan teliti dan capaian digital yang sama rata, kita berkemungkinan akan memperbesarkan lagi jurang digital antara sekolah — di mana ada sekolah yang mampu berinovasi, dan ada sekolah yang tidak mampu atau mereka cuma mampu melihat sahaja.
Sebagai pendidik, ahli teknologi mahupun pembuat dasar, kita haruslah bekerjasama untuk mengubah mimpi imersif yang ada kepada realiti inklusif; iaitu mana setiap anak di Malaysia, sama ada di dalam kelas pintar di Lembah Klang atau di sekolah luar bandar di Kapit, boleh bergerak dengan yakin dan jayanya daripada papan hitam ke ruang siber.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr Nor Nazrina Mohamad Nazry
Pensyarah Kanan
Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya
E-mel: