fb fb fb fb fb

Bayar tunai - tanpa tunai, mana lebih selamat dan praktikal?

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Perubahan era digital serba pantas menyaksikan berlakunya corak perubahan dalam kaedah pembayaran digunakan oleh masyarakat terutamanya melibatkan sistem jual beli. Perubahan khusus ini dapat dilihat dengan jelas melalui perbezaan antara aspek penggunaan wang tunai dan sistem permbayaran tanpa tunai.

Fenomena perubahan landskap kewangan ini bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia. Jika dahulu masyarakat hanya menggunakan pertukaran wang tunai sebagai sistem pembayaran yang diguna pakai secara keseluruhannya.

Namun, kemunculan pelbagai teknologi seperti e-wallet, kad debit, kad kredit dan pemindahan wang secara dalam talian membuktikan bahawa rakyat kini mempunyai lebih banyak pilihan. Generasi ‘baby boomers’ kebanyakkannya masih memilih sistem pembayaran dalam bentuk wang tunai.

Golongan generasi muda merujuk kepada gen-z dan ke atas pula lebih selesa untuk melakukan pembayaran tanpa tunai bagi setiap perbelanjaan yang dikeluarkan. Manakala, generasi millennial pula adalah golongan pertengahan yang mampu beradaptasi dengan kedua-dua keadaan. Persoalannya kini adalah, apakah plihan lebih baik serta mampu menjamin kesejahteraan kehidupan masyarakat; tunai atau tanpa tunai?

Kebanyakan negara kini telah mengaplikasikan kaedah tanpa tunai dalam sistem kewangan mereka. Pada tahun 2030, Malaysia telah menyasarkan menjadi masyarakat tanpa tunai. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk mendidik masyarakat mengenai kelebihan pembayaran secara digital.

Bank Negara Malaysia adalah institusi utama yang memainkan perananan penting dalam memastikan sistem ini selamat dan bersifat mesra pengguna serta mudah digunakan oleh semua golongan masyarakat. Namun, perlaksanaan peralihan sistem kewangan ini perlu dilakukan secara berperingkat dan inklusif.

Bagi mencapai matlamat ini, pihak kerajaan harus memastikan infrastruktur digital telah dibangunkan dan tersedia secara menyeluruh sama ada di kawasan bandar dan luar bandar. Selain itu, program literasi perlu diadakan bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat berkaitan digitalisasi agar tiada golongan yang ketinggalan.

Pelbagai insentif telah ditawarkan oleh pihak kerajaan dan sektor swasta kepada pengguna sistem tanpa tunai sama ada dalam bentuk diskaun, pulangan tunai (cashback) dan mata ganjaran bagi menarik masyarakat ke arah pembayaran digital. Kaedah transaksi kewangan secara cashless ini telah pun bermula sejak lama lagi walaupun tidak secara meluas.

Namun, keadaan mula berubah secara keseluruhan setelah seluruh dunia mula diserang pandemik COVID-19. Situasi pandemik COVID-19 yang bermula pada penghujung tahun 2019 telah menyebabkan kaedah transaksi kewangan secara tanpa tunai ini dilihat lebih bersih dan selamat kerana tidak melibatkan sentuhan fizikal di antara satu individu dengan individu lain.

Realitinya kedua-dua pilihan tersebut, sama ada tunai atau tanpa tunai akan mempunyai implikasi baik dan buruk. Jika dilihat daripada aspek positif, pembayaran tanpa tunai sudah pasti menawarkan pelbagai kelebihan, terutamanya dari sudut kemudahan dan keselamatan. Segala transaksi pembayaran dapat diselesaikan, hanya melalui beberapa sentuhan di skrin telefon pintar, tanpa memerlukan individu tersebut berada secara fizikal.

Selain penggunaan kad debit dan kredit bagi bagi melakukan transaksi kewangan, terdapat juga banyak applikasi yang disediakan untuk memudahkan urusan transaksi kewangan secara digital terutamanya bagi generasi muda dan warga kota seperti Touch ‘n Go eWallet, GrabPay, dan MAE oleh Maybank dan lain-lain lagi. Kini setiap bank juga telah menyediakan kemudahan mengimbas kod QR bagi memudahkan urusan transaksi kewangan sama ada bagi tujuan peribadi atau perniagaan.

Dengan kata lain, seseorang individu boleh melakukan transaksi kewangan tanpa perlu membawa sejumlah wang dalam bentuk fizikal. Keadaan ini, akan mengurangkan risiko berlakunya kejadian jenayah seperti rompakan dan kecurian secara fizikal. Rekod transaksi kewangan digital juga membolehkan segala makluman perbankan disimpan secara berpusat oleh institusi bertanggungjawab bagi tujuan perancangan ekonomi pada masa akan datang.

Bagaimanapun jika sesuatu perkara ini mempunyai kebaikan, pasti ada keburukannya. Perspektif negatif yang melibatkan transaksi tanpa tunai adalah risiko gangguan talian internet, berhadapan penggodam sistem dan perbelanjaan luar kawalan. Transaksi kewangan tanpa tunai sentiasa memerlukan talian internet lebih stabil bagi mengelakkan gangguan ketika proses transaksi berlansung.

Kita boleh mengambil pengajaran dari negara Sweden yang mula berpatah balik dari sistem tanpa tunai atau cashless secara keseluruhan dalam sistem kewangan mereka atas faktor ancaman peperangan dan ‘isyarat’ dari pihak Amerika Syarikat.

Masyarakat juga harus sedar bahawa segala apa yang berada dalam sistem digital mempunyai risiko tinggi untuk digodam oleh pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab. Selain itu, transaksi kewangan tanpa tunai juga akan membentuk masyarakat dengan sifat perbelanjaan tidak terkawal tanpa sedar.

Oleh itu, boleh dirangkumkan bahawa pilihan untuk menggunakan kaedah pembayaran tunai atau tanpa tunai adalah bergantung kepada situasi, keperluan, dan kemampuan individu. Dalam banyak keadaan, sistem tanpa tunai menawarkan kemudahan lebih baik dan tidak dapat dinafikan. Namun, penggunaan wang tunai masih kekal relevan sebagai alat pembayaran, juga mudah, cepat dan diterima secara meluas di seluruh dunia.

Justeru, perkara penting perlu diutamakan adalah kesedaran dan kebijaksanaan pengguna dalam memilih kaedah pembayaran bersesuaian dengan gaya hidup mereka. Dalam zaman teknologi yang berkembang pesat ini, keseimbangan antara inovasi dan kesejahteraan masyarakat harus sentiasa dijaga agar tiada siapa yang tertinggal di belakang.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR NURUL ASHIKIN ALIAS
Dr Nurul Ashikin Alias
Felo Penyelidik
Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC)
Universiti Malaya
E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI